Pengikut

Assalamualaikom

.... Terima kasih Allah, Engkaulah Tuhan, akulah hamba ......

Sabtu, 18 Mei 2013

SAYA BUKAN USTAZ



GAMBAR HIASAN (USAI SOLAT SUBUH DI MASJID KEMAMAN)

Saya turut mengambil sehelai risalah yang diletakkan di laluan keluar surau perumahan anggota tentera, Surau Pasifik, Jalan Ampang selepas usai solat Jumaat semalam (17/5/13). Risalah kecil itu sangat membantu untuk menghasilkan solat yang sempurna dan sah.


Kita sering berhadapan dengan berbagai gelagat jumaah ketika solat berjumaah di masjid/surau. Ada yang mengangkat takbiratul ihram berkali-kali kerana was-was. Ada yang membaca terlalu kuat sehingga mengganggu jumaah lain. Ada juga yang tidak kedengaran lafaz bacaan mereka sehingga kita menganggap mereka membaca atau ‘melafazkan’ di dalam hati.


Saya bukan ustaz. Di antara kelemahan saya sendiri ialah memandang sinis kepada golongan yang bukan ustaz yang cuba ‘memperkatakan hal-hal agama yang ilmiah’ yang kita ketahui di luar keupayaan ilmu agama mereka.


Sehubungan ini saya pernah mendengar rungutan seorang ustaz mengenai seorang pakar motivasi terkenal yang begitu berani ‘mengajar agama’ ketika berceramah. Ustaz itu berkata, “Itu (agama) bukan bidangnya.”        


Risalah kecil dan pendek yang saya ambil itu ingin mengingatkan pembaca mengenai kewajiban melafazkan 4 perkara yang melibatkan rukun qauli (wajib dilafazkan) ketika menunaikan solat. Di dalam erti kata lain yang jelas, “ Rukun qauli wajib dilafazkan. Membaca di dalam hati boleh menyebabkan solat tidak sah.” Perkara-perkara yang dimaksudkan ialah:

1.Takbiratul Ihram

Lafaz takbiratul Ihram adalah rukun qauli, maka, WAJIB dilafazkan.

2. Membaca Al-Fatihah 

Lafaz Al-Fatihah adalah rukun qauli, maka, WAJIB dilafazkan.


3.Lafaz Tahiyyaat Akhir

Bacaan Tahiyyat Akhir adalah rukun qauli , maka, WAJIB dilafazkan.

4. Lafaz Salam Pertama

Lafaz salam pertama adalah rukun qauli, maka, WAJIB dilafazkan. Sempurna salam pertama ialah menyelesaikan lafaz salam terlebih dahulu sebelum memalingkan muka ke kanan.



AMARAN!!!! Saya bukan ustaz. Sepatutnya risalah pendek itu untuk bacaan saya sendiri sahaja. Bagaimanapun, saya memberanikan diri memanjangkan isi kandungannya untuk panduan pembaca yang sudi. Dapatkanlah penjelasan dan bimbingan golongan yang ada ‘authority’ (ustaz) untuk mengesahkan dan meyakinkan anda.   

2 ulasan:

  1. ujang kutik,

    sharing is caring...hehe

    Niat nye baik ..
    ingin mengingati dan memperbetulkan..
    siap dengan amaran lagi suruh buat rujukan.

    BalasPadam
  2. Sdr theolrascal,

    Semoga dinamakan dakwah juga.....

    BalasPadam

" "Kalau hendak tahu dalamnya lubuk, TANYALAH pada memerang"."