Pengikut

Assalamualaikom

.... Terima kasih Allah, Engkaulah Tuhan, akulah hamba ......

Khamis, 28 Mac 2013

TOK KETUA BARU ' HARIMAU BERANTAI '


CATATAN INI ADALAH SEPERTI YANG DICERITAKAN OLEH
SEORANG KAWAN YANG BEKERJA DI SEBUAH JABATAN DI SEBUAH NEGERI:

Lebih kurang lima bulan yang lalu, ketika diberitakan bahawa belaiu akan bertukar ke Bahagian kami, staf terkejut bercampur takut. ‘Harimau Berantai’ akan menjadi Tok Ketua kami yang baru!

Kebetulan, ‘ Harimau Berantai’, adalah anak saudara kepada legenda tokoh perkhidmatan awam ( telah meninggal dunia – semoga Allah menempatkan Allahyarham di kalangan mereka yang diredhaiNya ) yang terkenal, disegani dan ‘ditakuti’ kerana ketegasannya suatu ketika dahulu.

Sedikit sebanyak keperibadian legenda tokoh perkhidmatan awam yang vokal, tegas dan ‘garang’ itu diwarisi oleh Tok Ketua Baru kami ini. Ungkapan ‘Bapa borek, anak rintik’ mungkin sesuai untuk mengaitkan keperibadian bapa saudara-anak saudara ini.

Biasalah, banyak perkara yang perlu diselaraskan apabila mendapat ‘nakhoda’ baru dalam sesebuah jabatan. Ada perubahan cara bekerja. Ada anjakan yang diperkenalkan dan perlu diterapkan dalam menjalankan tugas.

Berlaku  ‘ culture shock ‘ di persekitaran Jabatan kami – ‘bekerja  under pressure’. Staf dikerah supaya jazam dengan doktrin kerja ‘ The Power of Now ’ – jangan kerja bertangguh.

Ada pegawai dan staf bawahan yang kena marah kerana tidak mengikut arahan kerja yang dikehendakki. Seperti yang dinyatakan, Tok Ketua Baru kami memang vokal.

Pegawai dan staf bawahan ‘ tidak selesa ’. Kami umpama cacing kepanasan. ‘Bekerja di bawah tekanan’! Ada rungutan. Ada rasa tidak puas hati. Malah, ada dendam.

Namun, apabila selesai tempoh ‘transisi’, yaani apabila pegawai dan staf dapat memahami dan hadam dengan cara kerja beliau, mengetahui sahsiah dan mengenali keperibadian sebenar Tok Ketua Baru, segala-galanya berjalan dengan lancar. Tiada lagi keresahan, tiada lagi rungutan, tiada lagi rasa tidak selamat dan tiada lagi dendam. Semuanya dapat bekerja dalam satu pasukan yang jitu.

Pegawai dan staf mula menyayangi Tok Ketua Baru. Tok Ketua Baru ada aura untuk disegani dan dihormati. Benarlah, tak kenal, maka tak cinta.

Sifat agak vokal beliau diimbangi dengan suara lunak-merdu memohon maaf. Beliau tidak segan silu memohon maaf kepada orang bawahan apabila menyedari tindakannya agak keterlaluan/tidak betul. Perbuatan mulia ini bukan sahaja dilakukan kepada ‘anak buah’ beliau sahaja tetapi juga kepada kawan-kawan sejawat. Saya mendapat tahu bahawa beliau dengan rendah diri telah memohon maaf kepada seorang rakan sejawat yang merasa tersinggung di atas gurauan/kata-kata beliau yang dianggap agak keterlaluan.

Bijak pandai berkata, “Sejahat-jahat ketua ialah ketua yang memusuhi anak buahnya.” Walaupun Tok Ketua Baru kadang-kadang terlebih vokal, beliau tidak berdendam kesumat kepada anak buahnya. Beliau memegang falsafah, “Kesilapan yang telah dilakukan tidak boleh diperbaiki, tetapi jangan diulangi lagi.” Tok Ketua Baru umpama seorang pemancing yang mahir. Dalam memimpin anak buah beliau mengetahui bilakah perlu melepaskan dan menarik tali pancing.

Beliau akan melindungi orang bawahannya selagi mereka tidak melanggar peraturan yang ditetapkan. Beliau akan membantu dengan bersungguh-sungguh. Hasilnya, masalah kerja/ peribadi beberapa orang anak buah beliau telah dapat diselesaikan. Namun demikian, ada juga urusan yang tidak dapat diatasi walaupun beliau telah berusaha sedaya upaya.

Tidak ada salahnya jika beliau diumpamakan seperti ‘ Harimau Berantai ’. Haiwan lain akan berfikir sepuluh kali untuk mengganggu anak-anak harimau. Harimau akan sentiasa memastikan anak-anaknya selamat!

Saya turunkan sebahagian petikan Teromba Kepimpinan Adat Perpatih untuk renungan dan menilai pemimpin:

Pohon rendang di tengah padang
Batangnya untuk bersandar
Dahannya untuk bergantung
Buahnya untuk dimakan
Daunnya untuk berlindung
Banirnya tempat bernaung.


2 ulasan:

  1. ujang kutik,

    Melalui berpuluhan tahun dalam dunia pekerjaan. saya juga pernah melalui berjenis jenis insan sebagai ketua. Antara nye ada juga yang saperti blog entri tuan di atas ni.

    Selepas beberape ketika saya lebih favourable pada ketua yang amat kompeten melebihi dari yang mesra orang bawahan.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Sdr theolrascal,

      Inikah yang dikatakan mutu juga yang mengenal manikam?

      Padam

" "Kalau hendak tahu dalamnya lubuk, TANYALAH pada memerang"."