Pengikut

Assalamualaikom

.... Terima kasih Allah, Engkaulah Tuhan, akulah hamba ......

Sabtu, 9 Jun 2012

yb kj:cucu penghulu abu bakar rembau

Pemandangan Tidak Jauh Dari Rumah Keluarga YB KJ
Di negeri  yang nasab keturunan anak adat diambilkira dari keturunan di sebelah ibu, status ‘Kerakyatan Adat Perpatih’ YB En.Khairy Jamaludin (Kj), sama dengan status anak-anak saya, yaani tidak digolongkan sebagai anak-anak adat. Ibu kepada YB  KJ bukan Orang Negeri Sembilan. Ibu kepada anak-anak saya juga bukan Orang Negeri Sembilan.
Bagaimanapun, kedudukkan ini tidak mencacatkan ‘Darah Rembau’ yang mengalir dalam diri individu bernama Khairy bin Datuk Jamaludin. Arwah datuk beliau, Penghulu Abu Bakar, anak jati Rembau, ialah seorang tokoh tempatan yang amat terkenal dan disegani di Rembau.
Legasi Penghulu Abu Bakar diteruskan oleh anak-anak beliau termasuk ayahanda Khairy Jamaludin, Datuk Jamaludin Abu Bakar. Sinambung gah keturunan Penghulu Abu Bakar diteruskan oleh cucu-cucu beliau hingga ke hari ini, di antaranya oleh YB KJ sendiri.
Saya menulis catatan ini dalam suasana santai dan berkecuali. Biarlah orang lain mengutuk YB KJ semau-maunya, atau memuji membodek YB KJ setinggi Gunung Datuk (Gunung Rembau) yang tegak megah di belakang rumah keluarga sebelah bapa beliau di Kampung Gadung, Rembau itu.
Tanpa menafikan bahawa ada juga tindakan YB KJ yang tidak selari dengan pendapat bebas, saya melihat kaedah berpolitik YB KJ dalam tempoh kebelakangan ini amat mengujakan. Di antaranya, beliau bukannya seorang pemimpin yang cepat merajuk, berani bersemuka (berdebat) secara sehat dan  berani mengemukakan pendapat dan pendirian bernas,‘siuman’ dan berpijak di bumi nyata yang kadang-kadang tidak sealiran dengan rakan-rakan sewadahnya.  
Pendirian terbaru beliau yang amat disenangi oleh kebanyakkan orang Melayu ialah mengenai ketidaksetujuan beliau dalam isu pembekuan pinjaman PTPTN kepada pelajar-pelajar UNISEL dan KUIS (majoriti pelajar di kedua-dua IPTS tersebut ialah anak-anak Melayu yang ibu bapa mereka samada penyokong UMNO,PAS atau PKR). Pada saya, ini pendirian bertaraf kelas dunia yang cuma dianuti oleh ahli-ahli politik di negara maju sahaja!
Khususnya penduduk Rembau, mungkin ada di kalangan kita yang tidak sealiran dengan wadah politik yang ditunggang oleh YB KJ. Bagaimanapun, semoga perbezaan tersebut tidak menidakkan sesuatu yang baik yang diterjemahkan melalui cara beliau berpolitik mutakhir ini.
YB KJ masih muda . Sesiapa pun, hatta beliau sendiri tidak mengetahui masa hadapannya dalam senario politilk tanah air di masa akan datang dengan tepat. YB KJ pernah menjadi pelari jarak dekat politik. Beliau hampir memenanginya tetapi jatuh tersungkur sebelum sampai ke garisan penamat. Kadang-kadang musuh politik beliau turut kasihan melihat cara beliau 'dikerjakan'. Namun demikian, beliau tidak berputus asa. Kini beliau mencuba pula menjadi pelari marathon politik. Berjayakah beliau? 
Kepada pengundi parlimen Rembau yang tidak menyokong wadah parti YB KJ, sudikah anda mengucapkan kalimah ini kepada YB KJ, " Saya mengagumi YB walaupun saya tidak akan mengundi YB pada PRU 13 ini." Dan sebagai di antara pemimpin muda yang mungkin akan mencorakkan landskap baru politik negara pada masa akan datang, sudikah YB KJ menjawab, " Tidak mengapa, itu hak saudara."  

8 ulasan:

  1. Ujang kutik,

    Walaupun beliau masih muda dari banyak segi kemampuan nye mampu mengalahkan kemalangan mereka2 yang jauh lebih dewasa.

