Pengikut

Assalamualaikom

.... Terima kasih Allah, Engkaulah Tuhan, akulah hamba ......

Rabu, 10 Ogos 2011

datuk bungkal, keturunannya dimuliakan; selagi adat dijunjung,selagi ada bulan,selagi ada bintang


gunung datuk,rembau


Tuah anak nampak di buapak
Tuah ayam nampak di kaki
Tuah orang tak nampak
Tak tertikam tuah dek berani

(Bait-bait dari Buku Teromba Dalam Puisi Melayu Tradisional
Oleh Dr. Mohd Rosli Saludin)

Kalaulah saya dianugerahkan bakat menulis yang hebat, saya akan menulis biografi mengenai hamba Allah ini. Saya akan mengadun catatan sejarah melampaui 500 tahun ini yang amat terhad sumber dan berbagai versinya sebaik mungkin.

Tokoh ini ‘The Legend’ yang tidak didendang. Beliau tidak dimuliakan. Malah, keturunannya sendiri melupakannya!

Namun, samada keturunannya mengingatinya atau sebaliknya, semerbak harum nama dan peranan beliau tidak akan hilang selagi adat dijunjung, selagi ada bulan, selagi ada bintang.

Susuk yang saya maksudkan ialah Datuk Bungkal. Beliau dari keturunan suku kaum penduduk asal Jakun, Rembau, Negeri Sembilan. Beliau ialah anak perempuan ke-3 kepada Batin Sekudai yang pernah memerintah Perabu (Nama lama Rembau) suatu ketika dahulu. Beliau dikatakan lahir pada tahun 1497 di Kampung Relong, sebuah kampung pedalaman dalam Daerah Rembau, Negeri Sembilan.

Ketika itu, dikatakan Kampung Relong juga diduduki oleh Pembesar Minangkabau, Datuk Leteh bersama pengikutnya yang datang dari Tanah Minangkabau pada sekitar tahun 1490an.

Perjalanan hidup Datuk Bungkal dari fasa ke fasa terpeta dengan lancar dan menarik. Beliau sentiasa berada di kalangan ‘kuasawan’. Bapanya, Batin Sekudai, ialah ketua suku kaumnya yang dihormati dan berkuasa bukan sahaja di kalangan penduduk asal tetapi juga di kalangan pendatang Minangkabau.

Penduduk asal dan pendatang Minangkabau yang menetap di Kampung Relong menjalin hubungan yang baik dan harmoni. Kemuncak kepada keharmonian perhubungan tersebut ialah kesudian Batin Sekudai menyerahkan anak bongsunya yang masih bayi, Datuk Bungkal, kepada Pembesar Minangkabau, Datuk Leteh untuk dijadikan anak angkat.

Bagaimanapun ada versi yang menyatakan bahawa Datuk Bungkal menjadi anak angkat Datuk Leteh ketika beliau di usia remaja dan bukannya ketika bayi.

Hakikatnya, inilah anugerah Allah yang tidak ternilai kepada Datuk Bungkal. Beliau tentulah beragama Islam kerana dibesarkan dan dididik dalam keluarga Pembesar Minangkabau, Datuk Leteh yang beragama Islam.

Andainya Datuk Bungkal menjadi anak angkat ketika di usia remaja, anak-anak beliau dibesarkan dalam suasanan pertembungan dua budaya dan dialek – budaya/dialek penduduk asal dan Minangkabau. Mungkin persekitaran sebegini adalah di antara penyumbang kepada evolusi terhasilnya dialek Negeri Sembilan hari ini. Dialek Minangkabau dijinakkan oleh dialek penduduk tempatan.

Dikatakan bahawa selain dari pengaruh penduduk asal dan Minangkabau, dialek Negeri Sembilan juga dicerna oleh pengaruh Siak. Seorang sasterawan terkenal pernah merasakan seperti berada di kampungnya di Rembau apabila mendengar orang Siak berbual semasa beliau melawat Siak beberapa dekad yang lalu.

Sebaliknya, jika Datuk Bungkal diambil sebagai anak angkat semasa bayi, keterampilan beliau akan lebih dipengaruhi oleh budaya dan dialek Minangkabau.

Maka bermulalah anjakan baru denai kehidupan Datuk Bungkal. Dunia dan persekitaran asal usul masyarakatnya adalah terlalu kecil dan tidak dapat mengekang aura ‘kebesaran’ dan ‘kemuliaan’ yang ‘dijanjikan’ kepadanya.

Tuah anak nampak di buapak
Tuah ayam nampak di kaki
Tuah orang tak nampak
Tak tertikam tuah dek berani

Kehadiran Datuk Bungkal, gadis keturunan penduduk asal Negeri Sembilan dalam keluarga Pembesar Minangkabau umpama lapangan bagi beliau memantap dan menyesuaikan diri untuk tugas yang lebih besar pada masa yang akan datang.

