Pengikut

Assalamualaikom

.... Terima kasih Allah, Engkaulah Tuhan, akulah hamba ......

Sabtu, 13 April 2013

PRU KE-13 : MENJELANG HARI MENGUNDI


Hari mengundi PRU Ke-13 jatuh pada hari Ahad 5 Mei 2013 bersamaan 24 Jamadilakhir 1434H.

Seorang pengunjung blog saya, ‘Tanpa Nama’, memberi info dan ulasan mengenai tindakan pemerintah negara jiran, Singapura, ke atas rakyat negara itu yang anutan politik mereka tidak selari dengan pemerintah. Tanpa Nama mengaku bahwa beliau telah beralih khemah pada PRU 13 ini. Sebelum ini beliau adalah penyokong sebuah parti politik lain.    

Seorang kawan, Pemandu teksi, yang satu ketika dahulu adalah penyokong tegar sebuah parti politik tiba-tiba ‘goyang’. Ketika minum bersama di sebuah kedai kopi beliau berkata, “ Kali ini susah juga hendak membuat pilihan – kedua-dua pihak ada kelemahan dan kelebihan.” Saya terkejut di atas perubahan drastiknya.  

Seorang wanita peniaga warung di Temerloh pula meluahkan, “ Dua-dua pihak sama sahaja. Siapa pun menang, kita macam ini juga.”

Isteri saya yang pernah makan gaji dan kini seorang suri rumah sepenuh masa berfalsafah, “ Pilihanraya adalah gelanggang tuduh-menuduh.” Peliknya dia yang tidak pernah menghadiri sebarang ceramah politik boleh mengolah ungkapan sebegitu.

Seorang blogger popular mengsensasikan tindakan parti politik tertentu yang ‘mengacau-ganggu’ kehidupan beliau melalui pesanan politik SMS. Beliau memberi amaran keras secara ‘retorik’ supaya perbuatan itu dihentikan. ‘Entry’ beliau telah mendapat sokongan pengikut-pengikut blognya. Mereka seolah-olah turut bersetuju ‘ Tidak Ambil Peduli’ terhadap permainan politik di luar sana. Benarkah?

Malam semalam (12/4/13), saya berpeluang menghadiri dua ceramah yang dianjurkan oleh parti politik berbeza. Kebetulan lokasi kedua-dua ceramah itu jaraknya tidak sampai 1 kilometer antara satu dengan lain.

Maka benarlah kata-kata isteri saya bahawa tidak hadir ceramah politik pun tidak mengapa kerana agendanya tidak lain dari tuduh menuduh. Bagaimanapun, ada satu perkara yang isteri saya tidak tahu (kerana dia tidak pernah pergi mendengar ceramah politik), iaitu ‘Tuduhan Banyak Versinya’ : Ada Tuduhan Berfakta, Ada  Tuduhan Melulu, Ada Tuduhan Bujur Lalu Melintang Patah, Ada Tuduhan Berbentuk Fitnah, Ada Tuduhan Sendaloka, Ada Tuduhan Kata-Kata Kesat…………..

Dari kedua-dua ceramah tersebut juga saya ‘membenarkan ungkapan saya sendiri’, yaani “ Seorang Idola Di Satu Pentas (Pihak) Adalah Tiada Apa-Apa (Hina) Di Atas Pentas (Pihak) Yang Lain.”

Seorang ulamak yang disanjung oleh satu pihak adalah ‘ular dalam semak’ oleh pihak lawan. Seorang pemimpin agung yang banyak berjasa yang dicium tangannya oleh satu pihak adalah ‘tidak ada nilai satu sen pun’ di pihak lain.   

Biras saya adalah orang kuat sebuah pertubuhan politik. Kami tidak ada masalah perhubungan saudara walaupun berbeza fahaman politik. Beliau yang menyedari kehadiran saya tersenyum lebar apabila penceramah partinya mengutuk penyokong parti lawan yang mungkin turut hadir mendengar ceramah parti tersebut.

Sebenarnya, banyak lagi gelagat menjelang PRU 13 yang tidak dicatatkan dalam ruangan terhad ini. Pada pendapat saya, sekalipun kita tidak ambil peduli tentang hiruk pikuk dan hu-ha PRU 13, akhirnya undi kita akan pergi juga ke salah satu pihak yang kita tidak ambil peduli tersebut.

Saya, ada pihak yang saya sokong. Pembaca, ada pihak yang anda sokong. Walaupun kita mungkin berbeza fahaman, kita tidak ada masalah selagi anda/saya tidak sakit hati atau cuba memaksa anda/saya menaiki kapal yang anda/saya naiki. 

Namun demikian, kita bertanggungjawab sepenuhnya ke atas segala kemungkinan yang menjadi pilihan kita itu.Bebanan akauntabiliti ini tidak boleh dikompromikan langsung!

8 ulasan:

  1. ujang kutik,

    saya amat setuju dengan dua paragraf terakhir dalam pengamatan tuan mengenai suasana menjelang pilihanraya ini.

