Pengikut

Assalamualaikom

.... Terima kasih Allah, Engkaulah Tuhan, akulah hamba ......

Selasa, 11 Jun 2013

JAHAT DAN BAIK



Senario hari ini membuatkan ibu bapa sentiasa resah dan tidak pasti akan keselamatan anak masing-masing. Seorang anak gadis yang sedang menunggu bas boleh sahaja bila-bila masa ‘disambar’ oleh ‘helang pemangsa’ yang sangat mahir dan kejam. Kita sudah dapat mengagak akan babak-babak selepas itu – menyedihkan dan menyayat hati.


Arakian, lalu keadaan meletakkan satu tanda aras yang tidak pernah dipertikaikan. Malah, dua belah pihak yang saling berbalah dalam hampir semua perkara boleh bersependapat dalam hal ini , “ Secara nisbahnya, hari ini di mana-mana sahaja akan ada orang jahat dan juga tidak boleh dipercayai.”


Namun demikian, di tengah-tengah suasana ‘huru-hara’ dan rakus ini, masih ada lagi sisa-sisa manusia baik dan tidak mengambil kesempatan. Natijahnya, kadang-kadang ada manusia bernasib baik walaupun telah melakukan kesilapan yang risikonya sangat merbahaya.


Kisah Benar Seorang Pemuda Naif dan Gadis IPTA:


Pada satu waktu dinihari, seorang pemuda pertengahan 20-an, dikejutkan oleh satu panggilan telefon dari seorang gadis yang kali terakhir mereka berkomunikasi pada lebih 4 tahun yang lalu. Pemanggil menghuraikan masalahnya. Pemuda itu mengabaikan kerana ada kecurigaan, mengantuk dan masanya tidak sesuai. Dia meneruskan tidurnya.


Tidak beberapa lama kemudian, pemuda itu dikejutkan lagi oleh panggilan telefon dari gadis yang sama. Gadis itu, seorang pelajar jurusan agama sebuah IPTA di Nilai, Negeri Sembilan. Dia merayu agar pemuda itu datang menolongnya di sebuah uptown sekitar Shah Alam, Selangor .


Gadis pelajar IPTA itu mengulangi lagi dakwaannya bahawa seorang yang baru dikenalinya melalui laman sosial sedang merancang hendak melakukan sesuatu yang tidak baik terhadapnya. Kononnya, dia telah dipujuk untuk makan-makan dan jalan-jalan sehingga akhirnya sampai di uptown sekitar Shah Alam, Selangor yang jauhnya melebihi 40 kilometer dari universitinya di Nilai.


Gadis itu memberitahu bahawa dia sedang menyorok di sekitar uptown yang tiada sesiapa lagi di situ. Pemuda yang baru dikenalinya itu sedang mencari mangsanya, iaitu dia.


Persis seorang pelakun dalam drama Melayu, pemuda itu bergegas dari kediaman keluarganya di Sijangkang, Selangor ke lokasi yang dinyatakan. Berbekalkan seutas rantai motorsikal dan sebiji botol yang dipecahkan dasarnya, pemuda itu meredah kedinginan malam dalam misi suci menyelamatkan seorang gadis pelajar universiti aliran agama yang tersalah langkah.


Kalau di dalam drama Melayu, motorsikal yang digunakan ialah berkuasa tinggi Harley Davidson, pemuda itu sebaliknya cuma menunggang motorsikal kapcai lama. Dia bersendirian meredah dinihari yang dingin, yaani di sekitar jam 3.00 pagi dengan semangat yang berkobar-kobar dan yakin.


Pemuda itu menemui gadis pelajar IPTA yang dicarinya di sekitar satu tempat tersorok di uptown yang dinyatakan. Tidak beberapa jauh dari situ terdapat sebuah kenderaan Proton Wira;  enjin dihidupkan, lampu  terpasang dan muzik dimainkan dengan begitu kuat. Seorang pemuda duduk di tempat pemandu.


Si pemuda yang memulakan aksi ‘adiwira’nya menghampiri kenderaan dan dengan berani membuka daun pintu bahagian pemandu kenderaan itu. Susuk tubuhnya yang sederhana sahaja disembunyikan dengan lagak berani yang meyakinkan;


“ Kamu hendak buat apa dengan ‘adek’ aku ini? ”


“ Tak ada apa-apa. Kami cuma jalan-jalan sahaja.”


“ Tak ada apa-apa? Aku tidak mahu tengok muka kamu di sini lagi. Pergi!!!”


Pemuda ‘kasanova’ yang alah dengan gertakan dan berhati kecil itu meninggalkan lokasi.


