Pengikut

Assalamualaikom

.... Terima kasih Allah, Engkaulah Tuhan, akulah hamba ......

Ahad, 25 November 2012

ARIANI, AL-IKHSAN....SAYA MENUMPANG BANGGA


Isteri dan adek perempuan saya ada satu keasyikkan yang tidak terkawal. Ianya adalah seronoknya mereka ‘menyerbu’ butik tudung Ariani terutamanya ketika musim Jualan Murah @ Cheap Sale @ Diskaun Gila-Gila yang diadakan oleh butik milik orang Melayu/Islam itu.

Namun demikian, keasyikkan mereka bukannya kes terpencil. Penggemar tegar tudung ekslusif jenama ‘Ariani’ telah lama terbentuk. Malah kini menjadi satu fenomena khususnya di kalangan penduduk bandar seperti Melaka, Kuala Lumpur, Shah Alam dan Bangi, Selangor.

Baru-baru ini, 24/11/12, saya menemankan isteri dan adek perempuan yang ditakrifkan oleh peniaga cendol Jalan Senawang – Tampin, Leman Dawi sebagai ‘remaja dewasa’ ke Jualan Murah Ariani Cawangan Bandar Baru Bangi. Ini kedai khusus untuk orang perempuan. Tidak manis bagi lelaki berkeriau di dalamnya. Seperti suami atau lelaki yang lain, saya di antara yang tercegat umpama ‘jaga’ menunggu isteri atau keluarga perempuan masing-masing di luar premis. Dari pintu premis kami dapat menyaksikan dan mengagak status, tingkah laku dan keasyikkan pengunjung yang berbagai.

Lokasi butik Ariani Bandar Baru Bangi tidak jauh dari Masjid Bandar Baru Bangi. Kami sampai di Ariani lebih kurang jam 8.40 malam. Ketika itu penggemar tudung Ariani masih ramai di dalam ruang premis yang agak sempit. Sebaris dengan butik Ariani ialah cawangan kedai pakaian sukan milik bumiputera/Islam, Al-ikhsan. 

Seperti yang diketahui, rangkaian perniagaan Ariani dan Al-ikhsan telah membuka banyak cawangan di tempat-tempat lain di seluruh negara. Selain dari dua buah premis itu, terdapat juga beberapa buah restoran moden dan sebuah worksyop/kedai tayar milik Melayu/Islam di sekitar kawasan perniagaan moden di situ. Saya percaya ada banyak lagi premis perniagaan milik orang Melayu di sekitar Bandar Baru Bangi.

Saya perasan bahawa selalunya Pusat Beli Belah Pakaian/Tekstail Jakel bersebelahan dengan Butik Ariani. Melalui rayauan di internet, saya mendapati bahawa pengasas (taukeh) Butik Ariani, Farah Haryani bt. Muhamad Philip Abdullah, ialah isteri kepada Pengarah Urusan Jakel, Mohamed Faroz bin Mohamed Jakel. Patutlah.

Ayah kepada pengasas Ariani yang bernama Muhamad Philip Abdullah mungkin berketurunan Eropah. Selain dari berpendidikkan tinggi (Pengasas Ariani memilikki ijazah sarjana muda dari UITM) serta bantuan suami, kepintaran pengasas Ariani mengemudi butik Ariani mungkin juga ada pengaruh ‘genetik’, yaani melalui kahwin campur di antara ibu dan bapanya. Pengasas Ariani, Farah Haryani bt. Muhamad Philip Abdullah, berasal dari Johor.

Saya tidak mengetahui ras keturunan pengasas Al-ikhsan, Ali Hasan b. Mohamad Hasan. Namun, kalau kita peramati irasnya, beliau mungkin ada sedikit darah keturunan India. Ali Hasan Mohamad Hasan yang berkelulusan dalam bidang kejuruteraan juga pelajar pintar walaupun beliau tidak melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi selepas memiliki diploma kerana terlalu minat dalam perniagaan. Ali Hasaan Mohammad Hassan juga mula-mula mengasaskan perniagaannya di Negeri Johor, iaitu Batu Pahat. Berbeza dengan pengasas Ariani yang mendapat ‘backing’ dari suami beliau yang juga seorang usahawan tersohor, kejayaan perniagaan Ali Hassan Mohamad Hasan menuju ke puncak digapai setelah melalui satu marathon yang menarik. Beliau pernah mengalami susah payah.  

Sebagai orang Melayu/Islam, kita mengharapkan syarikat milik Melayu/Islam seperti Ariani dan Al-ikhsan akan lebih berjaya pada masa hadapan. Kita memang sepatutnya merasa bangga. Bukannya tidak berbangga dengan pencapaian beberapa usahawan mega Melayu yang lebih hebat, kejayaan Ariani, Al-ikhsan dan segelintir lagi bertitik tolak dari usaha tulang empat kerat yang tidak diselaputi oleh elemen-elemen kroni, pilih kasih dan perkara-perkara yang tidak sedap didengar.    

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

" "Kalau hendak tahu dalamnya lubuk, TANYALAH pada memerang"."