    Saya amat teruja melihat kemampuan nye ketika berdebat isu bersih dengan Datuk Ambiga.

    Berdasarkan dari debat itu juga saya tidak ragu ragu akan saranan saudara supaya YB KJ sudi berkata.... ''Tidak mengapa, itu hak saudara."

    Selamat Maju Jaya YB KJ juga buat semua penduduk Rembau termasuk mereka2 yang yang telah berhijrah termasuk yang telah menetap di Ampang ...ahahahha...

    BalasPadam
  2. Sdr theolrascal,

    Sama-samalah kita memerhatikan perjalanan personaliti ini.Seketika dalam marathon beliau selepas PRU 13, beliau dilihat akan di 'put to sleep' (satu kaedah doktor veterinar 'membunuh' pet yg tiada harapan hidup).

    Bagaimanapun, mutakhir ini beliau dilihat tidak boleh di 'put to sleep' sewenang-wenangnya sekalipun ada pihak yg berhajat berbuat demikian.

    Bagaimanapun, kita di kalangan yang bernasib baik,kerana kemungkinan menganut wadah yg berlainan, samada sesama kita atau dengan YB KJ,masih boleh membincangkan secara professional di antara kita, dan juga memikirkan hala tuju dan 'untung nasib' YB KJ.He...he..

    Siapakah di antara kita yang akan bertanya dengan penuh hormat kepada YB KJ,"Saya mengagumi YB walaupun tidak akan mengundi YB pada PRU 13 yang akan datang"? Bagaimanapun, saya mengudi di parlimen Ampang.

    BalasPadam
  3. IM juga menghormatinya kerana bernai berdebat ( kalah menang itu persoalan ke2 ) dan tidak terlalu mengikut tiupan angin ketuanya sebaliknya dia punyai pandangannya sendiri dan menyuarakannya walaupun sedikit menungkah arus ketuanya.

    di sini ada sedikit jatidiri.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Sdr IM,

      Selalunya individu politik yang lawan taukeh secara semborono dan tidak berhemah akan lemas dan hanyut dibawa gelombang keadaan.

      Bagaimanapun, pemimpin yang mahir menggunakan 'perbezaan pendapat', umpama menarik rambut dalam tepung - menyerlah dan dihormati oleh musuh dan kawan.

      Padam
  4. Saudara Ujangkutik,

    Maaf, saya tidak banyak mengetahui personaliti YB Kj. Oleh itu tak berani komen sebarangan.

    Namun, apa yang saya lihat beliau lebih matang kini di dalam arena berpolitik.

    Lain hulu lain parang
    Lain dulu lain sekarang

    BalasPadam
    Balasan
    1. Sdr Pak Mail,

      Benarlah, pengalaman samada suka atau duka adalah guru sepanjang masa.

      Padam
  5. Assalamu'alaikum sdra ujang kutik
    Mohon izin singgah. Dengan peluang & ruang memerhati yang terbatas, saya melihat YB KJ memang mempunyai tret-tret pemimpin yang berpotensi. Walaupun mungkin cara saya salah, tetapi dari dulu-dulu lagi saya "memilih" pemimpin berasaskan ciri-ciri kepimpinannya yang hebat, walaupun ada kalanya sedikit terganggu dengan keperluan memilih bendera tertentu tanpa mempedulikan siapa yang mengibarkan bendera itu.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Sdr Temuk,

      Waalaikumsalam.

      Saya sangat berbesar hati kerana kesudian tuan menziarah blog saya.

      Saya sependapat dengan saudara. Dalam keadaan tertentu kita tidak dapat mengelak lari dari pengaruh 'bendera' yg kita pilih.Bagaimanapun, ketika keadaan biasa dan tiada keperluan yang menuntut kesetiaan kepada 'bendera', sepatutnya kita lebih terbuka.

      Pendek kata, mana-mana pihak sepatutnya membenarkan kata-kata benar yang keluar dari mulut YB Salahudin Ayub, dan mana-mana pihak juga membenarkan kata-kata benar dari YB Khairy Jamaludin,YB Saifuddin Abdullah,YB Shahril Samad,YB Khalid Samad,dan lain-lain lagi.

      Padam

" "Kalau hendak tahu dalamnya lubuk, TANYALAH pada memerang"."