Pengikut

Assalamualaikom

.... Terima kasih Allah, Engkaulah Tuhan, akulah hamba ......

Ahad, 7 Oktober 2012

BUDAK INI KAWAN SAYA

Saya mengenali ‘Budak' ini, MJ, sejak 3 tahun yang lalu. MJ, 24 tahun, memilikki diploma . Budak ini terpaksa berpuas hati dengan menjawat jawatan yang lebih rendah dari kelulusannya di sebuah firma perunding kejuruteraan kerana sekarang susah mendapatkan pekerjaan. 

Pejabatnya tidak jauh dari pejabat saya. Saya mengenalinya kerana dia selalu menumpang solat zuhur di surau pejabat saya. Selain itu kami juga sering berjumpa di warung belakang pejabat saya. Walaupun berlainan generasi, saya berkawan dengan budak ini.

Budak ini, anak sulung dan masih bujang, tinggal bersama keluarganya di Banting, Selangor. Ayahnya keturunan Jawa Banting. Ibunya keturunan Minangkabau Rasa, Selangor. Dia menaiki motorsikal sejauh 60 kilometer ke pejabatnya di Jalan Ampang, Kuala Lumpur. Sungguh pun demikian, dia memberitahu saya bahawa dia tidak pernah datang lambat ke pejabat.

Selain saya, budak ini juga berkawan dengan rakan-rakan sepejabat saya - yang junior dan otai. Entah di mana silapnya, dia sering diusik yang adakalanya pada tahap melampau oleh rakan-rakan. Namun demikian dia tidak pernah ambil hati terhadap apa sahaja terjahan usikan. Dia cuma tersengih. 

Walaupun menunggang motorsikal ke pejabat dalam jarak yang jauh, dia tidak ada baju hujan. Dia akan basah kuyup apabila hujan ketika dalam perjalanannya ke tempat kerja. Saya dan rakan-rakan pelik kerana dia masih tidak mahu membeli baju hujan walaupun telah dinasihatkan.

MJ bukannya seorang anak muda yang terlalu mengekang perbelanjaan. Dia obses kepada peralatan dan gajet wajib ada anak-anak muda hari ini. Dia memiliki dua buah telefon bimbit pintar, sebuah lap top, sebuah net book dan gajet-gajet yang lain.

Budak ini meminati bidang fotografi. Dia seorang jurukamera sambilan di majlis perkahwinan. Selain di Semenanjung, dia pernah mengambil foto perkahwinan pelanggannya sehingga ke Sarawak dan Sabah. 

Mengikut ceritanya, dia terpaksa 'mengikat perut' menyimpan duit dan membuat sedikit pinjaman dari institusi kewangan untuk memperolehi peralatan jurufoto amatur yang dimilikinya sekarang. Nilai kamera dan aksesorinya mencecah belasan ribu RM. Tidak cukup dengan itu, dia juga bercita-cita hendak membeli peralatan yang lebih canggih lagi. 

Sehubungan ini, dia pernah ditipu kerana terlalu teruja dengan membuat pembelian aksesori kamera melalui internet. Dia ditipu hampir RM1,000.00 – bayaran telah dibuat tetapi barang pesanan tidak sampai-sampai!

Dia yang mempunyai latar belakang pendidikkan agama ketika di peringkat sekolah menengah pernah menjadi ustaz sementara di Sekolah Agama Rakyat (SAR). Katanya, bekas anak-anak muridnya masih memanggilnya ustaz apabila terserempak di mana-mana.  

Mungkin kerana telah lama meninggalkan SAR, MJ terpengaruh juga dengan pengaruh semasa di kalangan anak-anak muda. Dia meminati bidang nyanyian. Dia pernah memenangi johan nyanyian karaoke di tempat kerjanya. Dia pernah menunjukkan kepada saya video rakaman nyanyiannya dalam pertandingan nyanyian itu. Dia membawakan lagu rock yang bernada tinggi dan menjerit-jerit. Kalau tidak salah nama lagu itu ialah ' Kidung Mu'. Kalau bekas anak-anak muridnya di SAR dahulu tahu, mungkin mereka akan pengsan kerana melihat ustaz mereka dalam keadaan begitu.

Sungguh pun demikian, dia masih menjaga institusi pendidikkan agama dan 'title ustaz' yang pernah diperolehinya dahulu. MJ taat mendirikan solat lima waktu. 