Bagaimanakah rupa paras anak gadis yang bernama Datuk Bungkal ini? Menarik dan cantikkah dia? Sayangnya, tidak seperti masyarakat di barat yang lebih bertamadun, ketika itu masyarakat kita tidak ada peralatan atau kebolehan untuk merakam gambar atau pun sekurang-kurangnya melakar lukisan.

Saya mencadangkan supaya anda melihat kepada anak-anak gadis keturunan beliau di Rembau, Negeri Sembilan hari ini, terutamanya dari Suku Biduanda Lela Maharaja. Berbibir tebal atau bak delima merkahkah bibir mereka?

Bagaimanapun, perlu difahami bahawa Adat Perpatih tidak membenarkan perkahwinan sesama suku. Keturunan Suku Biduanda akan mencari pasangan dari suku yang lain (Bukan Suku Biduanda) apabila hendak berkahwin. Realitinya, tidak syak lagi bahawa hampir kesemua penduduk Rembau ada mengalir darah Datuk Bungkal dalam diri mereka.

Ayah angkat Datuk Bungkal, Datuk Leteh dan pengikutnya tidak lama menetap di Kampung Relung. Mereka berpindah pula ke Kampung Lada.

Ironisnya, ayah kandung Datuk Bungkal, Batin Sekudai dan pengikutnya juga turut berpindah dari Kampung Relung ke Kampung Lada. Jarak di antara Kampung Relung ke Kampung Lada pada hari in ialah lebih kurang 7 kilometer. Ini bukti menunjukkan betapa akrabnya perhubungan dua golongan tersebut.

Datuk Bungkal dan ayah angkatnya Datuk Leteh juga tidak kekal lama di Kampung Lada. Mereka termasuk pengikut Datuk Leteh berpindah pula ke Kampung Kota. Jarak di antara Kampung Lada ke Kampung Kota ialah lebih kurang 4-5 kilometer.


Seperti yang dinyatakan di awal tulisan ini, anak angkat Pembesar Minangkabau ini selalu bernasib baik. Setelah meningkat remaja, beliau dikahwinkan dengan Pembesar Minangkabau, Datuk Lela Balang yang datang ke Kampung Kota selepas beberapa lama Datuk Bungkal dan keluarga angkatnya menetap di kampung tersebut.

Inilah perkahwinan klasik yang kesannya dapat disaksikan hingga ke hari ini. Hasil dari perkahwinan ini lahirlah keturunan ‘elit’ dalam sistem Adat Perpatih Rembau, iaitu Suku Biduanda Lela Maharaja.Inilah perkahwinan 'menang-menang'yang terhasil dari keikhlasan penduduk asal dan pendatang Minangkabau.

Benar, Batin Sekudai 'kehilangan' anak dan tanah kepada pendatang Minangkabau.Namun, di pihak pendatang Minangkabau yang lebih bertemadun dan cerdik, mereka 'beradat'. Secara halus, beretika, ikhlas, mengenang budi,atau apa sahaja perkataan yang berkaitan telah mengkanunkan satu ketetapan yang memuliakan keturunan penduduk asal khususnya keturunan anak-anak perempuan Datuk Bungkal.

Dalam sistem Adat Perpatih di Rembau, keturunan dari Suku Biduanda Lela Maharaja dan Suku Biduanda Sedia Raja sahaja yang layak dilantik menjadi Datuk Undang Luak Rembau secara bergilir. Selain dari itu, keturunan mereka sahaja yang layak menjawat jawatan penting dalam institusi Undang Luak Rembau.

Pasangan Datuk Bungkal dan Datuk Lela Balang telah mendapat lima orang anak. Seorang anak lelaki yang dinamakan Seri Rama dan empat orang anak perempuan.

Anak lelaki beliau, Seri Rama dilantik menjadi Datuk Undang Luak Rembau Pertama. Beliau menyandang jawatan tersebut dari tahun 1540 hingga 1555.


Pada mulanya ditetapkan bahawa dari keturunan anak-anak perempuan pasangan Datuk Bungkal dengan Datuk Lela Balang sahaja yang layak dilantik menjadi Datuk Undang Rembau dengan gelaran Datuk Lela Maharaja.

Bagaimanapun, setelah mengadap Sultan Johor (Rembau ketika itu dibawah takluk Johor), keturunan anak perempuan seorang lagi Pembesar Minangkabau, Datuk Laut Dalam diperkenankan menjawat jawatan Undang Luak Rembau secara bergilir dengan keturunan anak perempuan Datuk Bungkal dengan Datuk Lela Balang. Ada versi sejarah yang menyatakan bahawa Datuk Laut Dalam ialah adik Datuk Lela Balang. Sebaliknya di versi lain, mereka tiada perhubungan persaudaraan.