    ...akauntabiliti...kita semua bertanggung jawab atas pilihan kita.

    BalasPadam
  2. Sdr theolrascal,

    Tuan,

    Cermatnya menyantun tatasusila berblog hinggakan ke hari ini kita masih belum pernah lagi membuka topeng yang melindungi wajah politik masing-masing. He...he..

    Walaupun kita part time blogger, ada yang perlu dipelajari oleh lain-lain part time blogger atau blogger sedang-sedang yang lain dari kita. He...he..

    Tuan, eloklah kita terus dalam keadaan begini. Biarlah blog kita santai, aman dan tiada kecuh-kecuh. Kita mendekati politik cara kita, kita bermain dengan nostalgia, kita asyik dengan diri dan keluarga, kita catatkan segala sesuatu di sekeliling dengan cara kita. He..he

    Namun demikian, kita juga tidak larut dengan sikap ambil mudah tersebut. Ada tempatnya kita tidak akan berkompromi dengan sesuatu atau segala sesuatu yang melibatkan elemen seperti membuat pilihan dalam PRU 13 yang akan datang.

    .

    BalasPadam
  3. betul kata tuan janganlah disebabkan politik kita berpecah dgn saudara mara serta adik beradik semuga diberi kesedaran kepada mereka yang bersikap demikian,pun tengah bercelaru nak pilih parti mana,dua2 ada keburukan dan kebaikan,yg satu parti kalau buat apa2 tak sudah2 mesti ada hiburan.yg satu lg saya rasa tersinggung sebab tidak mahu mempertahankan kalimah Allah dan bersatu dgn orang yang berfahaman pluralisme,

    BalasPadam
    Balasan
    1. Sdr Tanpa Nama,

      Kedua-dua isu yang diutarakan kelihatan hampir seimbang. Namun demikian, sedikit kelebihan pada pengamatan kita/saudara itulah sebenarnya pendirian/pilihan kita.

      Seorang lain sepatutnya menghormati pendirian/pilihan seorang lain.

      Selamat mengundi pihak yang disenangi/pilih.

      Terima kasih.

      Padam
  4. Salam sdr.Ujang,

    lama dah saya tak berblog....entah kekadang muak juga berblog ni....ada kala nya rindu pulak...
    saya setuju dgn sdr.Ujang lebih baik kita bagini... InsyaAllah saya juga akan mengundi DUN Paroi dan Parlimen Rembau....biarlah undi itu rahsia kepada penghuni alam ini walaupun Allah dan tenteranya tau apa yg kita undi...Allahua`lam.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Waalaikomsalam Sdr Azmnor,

      Memang lama saya tidak mendengar khabar berita tuan.

      Senarai calon dua belah pihak untuk Parlimen Rembau, DUN Paroi dan tempat saya DUN Kota telah diketahui.

      Saya mengundi di DUN Teratai dan Parlimen Pandan, Selangor. Tahun 2008 Parlimen Pandan diwakili oleh Ong Tee Kiat. Tetapi PRU 13 Ong Tee Kiat digugurkan.

      Benar, undi rahsia. Dan itulah rahsia keharmonian sesama kita. Selamat mengundi.

      Padam
  5. nasib baik ditempat saya terpaksa kekedai beli akhbar - tiada 'deliver service' walau pun cuma 24 km dari pusat Bandaraya yang diagung agungkan. Kerana itu saya dapat pilih yang mana satu hendak baca. Selalunya beli dua akhbar, bahasa inggeris dan Melayu. Sekaerang beli satu shaja atau tidak langsung kerana perasan 'menyampah'. Baca sahajalah dalam internet. Dulu menggundi bergilir pasti - mengikut selira semasa. Kali ini munkin berkeputusan tak ingin cemarkan jari dengan dakkwat! Ingin melihat persatuan antara penganut seugama. Sayang kita berpecah dalam persatuan.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Tuan Al-Manar,

      BN Terengganu paling akhir mengumumkan senarai calon. Kerusi Parlimen Kuala Terengganu agak menarik untuk diambil perhatian.

      Tuan, alangkah seronok dan bahagianya jika surat khabar kita ' Boleh Dibaca' oleh sesiapa sahaja ! Bilakah akan sampainya waktu itu?

      Buat masa ini hampir tiada media yang kita tunggu-tunggu itu. Saya selalu juga menjenguk Blog Datuk A.Kadir Jasin (DKJ). Walaupun kebanyakkan entry dalam blog beliau agak berat sebelah, namun terdapat juga entry yang 'Boleh DiBaca'. Saya pernah mencatatkan ulasan lebih kurang seperti ini dalam blog DKJ, " Saya kadang-kadang kecil kepada Datuk kerana tidak berlaku adil kepada sebilangan pengunjung dan pengikut blog Datuk......." DKJ tidak 'delete' ulasan saya.

      Semoga tuan akan sampai ke bilik mengundi....

      Padam

" "Kalau hendak tahu dalamnya lubuk, TANYALAH pada memerang"."