Pengikut

Assalamualaikom

.... Terima kasih Allah, Engkaulah Tuhan, akulah hamba ......

Selasa, 28 Mei 2013

JANG, EKAU TAK HANDA LAI (Ujang, awak tidak hebat lagi)

Hari ini, 28 Mei 2013, seorang pelawat blog saya dari Sungai Buluh ‘melawat’ ‘entry’ saya bertarikh 7 Januari 2012, “Jang, ekau handa (Jang, awak hebat)” itu. ‘Entry’ “Jang, ekau handa” adalah mengenai keterujaan dan keyakinan saya terhadap kehebatan pasukan bolasepak negeri saya, Negeri Sembilan pada zaman kegemilangannya (sebelum sesi 2013).


Sinopsis ‘entry’ tersebut adalah lebih kurang begini; Pasukan Negeri Sembilan adalah salah sebuah pasukan elit yang telah berjaya memenangi beberapa piala berprestij. Pasukan bolasepak Negeri Sembilan yang kelihatan kurang bergaya dari segi penampilan tetapi sangat berjaya dan produktif.


Melalui ‘entry’ itu, saya dengan bangga mendedahkan rekod sahih kehebatan Negeri Sembilan beberapa tahun berturut-turut sehingga awal tahun 2012. Pada tahun-tahun tersebut, pasukan bolasepak Negeri Sembilan tidak pernah terlepas peluang membawa sekurang-kurangnya piala naib juara ke Seremban.


Dari itulah tercetusnya ‘entry’, “Jang, ekau handa”.   


Bagaimanapun, “ku sangka panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengah hari.” Setakat catatan ini ditulis, pasukan bolasepak Negeri Sembilan terperosok di tangga tercorot Liga Super Malaysia 2012/2013. Dari 17 kali perlawanan – Cuma menang sekali, 7 kali seri dan sembilan kali kalah.  Aib lagi mengaibkan!


Tidak syak lagi bahawa pasukan bolasepak Negeri Sembilan telah menggali lubang untuk dikuburkan dalam Liga Super Malaysia 2013/2014.


Kepada pelawat blog saya dari Sungai Buluh yang dihormati, saya memohon maaf kerana anda mungkin beranggapan bahawa catatan saya adalah indah khabar dari rupa. Kalau berdasarkan prestasi pada sesi 2013, anggapan anda ada asasnya. Anda benar.


Bagaimanapun, untuk rekod, kehebatan  Negeri Sembilan bolehlah disabitkan setakat sesi awal tahun 2012 sahaja.


Selepas itu dan sehingga sesi 2013 hampir sampai ke penghujungnya, darjat pasukan Negeri Sembilan samalah seperti pasukan Perlis, Sabah dan yang sekufu dengannya kecuali Melaka. Orang negeri Dato’ Soh Chin Aun tidak pandai lagi bermain bolasepak. Malah, pasukan bolasepak Negeri Melaka tidak ada dalam senarai Liga Perdana, liga yang darjatnya lebih rendah dari Liga Super. Liga yang kurang darjatnya itulah yang akan dihuni oleh Negeri Sembilan pada sesi 2013/2014.


Bangkit, bangkitlah Negeri Sembilan!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

" "Kalau hendak tahu dalamnya lubuk, TANYALAH pada memerang"."