Pengikut

Assalamualaikom

.... Terima kasih Allah, Engkaulah Tuhan, akulah hamba ......

Ahad, 7 Julai 2013

BUMI MANA TIDAK DITIMPA HUJAN


Gambar Hiasan -JAMBATAN KUALA BERANG'-Air Tasek Kenyir Mengalir Di Sini

Mangkuk jorong, pinggan pun jorong,
Si jorong berisi buah jati,
Dua, tiga kata terdorong,
Jangan dibawa masuk ke hati.

WALAUPUN menekuni sebuah blog ringan dan santai, ada ketikanya catatan-catatan saya tidak disenangi oleh pembaca. Mereka itu tidak menampilkan diri dengan terang tetapi menggunakan nama samaran ' Tanpa Nama '. 

Namun demikian, ada juga di antara mereka itu dari kalangan rakan-rakan yang blog mereka saya ikuti. Kebiasaannya, golongan kedua ini (rakan-rakan blogger) menyampaikan 'ketidaksetujuan' mereka melalui bahasa-bahasa kiasan atau secara gurauan. Ada juga secara terus terang.  

Saya berlapang dada kerana ' Bumi Mana Tidak Ditimpa Hujan'. 

Saya juga pernah memberikan pendapat dalam sebuah blog yang hampir semua artikalnya terarah kepada 'perang' atau provokasi kepada sebuah kumpulan dakwah terkenal di tanah air. Natijahnya, markas kumpulan itu telah dilawati oleh kedua-dua pemimpin tertinggi pertubuhan politik yang bertanding ( termasuk juga pemimpin parti politik yang disokong oleh pemilik blog itu) dalam PRU 13 yang lalu. Pendapat atau pandangan saya mengenai 'ketidakperluan' berperang dengan kumpulan dakwah itu sebaliknya 'berperanglah' dengan pihak yang jauh dari surau/masjid seperti yang dijangka sangat tidak disenangi oleh pemilik blog itu.  

Saya perturunkan beberapa rangkap Pantun Melayu Lama yang menunjukkan kaedah klasik Orang Melayu zaman dahulu menyampaikan sesuatu maksud yang terpendam di dalam hati ;

Jalan-jalan sepanjang jalan,
Singgah menyinggah di pagar orang,
Pura-pura mencari ayam,
Ekor mata di anak orang.

Tetak nyirih gelangkan dapur,
Mari ditetak dengan dahannya,
Minta sirih barang sekapur,
Mari minta dengan tuannya.

Jikalau kena dengan tetaknya,
Macam mana nyirih tak rapat?
Jikalau kena dengan mintanya,
Macam mana sirih tak dapat?



Kuala Berang, Terengganu
7 Julai 2013

 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

" "Kalau hendak tahu dalamnya lubuk, TANYALAH pada memerang"."