Pengikut

Assalamualaikom

.... Terima kasih Allah, Engkaulah Tuhan, akulah hamba ......

Khamis, 12 September 2013

ISU ANJING : Memudahkan, bukan memberatkan.



Pada 10 September 2013, di sekitar jam 9.45 malam ketika melewati rumah jiran secara berjalan kaki dalam perjalanan ke kedai runcit berhampiran kawasan perumahan, saya ditanya oleh jiran itu samada ternampak seekor anjing atau tidak.

Saya bertanya balas, “ Kenapa?”

“ Saya baling anjing itu dengan batu sebentar tadi kerana berkeliaran di hadapan rumah,” jawab jiran yang telah lebih sepuluh tahun bersara itu.  

Saya tidak bertanya kenapa dia membaling haiwan itu. Saya telah ada jawapannya.

Orang kita (Melayu) sangat benci dengan anjing!

Secara kebetulan, semalam (11/09/2013), saya terbaca artikal Dr Asyraf Wadi Dasuki bertajuk ‘ Memudahkan, bukan memberatkan ’ dalam kolum ‘ fikrah’ beliau di sebuah akhbar harian. Beliau adalah Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM).

Beliau menceritakan pengalaman menariknya ketika mengadakan lawatan kerja ke Sabah. Yang mengujakan saya ialah ulasan dan pendekatan beliau berkaitan hubungan Orang Islam dengan anjing dalam kehidupan seharian yang komuniti masyarakatnya majmuk - berbagai kaum dan agama.  

Saya seperti setengah menjerit , “Beliau inilah di antara ahli agama yang mampu memberikan jawapan fekah berkaitan anjing yang saya tunggu-tunggu selama ini!!!

Saya salin semula beberapa petikan menarik dari artikal beliau:

Penulis turut mengunjungi rumah panjang saudara-saudara baru, ketika ini mengikuti program pengajian agama secara mingguan anjuran Yadim.


Menariknya masyarakat di sini amat toleran dan cukup menghormati kepelbagaian agama. Tidak kira Kristian mahupun Islam, pendakwah-pendakwah yang datang sentiasa disambut dengan ceria tanpa wujud curiga jauh sekali terancam. Lebih menarik, masyarakat Islam masih tinggal bersama keluarga bukan Islam dalam satu rumah panjang walaupun berlainan agama.


Salah seorang pendakwah Yadim yang memeluk Islam sejak 2007 turut tinggal dalam rumah panjang sama dengan abangnya yang merupakan ketua gereja kampong. Malah ketika saya hadir, abangnya turut menyambut kehadiran saya dengan penuh ceria bahkan mengalu-alukan program-program pembangunan ilmu kepada para penduduk.


Beliau yang juga ketua kampong turut mencadangkan kepada pejabat daerah supaya mewujudkan kawasan perkuburan berasingan untuk orang Islam kerana bilangannya semakin meningkat. Demikian harmoninya mereka yang wajar dijadikan model masyarakat Malaysia berbilang agama dan kaum.


Malangnya ada segelintir pendakwah ambil pendekatan keras ketika ketika sampaikan mesej Islam yang seringkali terkait dengan kegagalan memahami waqi’ (kontekstual) dan kurangnya mendalami ilmu fekah dalam berdakwah.


Sebagai contoh ada segelintir pendakwah menyeru kepada saudara-saudara baru agar berpindah dari rumah panjang yang didiami bersama keluarga bukan Islam kerana melihat persekitaran rumah itu yang penuh dengan anjing berkeliaran.


Dalam hal ini, kefahaman dalam fekah amat mustahak bagi pendakwah mendepani isu-isu ditimbulkan secara hikmah dan berteraskan ilmu yang benar.


Sebagai contoh, dalam isu najis anjing, jika diambil pandangan Mazhab Syafie tentu sekali seseorang akan berkecenderungan mengeluarkan pandangan semberono untuk mereka keluar dari kawasan persekitaran yang penuh dengan anjing. Ini kerana bagi Mazhab Syafie, anjing, babi dan keturunan yang lahir daripada kedua-duanya termasuk sisa dan peluhya adalah najis ‘ain yang memerlukan basuhan tujuh kali, salah satunya dengan tanah ke atas apa sahaja yang disentuhnhya.


Dalam hal ini, mungkin ada baiknya untuk menuruti pandangan daripada mazhab Maliki yang menanggapi anjing secara mutlaknya samada yang digunakan sebagai kawalan dan buruan atau tidak bukanlah najis ‘ain yang memerlukan dibasuh tujuh kali secara ta’abbud menurut pandangan yang masyhur di kalangan mereka.


Persoalan seperti ini tentu sahaja memerlukan seorang pendakwah memahami matlamat syarak (Maqasid al-Syariah) dan fekah keutamaan ( fiqh awlawiyyat) agar sebarang tindak tanduk dan pendirian yang diambil tidak sampai mengharu-birukan umat. Islam agama yang mempermudah, bukan mempersulitkan manusia.


Berbalik kepada isu anjing di rumah panjang, penulis berkali-kali menegaskan kepada saudara-saudara baru yang kini menjadi pendakwah Yadim agar kekal tinggal bersama ahli keluarga masing-masing. Ini kerana Islam tidak pernah mengizinkan talian kekeluargaan terputus lantaran memeluk agama ALLAH.


Malah antara isu anjing yang masih ada ruang-ruang perbezaan di kalangan mazhab dengan keperluan mempertahankan ikatan kekeluargaan yang dipersetujui secara ijma’ oleh para fukaha, tentunya keutamaan akan diberikan kepada perkara yang tidak diperselisihkan. Ini juga akan membuktikan kedinamikan Islam sebagai agama yang mudah dan penuh toleransi. Mudah-mudahan ini dapat menarik minat masyarakat bukan Islam untuk lebih dekat kepada Islam.


* Penulis ialah Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim).

Wallahua’lam.          

4 ulasan:

  1. Org Melayu Msia ni memang xtra sensitif bab bab anjing ni. Takut nanti kita pandai pandai buat hukum melebihi Allah.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Sdr Tanpa Nama,

      Mungkin juga kita (Melayu) kebanyakkannya tidak menetap di penempatan yang betul-betul mencabar di mana anjing-anjing berkeliaran seperti di rumah panjang, estet dan perkampungan Orang Asli.

      Mungkin juga kita tidak hadam (termasuk saya) bab anjing, kenajisan dan persoalannya.

      Wallahua'lam . T.kasih.

      Padam
  2. salam
    terimakasih atas panduan yg diberi..mengenai ubat utk kucing yg tercedera tu...nasihat tuan amat dihargai..

    BalasPadam
    Balasan
    1. Puan Kamsiah,

      Sama-sama.

      Jagalah dan bersedialah dengan karenah Alex @ Si Hitam.

      Padam

" "Kalau hendak tahu dalamnya lubuk, TANYALAH pada memerang"."