Pengikut

Assalamualaikom

.... Terima kasih Allah, Engkaulah Tuhan, akulah hamba ......

Sabtu, 28 April 2012

saya mula mengaguminya


Biasalah. Penerimaan khalayak yang berbeza anutan politik terhadap kedatangan tokoh ini dalam sesi ‘Bicara Tokoh’ di tempat saya berbagai – suka,tidak suka atau syak wasangka. Beliau, mantan menteri besar, mantan pengerusi di sebuah agensi kerajaan, mantan menteri dan tokoh politik terkenal. Kerjaya politik dan peribadi beliau juga pernah lecah dengan isu-isu kontroversi.
Biasalah, tokoh-tokoh yang dijemput sebelum ini kebanyakkannya memperkatakan politik kepartian secara keterlaluan. Audien sudah dapat mengagak apa yang akan mereka kupas dan cakapkan. Corong telinga audien ‘urban’ yang berpendidikan dan terdedah dengan media alternatif disumbat dengan info kepartian yang keterlaluan secara paksa.   
Sedemikian, kebanyakkan gema tepukan yang terpasung di dalam dewan adalah tepukan yang tidak ikhlas. Tepukan yang dipaksa-paksa. Tepukan palsu.
Bagaimanapun, kedatangan tokoh ini lain dari kedatangan tokoh-tokoh sebelum ini. Beliau telah mengejutkan hadirin. Satu kejutan 360 darjah.
Tidak seperti kedatangan beberapa tokoh sebelum ini yang agak lewat, beliau sampai awal. Seawal kesampaian beliau dengan sahabatnya yang dipanggil ‘Dr’, tidak terlihat sekilas pun anjakan yang berlaku pada diri peribadi beliau. Cara beliau berpakaian jelas begitu kontra dengan pakaian deretan pegawai yang menyambutnya. Beliau cuma mengenakan pakaian baju kemeja putih lengan panjang berbanding pakaian sut lengkap dengan kot oleh pegawai yang menunggu. Bagaimanapun, salah seorang pegawai meminjamkan kotnya untuk beliau pakai kerana hawa dalam dewan syarahan agak sejuk.
Beliau terus naik ke atas pentas dalam dewan syarahan dengan diiringi oleh pengerusi majlis. Ada satu yang menarik perhatian khalayak. Sahabat beliau yang duduk di bawah bersama hadirin lain naik ke atas pentas dan menyerahkan beg bimbit berwarna hitam. Beg tersebut bukan beg lap top. Ada di kalangan yang hadir berbisik sesama sendiri dan bergurau, “Beg berisi duit untuk diagih-agihkan.”
Pengerusi majlis mempersilakan beliau berucap di rostrum setelah biodata beliau dibaca. Tajuk ucapan yang ditetapkan ialah ‘Integriti’. Beliau diberi masa selama satu jam setengah. Beliau membawa bersama beg bimbit berwarna hitam itu ketika berjalan ke arah rostrum.
Setelah hampir setengah jam, beliau masih tidak menyentuh topik yang ditetapkan. Beliau dengan rendah diri terus memperkatakan tentang ketidakupayaan hamba,tentang individu professional yang asalnya bukan Islam memeluk agama Islam, taubat,solat tahajjud, solat subuh berjumaah,membaca Al-Quran, melayan isteri sebaik mungkin, melayan suami sebaik mungkin,berbuat baik kepada sesama makhluk Allah, tentang hudud, kehidupan anak-anak di pondok-pondok tahfiz persendirian, manusia tiada hak berlaku sombong dan lain-lain lagi. 
Beliau tanpa ragu-ragu menyatakan bahawa tajuk ucapan yang ditetapkan kepada beliau tidak ada manfaat untuk dibincangkan. Pada beliau, tajuk itu telah tepu di telinga hadirin dan telah banyak kali dikupas oleh para penceramah. Pada beliau, segala-galanya akan berjalan dengan teratur apabila anggota masyarakat menjadi orang Muslim yang taat kepada ajaran agama.
Para hadirin seperti dipukau apabila seorang bekas menteri besar yang amat berkuasa di sebuah negeri yang maju mengakui kekurangan dirinya dalam beragama ketika berada di tampuk kekuasaan. Akunya jujur, “Jikalah saya mempunyai kesedaran beragama seperti sekarang, saya mungkin menjadi seorang menteri besar yang lebih baik.”   
Seterusnya beliau mengeluarkan beberapa helai kertas saiz A4. Beliau membaca satu persatu petikan ayat-ayat Al-Quran termasuk mengenai mereka yang tidak percayakan ayat-ayat Al-Quran, mengenai adanya ayat-ayat mengenai hudud dalam Al-Quran, Ayat Seribu Dinar dan yang lain-lain.
Akhirnya, khazanah yang dijaga dengan baik dan kasih sayang dalam beg bimbit hitam diketahui juga – senaskah Al-Quran yang mengandungi terjemahan,tafsir dan sejarah sesuatu ayat diturunkan. Beliau sempat merujuk kepada kitab suci tersebut untuk menguatkan lagi hujah-hujah yang disampaikannya.
Sejujurnya, beliau masih di peringkat awal dalam persediaan ‘perjalanan pulang’ . Bagaimanapun, beliau insaf di atas kelemahan lampau. Beliau memiliki keyakinan dan kesungguhan yang sangat luar biasa untuk memperbaiki diri.
Di antara perkara menarik yang membezakan tokoh ini dengan tokoh-tokoh lain terutamanya di kalangan ahli politik ialah beliau tidak memburuk-burukan pihak lain khususnya musuh-musuh politik beliau. 
Saya sendiri dan sebilangan hadirin amat terkesan sehingga ada yang menitiskan air mata melihat suatu keajaiban berlaku ke atas hamba Allah ini. Beberapa kali beliau mengakui kelemahan diri dan kelalaiannya semasa berkuasa. Kekuatan beliau ialah meyakini bahawa Allah akan mengampuni dosa hambaNya yang bertaubat.
Saya dan seorang kawan bernasib baik kerana dapat bersalaman dengan tokoh ini. Kebetulan, selepas selesai sarapan pagi yang disediakan oleh penganjur, beliau melalui di laluan berhampiran tempat kami sedang rancak berbual. Kami tidak melepaskan peluang untuk bersalaman dengannya.
Seorang hadirin bertanya satu soalan berbentuk provokasi kepada beliau semasa sesi soal jawab. Saya meminta maaf kerana tidak dapat menyatakan bentuk pertanyaan tersebut dan juga jawapan beliau.
Sehubungan ini, saya lebih suka beliau berada di dalam keadaan sekarang. Saya suka beliau dilihat teguh membenarkan ayat-ayat Allah, tanpa memperdulikan sesiapa pun yang duduk di sebelahnya. Sesungguhnya, yang benar itu tidak terikat dengan waktu dan tempat.                                  
  

