Pengikut

Assalamualaikom

.... Terima kasih Allah, Engkaulah Tuhan, akulah hamba ......

Ahad, 10 Mac 2013

vincent tan, ampang mali


Ketika menuju ke  kereta di kawasan letak kereta belakang pejabat, Vicent Tan, 9, anak pasangan Cina penjual mee di warung berhampiran yang sedang bermain sendirian melambai-lambai kepada saya.

Walaupun selalu melihat dia di kawasan itu di sebelah petang selepas balik dari sekolah dengan pakaian seragam sekolah, saya tidak pernah bercakap dengannya. Saya selalu melihat anak Cina putih melepak itu berbual dengan Pak-Pak Pengawal Keselamatan yang sedang bertugas. Dalam istilah lain, dia bersahabat dengan Pak-Pak Pengawal Keselamatan keturunan orang Melayu yang seusia ibu bapanya. Acapkali saya melihat dia duduk di kerusi di kalangan beberapa orang pengawal keselamatan. Jelas, Pak-Pak Pengawal Keselamatan menyenanginya.

“Uncle, ikut saya, saya nak tunjukkan ‘ular’ empat kaki,” ujar Vincent Tan dalam Bahasa Malaysia yang fasih kepada saya.

“Binatang apa yang hendak ditunjukkan oleh anak Cina ini?” Saya mengagak mungkin anak Cina itu hendak menunjukkan biawak tetapi dia tidak tahu hendak menyebut perkataan sebenar. Saya pernah terserempak dengan haiwan itu.

Bagaimanapun, kelibat ‘ular empat kaki’ yang hendak ditunjukkan oleh Vicent Tan tidak kelihatan apabila kami sampai ke lokasi. Vincent Tan kecewa.

“Tidak mengapa, lain kali kalau nampak beritahu uncle, uncle nak ambil gambar”.
Vincent Tan tersenyum manis dan meneruskan mainannya. Saya menuju ke kereta untuk balik ke rumah.

Ibu bapa Vincent Tan mungkin mempunyai sebab menamakan anak lelaki mereka sama nama dengan nama tokoh ahli perniagaan yang bertaraf billionaire, Tan Sri Vincent Tan.

Bagaimanapun, pasangan penjual mee itu mungkin tidak pernah merancang bahawa membenarkan anak lelaki mereka bermain sendirian, berinteraksi dengan golongan yang lebih berusia dan Orang Melayu pula sementara menunggu mereka selesai berniaga, sebenarnya telah menghantar anak kesayangan mereka itu ke kelas integrasi kaum tidak berbayar yang tiada tolok bandingnya.

Di usia yang sangat mentah, Vincent Tan yang bersekolah aliran Cina boleh bertutur Bahasa Malaysia dengan fasih, tidak kekok berkomunikasi dengan etnik bukan Cina dan tidak memperlihatkan bibit-bibit curiga kepada kaum lain.

Diharapkan, Vincent Tan yang menghadiri ‘kelas integrasi kaum’ yang terletak berhampiran dengan warung mee ibu bapanya akan membesar dan dewasa sebagai warga yang menghayati etika kehidupan masyarakat majmuk di negara ini.

4 ulasan:

  1. ditengah perjalanan suami saya ditegur oelh seorang anak muda cina..pak cik tak kenal saya,suami menjawab maaf tak kenal.dia memperkenalkan dirinya pakcik selalu tegur ayah saya masa sama2 berselisih motor hendak pergi kerja..nama dan tempat kerja ayahnya sekian2 baru suami teringat dan dia memberitahu bapanya dah dekat 2 tahun meninggal..diharapkan kita dapat hidup dengan harmoni dan Allah tak tarik kasih sayang diantara kita seperti yang berlaku diBosnia...

    BalasPadam
    Balasan
    1. akak roosni,

      Inilah harapan kita . Tragedi orang Islam di Bosnia ada hikmahnya dan semoga tidak berlaku di negara kita.

      Namun, adakah lagi kaum Cina di tempat kita (N.Sembilan) yang mampu bercakap dialek N.Sembilan dengan fasih? Di negeri-negeri Pantai Timur kaum bukan Melayu begitu fasih bertutur dialek pantai timur.

      Padam
  2. Assalam.
    Kadangkala, tanpa kita sedari, ada ejen-ejen sosialisasi yang tak formal yang sebenarnya boleh mencanai personaliti seseorang dengan begitu positif sehinggakan bila dewasa dia mampu menjadi ahli masyarakat yang baik dan bertanggungjawab. Cerita sdra itu memberi harapan kepada wujudnya bangsa Malaysia yang bersatupadu.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Sdr Temuk,

      Waalaikomsalam.

      Ini cerita benar-benar berlaku. Vincent Tan bersekolah aliran Cina (saya melihat badge di bajunya) . Selalunya mereka yang mendapat pendidikan begini dikaitkan dengan semangat kekitaan yang melampau atau yang selalu disebut oleh sesetengah orang, " Kiasu "..

      Sama-samalah kita berharap walaupun mungkin kita terpaksa bermula dari 'kosong'.

      Padam

" "Kalau hendak tahu dalamnya lubuk, TANYALAH pada memerang"."