Pengikut

Assalamualaikom

.... Terima kasih Allah, Engkaulah Tuhan, akulah hamba ......

Selasa, 3 September 2013

NAIK, NAIK, NAIK.....

'UPDATE' (5 September 2013)

TAJUK MUKA HADAPAN SEBUAH AKHBAR 05/09/2013
Semalam , 4/9/2013, saya mengisi minyak buat pertama kalinya selepas kenaikan sebanyak 20 sen/litre pada 3 September 2013. Saya cuma mengisi RM20.00.  Saya memerhati dengan sayu kepada alat pengira digital di pam minyak

Pada harga lama RM1.90/litre (RON95) saya mendapat 10.526 litre. Setelah kenaikan 20 sen saya cuma dapat 9.523 litre. Saya ' rugi' 1.003 litre atau lebih kurang RM1.90 berdasarkan perbandingan harga lama.

Dengan nilai RM1.90 saya boleh minum teh tarik (RM1.20/gelas) dan sebiji kueh karipap (40 sen/biji) di warung belakang pejabat. Lebihan 30 sen lagi saya boleh gunakan semasa menggunakan tandas di pusat beli belah.

Saya mencongak cara mendapatkan semula RM1.90/seisian RM20.00.....saya juga mencongak kaedah hendak menyelaraskan kenaikan berantai harga barangan/perkhidmatan  lain dengan pendapatan...belum dapat lagi kaedahnya.

Tiba-tiba saya menjadi seorang yang amarah. Marah kepada peniaga 'opportunist' yang akan 'merompak' pegguna, marah kepada penguatkuasa yang asyik berjanji memantau peniaga/pengusaha tetapi tidak berdaya, marah bujur lalu melintang patah.....     

Astaghfirullah, seseorang yang marah secara melampau itu dipermainkan syaitan. Marah sedemikian cuma menambah-rebakkan api amarah yang banyak keburukkan dari manfaatnya.  


CATATAN ASAL:

Saya duduk semeja dengan beberapa orang golongan klas perengahan muda ketika menghadiri rumah terbuka hari raya seorang saudara.Walaupun tajuk perbualan banyak terkehadapan dan sesetengahnya agak asing bagi saya, saya menyesuaikan diri sebagai seorang dewasa yang ' terlebih dahulu makan garam'. 

Dari cerita golf, halangan dan cabaran di tempat kerja, membayar kos lebih RM500/sebulan/seorang  kerana menghantar anak-anak ke tadika, pengalaman dan cabaran ketika ditugaskan di luar negara, anak-anak muda di usia awal 30-an itu turut 'mengulas' dan membincangkan cabaran yang terpaksa dihadapi sekarang untuk terus hidup. 

Satu luahan ikhlas yang terkeluar dari mulut salah seorang dari mereka ialah, " Kalau kita (golongan pertengahan) pun terasa bahangnya, tentu golongan bawahan dan mereka yang baharu hendak hidup berkerjaya lebih merasakan kesusahannya." 

Harga rumah yang naik mendadak, ura-ura hendak memendekkan tempoh pinjaman, kenaikan kos kehidupan juga ' merisaukan ' mereka yang berpendapatan tinggi itu. Mereka juga ada membayangkan bahawa dunia akan mengalami masalah ekonomi dan hantu inflasi sedang berada di hadapan pintu rumah.

Mereka juga menjangkakan bahawa kenaikan harga minyak dalam tempoh terdekat seperti tidak dapat dielakkan! Maka, benar dan tiada yang tidak benar kerana segala-galanya benar belaka, harga minyak naik 20 sen mulai 3/9/2013.

Saya mula mencongak: Kalau harga segelas teh tarik mamak sekarang di antara RM1.30-RM1.50, berapakah harganya apabila terbit fajar 3/9/2013? RM1.50 - RM1.80? Roti canai berapa pula?

Nak 'buek macam mano' kerana kenaikan harga minyak adalah umpama 'lesen pembunuh' yang jatuh ke riba peniaga untuk 'mengerjakan' pengguna secara rambang. Dalam apa sahaja situasi pengguna adalah golongan yang tekuk lutut dan tidak berdaya melawan karenah dan muslihat peniaga pada setiap kali diumumkan kenaikan harga minyak.

Lihatlah dalam tempoh terdekat betapa peniaga ' Tidak Suman-Suman' dan dengan gelojohnya menaikkan harga barang! Sebilangan masyarakat mungkin memboikot kedai mamak buat seketika, tetapi kebiasaannya tindakan yang boleh dilakukan itu tidak akan bertahan lama. Kita alah dan dikalahkan.Sedangkan bertangga di restoran mamak satu kerja mudah yang dapat dielakkan, bayangkanlah mendapatkan keperluan lain yang tidak ada ruang untuk pengguna memboikot. Kita tiada pilihan dari 'dikerjakan' oleh peniaga!    

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

" "Kalau hendak tahu dalamnya lubuk, TANYALAH pada memerang"."