Pengikut

Assalamualaikom

.... Terima kasih Allah, Engkaulah Tuhan, akulah hamba ......

Isnin, 20 Mei 2013

SUDAH LAMA TIDAK JUMPA BIRAS : BABAK KE-2



Akhirnya, pada hari ke-14 selepas PRU 13 dapat juga saya bertemu semula dengan biras saya, orang kuat Ketua Bahagian. Bosnya, Ketua Bahagian yang pernah beberapa penggal menjadi ADUN dan juga mantan bakal calun yang tidak dicalunkan pada PRU 13 yang lalu.

Pun demikian, pertemuan tersebut berlaku dengan tidak dirancang. Ianya bermula apabila kakak isteri saya @ kakak ipar saya yaani isteri biras itu kurang sehat dan meminta isteri saya menyediakan ‘spaghetti’ di rumahnya.  

Saya dan isteri sampai di rumahnya lebih kurang jam 6.00 petang. Yang ada ketika itu ialah isteri dan dua orang anak remajanya. Biras saya tiada. Saya dimaklumkan dia telah keluar rumah sejak jam 3.00 petang kerana menghantar bosnya ke lapangan terbang.  Bosnya ada urusan di Indonesia.

Tidak lama kemudian biras saya balik. Di usia 64 tahun, pesara pegawai tentera itu masih kelihatan segak, bergaya dan awet muda. Saya yang beberapa tahun lebih muda darinya merasakan diri fizikal lebih tua darinya.
  
Saya tidak perlu bertanya atau menunggu lebih lama untuk mendengar cerita politik semasa dan yang paling penting, pendiriannnya setelah bosnya tidak dicalunkan dan partinya kalah teruk.

Beliau terkilan kepada pengundi yang ‘tidak matang’ sehingga menyebabkan calun partinya kalah. Beliau juga kesal terhadap sebilangan pemimpin partinya yang tidak bekerja dengan bersungguh-sungguh dan terlalu mementingkan diri sendiri dan suku sakat.

Biras saya, orang Pulau Pinang yang ada iras pelakun Hindustan Ameer Khan adalah biras saya seperti yang dahulu juga, yaani ‘sebiji’ seperti ketika sebelum PRU 13. Tidak ada perubahan langsung. Keputusan pilihanraya di kawasan kami tidak sedikit pun melemahkannya. Beliau tidak berganjak atau berundur dari perjuangan dan keyakinannya walaupun setapak.

Ternyata telahan saya mengenainya jauh menyimpang. Tipikal sebenar biras saya masih kukuh bertapak sekukuh tembok besar negeri Cina. Beliau umpama seorang soldadu yang mungkin agak naïf dalam menyelusuri sepak terajang politik tetapi sangat ikhlas dan yakin dengan nawaitunya.

Di usia 64 tahun, biras saya masih tidak mengenal erti putus asa. Beliau masih terus berganding bahu dengan bosnya, Ketua Bahagian, untuk perhitungan PRU Ke-14. Di ketika itu, usia beliau akan menjangkau ke-69 tahun.

Usahkan beliau, saya sendiri jika dipanjangkan usia akan begitu tua ketika itu. Dan, kendatipun ikatan kekeluargaan tidak sedikit pun terlerai, mimpi masing-masing tidak semestinya sama!

2 ulasan:

  1. ujang kutik,

    bila sudah tua..
    nak bertukar hobi tak semudah orang muda..

    semoga segala niat baik kita di restui Nya.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Sdr theolrascal,

      Masing-masing umpama banir - ikut hukum akal tidak akan berubah.

      Padam

" "Kalau hendak tahu dalamnya lubuk, TANYALAH pada memerang"."