Pemuda ‘adiwira’ memakaikan helmet di kepala gadis pelajar IPTA. Dia menunggang motorsikal dengan hati-hati di ketika embun subuh mula menitik. Seorang gadis pelajar IPTA yang jelita memeluk erat tubuhnya dalam satu perjalanan Shah Alam-Nilai yang jauh, mencabar dan menguji keimanan.


Pemuda ‘adiwira’ yang naïf, jujur dan baik hati dan seorang gadis IPTA jurusan agama selamat sampai di tempat penginapan gadis pelajar IPTA itu di Nilai, Negeri Sembilan di sekitar jam 5.00 pagi.


Terima kasih. Sama-sama.


Pemuda ‘adiwira’ yang naïf lagi baik hati tidak balik ke rumahnya di Sijangkang, Banting, Selangor. Dia terus menuju ke surau pejabatnya di Jalan Ampang, Kuala Lumpur. Usai solat subuh dia tidur sebentar.


Lebih kurang 5 minit sebelum jam 8.30 pagi dia telah berada di meja pejabat untuk memulakan tugasan pada hari itu.


Ulasan:


  1. Sebilangan rakan-rakan memuji pemuda itu kerana tidak ramai orang yang sanggup berkorban sebegitu rupa.
  2. Sebilangan rakan-rakan mempertikaikan tindakan ‘bodoh’ pemuda itu kerana boleh membahayakan keselamatan diri sendiri.
  3. Sebilangan lagi rakan-rakan yang mengagumi bekas seorang presiden di Eropah yang 'kaki perempuan' dan suka berpoya-poya, memperbodohkan tindakan ‘lurus bendul’ pemuda itu kerana tidak mengambil kesempatan ketika berdua-duaan dengan seorang gadis IPTA jelita di persekitaran yang sunyi lagi mengujakan.  

6 ulasan:

  1. ujang kutik,

    ''...5 minit sebelum jam 8.30 pagi dia telah berada di meja pejabat untuk memulakan tugasan pada hari itu.''

    Pemuda adiwira kemudian nya akan kelihatan macam biasa biasa saja.. terlintas saya akan kata pepatah orang putih..

    Never judge people. You never know what kind of battle they are fighting,

    Bayangkan kalau gadis itu adalah anak gadis kita. Bukankah kita akan berasa terhutang kerana ujud nye pemuda yang se 'naif ' hero kita di atas tadi...

    BalasPadam
    Balasan
    1. Sdr theolrascal,

      " Natijahnya, kadang-kadang ada manusia bernasib baik walaupun telah melakukan kesilapan yang risikonya sangat merbahaya."

      Itulah ungkapan yang saya maksudkan terhadap gadis itu. Dia bernasib baik walaupun berada di kedudukkan yang tidak menyebelahinya. Dia berada di 'mulut harimau' dan juga bakal (ada kemungkinan) 'harimau jadian' (pemuda naif itu).

      Untuk makluman, Pemuda naif itu adalah graduan KUIS. Pernah menjadi ustaz sementara di sebuah sekolah agama di sekitar Banting. Walaupun bidang kerjayanya sekarang sangat tidak berkait dengan bidang pendidikkannya dan begitu juga penampilannya ' tidak beberapa ustaz lagi', dia ada asas agama. Dalam berhu-ha dia tidak meninggalkan solat dan dia juga tidak melakukan perkara-perkara di luar batas.

      Kita sememangnya tidak mahu insiden seperti dipaparkan berlaku kepada anak-anak perempuan kita, saudara mara dan juga masyarakat yang lain.

      Padam
  2. ehemmm... terfikir pula. ada ke lagi kisah seperti itu hari ini?

    BalasPadam
    Balasan
    1. Sdr IM,

      Ehemmm......ehemmm

      Ini naluri saya, " Saya tidak akan tenteram jika menulis perkara tidak benar atau mengada-adakan cerita."

      Perkara yang saudara musykilkan inilah yang saya tanya dengan ' pemuda naif ' itu.

      Rakan-rakan yang mengenali beliau (termasuk saya) percayakan beliau. Sebab itulah wujudnya 3 persepsi ke atas tindakan beliau di bawah perkara 'ulasan' dalam entri saya itu.

      Saya suka sesi ini. Selalunya penerimaan sesama kita mendatar dan 'streotype'.

      Padam
  3. Balasan
    1. Puan CM,

      Terima kasih kerana kisah benar ini meransang CM menjenguk dan seterusnya memberikan ulasan. Sumber sahih.

      Pada asalnya saya bercadang hendak memaparkan ' 2 kisah benar ' dalam entry ini. Bagaimanapun, memikirkan ianya terlalu panjang, saya catat satu kisah benar sahaja.

      Padam

" "Kalau hendak tahu dalamnya lubuk, TANYALAH pada memerang"."