Keturunan anak-anak perempuan Datuk Bungkal dengan Datuk Lela Balang yang bernama Datuk Pandung, Datuk Siti, Datuk Lijak dan Datuk Makraman dinamakan Suku Biduanda Lela Maharaja. Keturunan anak-anak perempuan Datuk Laut Dalam dengan isterinya yang berketurunan Jawa dinamakan Suku Biduanda Sedia Raja.
Institusi Datuk Undang Luak Rembau kekal hingga ke hari ini di Rembau. Datuk Undang Luak Rembau sekarang disandang oleh Datuk Lela Maharaja Haji Muhammad Shariff bin Hj. Othman. Beliau dari keturunan anak-anak perempuan Datuk Bungkal, ialah Datuk Undang Luak Rembau yang ke-21. Beliau mula menyandang jawatan tersebut pada tahun 1998.

Selain dari anak lelaki beliau, Datuk Undang Rembau yang pertama, Datuk Lela Maharaja Seri Rama, keturunan anak-anak perempuan Datuk Bungkal yang dilantik menjadi Datuk Undang Luak Rembau hingga ke hari ini ialah sebanyak sembilan orang. Mereka ialah; Dato’ Lenggang (Ke-3,1605-1620), Dato’Uban @ Putih Kepala(Ke-5,1654-1660),Dato’ Lulinsoh,(Ke-9,1750-1790), Dato’Kosil(Ke-11,1795-1812),Dato’Ngonit @ Nganit(Ke-13,1819-1843),Dato’ Hj.Sahil(Ke-15,1871-1883),Dato’Hj.Sulong bin Miah(Ke-17,1905-1922),Dato’Hj.Ipap bin Abdullah(Ke-19,1938-1963) dan Dato’Hj.Muhammad Sharif bin Hj. Othman(Ke-21,1998 – sekarang).

Mengikut sistem Adat Perpatih yang 'matrileneal', nasab kesukuan adalah mengikut suku ibu. Sehubungan ini, di samping memuliakan dan mengagungkan peranan keturunan Minangkabau,sewajarnyalah peranan anak kepada penduduk asal, Datuk Bungkal yang makamnya (kedudukkannya) 'Ibu' kepada keturunan Suku Biduanda Lela Maharaja berada dikedudukkan semartabat.

Sayangnya, Datuk Bungkal yang dilahirkan pada tahun 1497 tidak diketahui tarikh beliau meninggal dunia dan dimakamkan. Namun, legasi beliau kekal hingga ke hari ini di Rembau.

Datuk Bungkal, namanya dilupakan. Namun, keturunannya akan terus dimuliakan selagi adat dijunjung,selagi ada bulan, selagi ada bintang.

4 ulasan:

  1. Tuan,

    real heavy entri ni..

    berat lagi rasa nye nak merungkai biografi Datuk Bungkal tu ye..

    BalasPadam
  2. Sdr theolrascal,

    Saya khuatir juga menulis entri ini.

    Terima kasih.

    BalasPadam
  3. salam ujang.

    pernah dengatr tak orang menipu nasab keturunan nya. orang ini adalah sangat hina dan keji. sebab? tak mengaku mak bapak atok nenek dia sendiri dan memakai nama gelaran nasab keturunan orang lain . kan derhaka pada keturunan nenek moyang nya ibarat tak meng AKU dari rahim ibu nya sendiri.ini nama nya tualat gunung. perkara ni berlaku di rembau. jadi jgn di hina nama baik moyang kami ini.

    BalasPadam
  4. Saudara saya Tanpa Nama,

    Wa'alaikomsalam. Terima kasih di atas ulasan dan komen saudara mengenai perkara ini.

    Saya tidak dapat mengagak identiti sebenar saudara.Bagaimanapun perlu juga dijelaskan bahawa kebanyakkan generasi orang awam Negeri Sembilan hari ini (bukan sahaja di Rembau) tidak menyedari asal usul keturunan mereka dengan jelas. Mereka merasakan diri mereka 'Orang Negeri Sembilan'. Mereka tidak menyedari adanya pengaruh keturunan Orang Asal dan juga pengaruh Orang Minangkabau dalam diri mereka.

    Namun demikian,setelah lebih 500 tahun, pengaruh dan peranan Orang Asal khususnya dalam pelantikan pembesar dalam Sistem Adat Perpatih masih berperanan hingga ke hari ini.Untuk makluman saudara, susur galur keturunan Orang Negeri Sembilan yang berpaksikan 'Orang Asal' dan 'Orang Minangkabau' bukan sahaja berlaku di Rembau tetapi di seluruh Negeri Sembilan/Naning - Johol, Jelebu, Sg.Ujung,Rembau..

    Wallahua'lam.

    BalasPadam

" "Kalau hendak tahu dalamnya lubuk, TANYALAH pada memerang"."