6 ulasan:

  1. Sesungguhnya manusia dijadikan sama taraf. Yang membezakan hanyalah ilmu dan amal yg ada. Kakak dapat rasa yg bekas MB ini seorg yg punya pegangan agama kuat mungkin sewaktu dia punya kuasa dulu dia lupa namun dek adanya ilmu dan iman dia berpeluang mencurah ilmu itu dikhalayak ramai. Suka kakak sebab dia tidak riak/ujub sebaliknya berhemah tinggi malah berani membentangkan nas-nas yg boleh membuka mata hadirin.

    Alangkah baiknya kalau semua 'ketua' ada pegangan yg begini.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Ayah beliau seorang guru agama. Mungkin benar kata puan bahawa beliau umpama sirih pulang ke gagang.

      Ironisnya, beliau bukan sahaja bernasib baik kerana berada di 'jalan pulang' yang betul, malah beliau memperoleh lebih dari itu. Beliau dengan yakin menyentuh 'hudud', sesuatu yang cuba dielakkan untuk dibincangkan oleh segolongan orang.

      Sana-samalah kita memperbaiki diri dan mengikut jalan pulang yang betul.

      Padam
  2. Ujang Kutik,

    Saya selalu risaukan penilaian diri saya sendiri terhadap seseorang itu..
    dengan sumber saya yang amat terhad. Namun ape sekalipun pun kita harus lah bersangka baik....

    Dekat sangat dah PRU13. Sebagai rakyat negeri Selangor soalan cepumas nye adalah bertukar atau tidak kerajaan nye selepas pilihanraya nanti.

    BalasPadam
  3. Tuan theolrascal,

    'Beliau' ini pernah menjadi khalifah tuan dalam satu tempoh yang agak panjang.Mungkin buah tangan positifnya ialah wujud Bandaraya Melayu Shah Alam. Begitulah juga tindak tanduk kontroversinya - hebat dan banyak juga.

    Al-kisah,penilaian peribadi saudara hampir sama dengan penilaian sahabat-sahabat saya yang tidak berkesempatan menghadiri kuliah 'ustaz' mantan MB @ mantan Pengerusi Agensi Kerajaan @ mantan Menteri ini - yaani ragu-ragu @ mungkin ada udang di sebalik batu.

    Bagaimanapun, hampir semua sahabat saya yg hadir mendengar 'kuliah' beliau berpendapat beliau bertukar 360 darjah.Apa yg kami takuti ialah jika ada tawaran sebagai calun PRU 13.Bagaimanapun, ikut akal,kerjaya politik beliau telah lama berakhir.

    Kita lihat.....

    BalasPadam
  4. Ujang Kutik,

    Tuan,

    Ya, saya tahu siapa yang dimaksudkan dan ape yang beliau jalani antara dulu dan kini memang saperti pusingan 'u'. Sebelum ini saya terdengar juga beliau telah berubah. Kalau dia menyeru kearah kebaikan dan kejalan Allah wajib lah kita menerima nye.

    Ye lah kita lihat...sambil kita juga melihat akan diri kita sendiri..InsyaAllah..

    BalasPadam
    Balasan
    1. Semoga kita juga ke arah lebih baik.

      Padam

" "Kalau hendak tahu dalamnya lubuk, TANYALAH pada memerang"."