Pengikut

Assalamualaikom

.... Terima kasih Allah, Engkaulah Tuhan, akulah hamba ......

Selasa, 21 Mei 2013

BOIKOT

Boikot kedai/perniagaan mereka! Begitulah bunyinya satu cadangan radikal dari segelintir blogger dan NGO Melayu yang tidak berpuas hati terhadap etnik lain di negara ini baru-baru ini . 

Dari satu sudut, cadangan itu ada baiknya kepada Orang Melayu jika dapat dilaksanakan dengan berkesan. Orang Melayu yang merupakan etnik dominan sepatutnya telah lama menggunakan senjata 'kuasa majoriti' mereka mengikut lunas undang-undang di negara ini.

Bagaimanapun, dalam sebuah negara yang penduduknya majmuk dan saling perlu memerlukan serta hidup aman damai, cadangan itu tidak sesuai dihebohkan atau disensasikan,apatah lagi berpaksikan emosi amarah yang tidak terkawal dan niat yang tidak baik. 

Kalau ada niat hendak mewujudkan 'kuasa Melayu' atau 'kuasa pengguna Melayu', lakukanlah dengan niat yang baik dan tidak berdendam kesumat kepada mana-mana pihak.

Orang Melayu tidak mahu mereka diperlakukan secara tidak adil dalam apa bidang sekali pun. Begitulah juga etnik lain. Mereka juga tidak mahu diperlakukan secara tidak sepatutnya seperti adanya saranan memboikot perniagaan mereka. 

Orang Melayu juga tidak mahu etnik yang menguasai ekonomi dan komersial di negara ini memasang kain pemidang yang memaparkan "BOIKOT PENGAMBILAN PEKERJA MELAYU" dan "JANGAN BERURUSNIAGA DENGAN ORANG MELAYU" di premis komersial mereka secara terang-terangan. 

Secara hakikinya, tidak akan ada mana-mana pihak yang siuman akan melakukan pendekatan 'gila' ini! 

Catatan ini tidak mengambilkira kesediaan Orang Melayu dari segi mental, fizikal dan ekonomi untuk menyertai 'perang' boikot ke atas perniagaan kaum lain. Kalaulah pengalaman kesusahan yang dihadapi oleh Orang Melayu ketika peniaga kaum lain cuti berniaga pada hari perayaan mereka, orang Melayu akan mati kebuluran dalam tempoh tidak sampai enam hari dari tarikh hari boikot dimulakan! 

Catatan ini juga tidak mengambil kira kesediaan Orang Melayu sendiri yang berpecah-belah untuk mengambil bahagian dalam membina gelombang boikot yang boleh menakutkan pihak yang disasar. Dalam keadaan yang lebih memerlukan Orang Melayu bersatu mereka tidak dapat bersatu, bolehkah mereka bersatu menjayakan kempen boikot dalam keperluan yang lebih kurang darjatnya?

Struktur etnik di negara ini ditakdirkan seperti yang ada sekarang - MAJMUK. Bekerjalah untuk membangunkan etnik masing-masing tanpa mengusik atau menyakitkan perasaan dan hak pihak lain. Jika ada sesuatu masalah selesaikanlah mengikut kaedah ' win win situation ', bukannya saling 'memerangi' antara satu sama lain.

 

2 ulasan:

  1. ujang kutik,

    Maka teringat saya akan cubaan memboikot barangan tertentu di masa lampau..salah satu nye adalah minuman berkarbonat dari amerika.

    Tidak lah saya ketahui kesan nye tetapi minuman itu rancak saja saya lihat di pasaran dari dulu sehingga kini..haha

    Namun saya juga menyokong saranan tuan..hidup dalam masyarakat majmuk ni kita harus menerima bahawa kita tidak boleh memenangi semua nye sekali.

    serangkap pantun ciptaan orang..

    Buah pelaga makan dikikir
    Dibawa orang dari Ulu
    Sebarang kerja hendaklah difikir
    Supaya jangan mendapat malu.


    BalasPadam
    Balasan
    1. Sdr theolrascal,

      Saya pernah boikot sebuah dua restoran mamak kerana harga makanannya terlalu mahal. Namun, saya tewas - datang semula terhegeh-hegeh. Nasib baik saya tidak memberitahu taukeh restoran mamak itu niat saya hendak memboikot restorannya. Kalau tidak malu saya.

      Namun, kebelakangan ini selain dari restoran mamak, restoran sederhana Cina Muslim meletakkan harga makanan yang lebih mahal dari restoran mamak.

      Padam

" "Kalau hendak tahu dalamnya lubuk, TANYALAH pada memerang"."