Sepanjang mengenalinya, saya mendapati anak muda yang memiliki berbagai variasi keterampilan ini juga sangat minat dan taksub dengan apa sahaja yang dikaitkan dengan kaedah-kaedah hendak kaya. Di usia 24 tahun, MJ telah lama bergelumang dengan  'pelaburan' - samada pelaburan konvensional atau skim pelaburan yang menjanjikan pulangan 'instant'. Dari busines ikan keli, cacing, lintah, serai wangi hingga kepada pelaburan dinar Arab. Walaupun acapkali jatuh tersungkur, dia masih berdiri teguh dengan keyakinan dan harapannya. Dia berjanji, dia tidak akan melupakan kawan-kawan terutamanya 'uncle-unclenya' apabila projeknya berjaya nanti! Apakah lagi yang kita harapkan dari seorang kawan selain dari pengakuan setiakawan seperti ini?   

Mutakhir ini, MJ mula berjinak-jinak dengan pelaburan FOREX pula. Dia melabur secara kecil-kecilan - cuma USD50. Dari MJ saya mengetahui serba sedikit mengenai kaedah-kaedah 'permainan' pelaburan FOREX. MJ menjurus ke tahap 'pakar' dalam FOREX kerana menjadi rujukan kepada pemain-pemain lain. Kata MJ, pelaburan FOREX terlalu berisiko. Nisbahnya, Gagal 80% : Berjaya 20%. Dia menasihatkan saya supaya jangan mencuba pelaburan FOREX kerana 'keasyikkannya' boleh menyebabkan saya melupakan blog 'ujang kutik'. 

Pada saya, walaupun 'Budak' ini sibuk dan 'terjerumus' dengan usaha dan perancangan 'part time' masa hadapan yang berisiko dan 'agak meragukan' hasilnya, dia ada kira-kira dan keyakinan. Dia ada 'fixed deposit', yaani kerja tetap dan pendapatan sampingan yang agak lumayan sebagai jurufoto sambilan. Seperti yang saya katakan, dia ada kira-kira. Itulah sebabnya 'misainya tidak bergelumang tahi apabila jatuh'. Bagaimanapun, adalah diingatkan, " JANGAN LAKUKAN SENDIRIAN APA YANG 'BUDAK' INI LAKUKAN DI RUMAH ANDA"!        

Minggu lepas budak ini memeranjatkan kami. Dia yang memakai kot dan lengkap dengan tali leher memberhentikan motorsikalnya berhampiran dengan warung tempat kami sedang bersarapan pagi. Katanya, " Tolong doakan kerana saya hendak menghadiri temuduga jawatan  Penolong Akauntan di sebuah jabatan kerajaan. " Kami doakan.

‘Budak’ ini seorang anak muda yang dinamik dan proaktif akan masa hadapannya. Ini piawaian saya.      


8 ulasan:

  1. ujang kutik,

    ‘Budak’ ini seorang anak muda yang dinamik dan proaktif akan masa hadapannya.

    Begitu juga pada penilaian saya...

    BalasPadam
    Balasan
    1. Sdr theolrascal,

      Kalau demikian, penilaian saya tidak tersasar.

      T.Kasih.

      Padam
  2. Hebatnya dia. Tapi bukan semua perbuatan boleh kita jadikan ikutan.

    Bila musim hujan, beli la baju hujan...

    BalasPadam
    Balasan
    1. Sdr IM,

      Baju hujan nampak kecil tetapi 'wajib ada'.

      Padam
  3. Assalam Saudara Ujang..,

    Dia adalah pemain yang punya "GOAL" nya yg tersendiri dan punya keyakinan dan jatidiri.... semuga DIA berjaya dlm segala usahanya...

    Namun bagitu saya setuju dengan saudara insan marhaen "Bila musim hujan, beli la baju hujan..."

    BalasPadam
    Balasan
    1. Sdr azmnor,

      Waalaikumsalam.

      Semoga dia berjaya. Dia masih muda. Part time jurukamera pun telah memadai.

      Dia perlu beli hujan.

      Padam
  4. saudara ujang, sya rasakan mungkin antibodi kawan saudara ini berada di tahap maksimum...so maybe dia tak perlukan baju hujan because hanya menghadkan pergerakan beliau..hehehe

    BalasPadam
    Balasan
    1. Sdr man bet,

      Peribahasa Bugis berbunyi," Berilah saya kelapa, saya akan balas kelapa dan gulanya sekali."

      Kalau ada yg hendak membantu kawan saya ini bolehlah berbuat demikian.

      *Nota: Ini kisah benar bukan direka-reka.

      Padam

" "Kalau hendak tahu dalamnya lubuk, TANYALAH pada memerang"."