Pengikut

Assalamualaikom

.... Terima kasih Allah, Engkaulah Tuhan, akulah hamba ......

Sabtu, 20 Julai 2013

ABANG HAMID PANCO : DAHULU, KINI DAN SELAMANYA


Indah..... Abang Hamid Panco Sangat Menyenangi Persekitaran Ini.......Persekitaran Kampungnya
Dahulu, kini dan selamanya, itulah beliau, orang kampung saya,  Abang Hamid Panco (bukan nama sebenar- saya sengaja tidak menyebut nama sebenar beliau kerana khuatir beliau tidak setuju/selesa dengan tindakan itu). Beliau, di usia pertengahan 60-an, bertubuh agak kecil dan masih bujang trang tang tang. 

Ketika kecil saya selalu juga ke rumah beliau yang terletak di pinggir kampung. Ayah beliau mengusahakan 'gula anau' ( di tempat lain dinamakan gula kabung). Allahyarham ayah beliau sangat baik dengan budak-budak. Sedemikian, dapatlah saya dan kawan-kawan merasa air nira ( proses membuat gula anau bermula dari memasak air nira dalam kuali besar sehingga pekat dan menjadi seakan-akan dodol). Ayah Abang Hamid Panco juga tidak berkira dalam mengagih-agihkan kerak gula anau yang terlekat di bibir kuali kepada saya dan rakan-rakan yang bermain di halaman rumahnya secara percuma. Saya katakan bahawa keenakkan air nira dan kerak gula anau adalah sejarah lalu. Saya dan sesiapa sahaja di kampung saya tidak akan dapat merasanya lagi kerana tiada sesiapa yang mengusahakannya sekarang termasuk juga Abang Hamid Panco.
 
Saya tidak ingat harga sekeping gula anau yang dijual oleh ayah Abang Hamid Panco kepada orang kampung ketika itu (tahun hujung 60-an ). Gula anau dalam bentuk keping dibungkus antara 5-10 keping dalam satu bungkusan dengan daun kelapa kering. Gula anau 'original ' digunakan oleh penduduk kampung ketika membuat kueh 'kelepong' (buah Melaka), pengat atau  dicampur dengan emping sebagai bahan pemanis.
 
Saya tidak mempunyai kisah-kisah nostalgik yang khusus dengan Abang Hamid Panco semasa zaman anak-anak. Ini mungkin berlaku kerana perbezaan usia yang agak jauh antara kami.

Bagaimanapun, Abang Hamid Panco adalah 'selebriti' di kampung kami. Sedemikian, beliau dikenali dan dekat di hati penduduk kampung. Beliau boleh ' ke hulu', boleh 'ke hilir', boleh 'ke tepi', boleh 'ke tengah'.

Beliau rajin ke masjid. Beliau ringan tulang samada di majlis kenduri atau perkahwinan. Beliau boleh menyanyi (dan akan siap siaga untuk menyampaikan beberapa buah lagu dalam majlis perkahwinan). Beliau boleh menulis (cerpen dan sajak). Walaupun karya-karya beliau tidak 'pergi jauh', banyak juga cerpen atau sajak beliau yang mendapat tempat di rancangan-rancangan radio dan majalah. Beliau ada nama pena - " XXXXX Hamid".

Abang Hamid Panco juga adalah pendengar ' regular ' yang aktif dan istiqamah dalam rancangan permintaan lagu-lagu dari pendengar di sebuah setesen radio. Rancangan tersebut berlangsung pada waktu malam. Ketika itu Abang Hamid Panco menggunakan telefon awam yang terletak berhampiran Kedai Uwan Piah untuk membuat permintaan lagu. Acapkali beliau mengeluh dan membuat panggilan semula kerana talian terputus. Kadang-kadang kotak tempat meletak gagang telefon yang tidak bersalah itu menjadi mangsa amarah Abang Hamid Panco. " Macam mana tak marah, duit ditelan tetapi panggilan terputus."

Sejak meninggalkan kampung halaman, saya kurang mengetahui perjalanan hidup beliau. Setahu saya, sungguh pun ada pada sesuatu tempoh beliau meninggalkan kampung, beliau akan balik semula melangsungkan kehidupannya di kampung. Seolah-olah kampung tidak dapat dipisahkan dari hidup beliau.


Saya telah lama tidak melihat kelibat Abang Hamid Panco di masjid kami ketika saya balik kampung. Selalunya beliau datang ke masjid dan kami akan bertanya khabar dan berbual serba sedikit.  Mungkin ketika itu beliau kurang sihat atau berada di luar kampung.

Walaupun begitu, saya tidak beberapa bimbang kerana suara Abang Hamid Panco atau nama penanya XXXXX Hamid masih berkumandang di udara. Beliau masih istiqamah membuat panggilan ke setesen radio dan membuat permintaan lagu untuk kenalan dan 'rangkaian kawan' beliau yang saling tuju-menuju lagu dan berkirim salam persahabatan. Rancangan sebegini sebenarnya begitu nostalgik kepada generasi yang membesar dengan siaran radio!

Sebenarnya, saya baru mengetahui bahawa Abang Hamid Panco masih aktif membuat panggilan ke setesen radio daripada isteri saya yang kadang kala mengikuti rancangan itu. Isteri saya bertanya samada saya kenal dengan XXXXX Hamid yang mengaku berasal dari kampung saya. " Benar, beliau orang kampung Abang."  
  
Justeru itu, selain dari penambahan usia yang sangat radikal dan perubahan fizikal tubuh badan yang juga bukan alang kepalang sifatnya, banyak ciri-ciri kehidupan Abang Hamid Panco yang kekal seperti " Dahulu, Kini dan Selamanya. Saya berdoa semoga beliau yang hidup sendirian di dalam keadaan sehat walafiat.         


2 ulasan:

  1. Assalamualaikum Bang Ujang..

    Bilo den baco corito abang Hamin panko ni toringat den dongan dio bobasikal kulu kilir kek kampong dulu..kalau bulan puaso, nak jumpo dio kek kodai lobong makan mee goring yang memang special maso tu..kalau tak kek kodai daim burak burak kek pangkin dopan kodai tu sebolum torawikh kek surau sebolah kodai daim tu..dio ni tak ponah nak corito buruk orang ..hati eh baik dan solalu nak gembirokan orang..memang dah sifat dio dari dulu lai...den ado jumpo dio baru baru ni kek kampong..Nampak sehat lai...

    Selamat berpuaso dan Selamat HariRaya Aidil fitri..insyaallah rayo niden rayo kek kampong congkau ulu..

    BalasPadam
  2. Waalaikomsalam,

    Bilo dah posting baru teringat ' Dio bobasikal kulu kilir' dengan gelagat tipikal dan 'istimewanya'.

    Lan, arwah Lobong dulu buek mee rojak pada bulan poso....

    Abang dan keluarga tiap-tiap tahun balik Congkau Ulu dulu dan lopeh sembahyang baghu ke Masjid Tanah. Aman Uwan Saadiah(Cin Peng) yang perasan dengan perkara ini berkata Abang ado lesen bosa.

    Bagaimanapun, tahun ini bolum tahu lagi kerana ado soksek-soksek nak beraya di Masjid Tanah dulu.

    Mano pun kita berada jangan lupa Panco, Tompek Godang, Pokan Koto,Batu 24, Lobong, Kancil, Mat Loncek, Meon, Kancah,.......

    BalasPadam

" "Kalau hendak tahu dalamnya lubuk, TANYALAH pada memerang"."