Pengikut

Assalamualaikom

.... Terima kasih Allah, Engkaulah Tuhan, akulah hamba ......

Sabtu, 16 November 2013

SHAH JAHAN

SHAH JAHAN
Dia mendakwa namanya Shah Jahan dan berasal dari Bangladesh. Saya menemuinya di Kepis, Bahau, Negeri Sembilan di sebuah perhentian bas pada suatu waktu tidak beberapa lama yang lalu. Kepis terletak lebih kurang 15 kilometer dari Pekan Bahau.

Saya yang menunggu seseorang berhampiran perhentian bas itu menghampirinya. Dia seorang sahaja di situ. Dia berkulit agak gelap sedikit, mungkin di usia awal 40-an, berperwatakan mudah mesra dan berpakaian kasual yang kelihatan kemas.

Shah Jahan memberitahu saya bahawa dia hendak ke Pekan Bahau dan seterusnya ke Rawang, Selangor. Jarak antara Bahau-Rawang hampir 200 kilometer. Dia ke Rawang kerana telah mendapat kerja baharu di situ setelah kerjanya (bekerja dengan sub-kontraktor) di sebuah kilang semen di Bahau selesai.

“ Di Malaysia banyak kerja, “ dia meluahkan pandangan melalui pengalamannya berada di Malaysia sejak tahun 2002.

Saya hampir tidak percaya ketika dia mendakwa bahawa pendapatan kebanyakkan pendatang sepertinya boleh menjangkau RM3,000.00 sebulan. Katanya, “ Gaji kecil tetapi banyak ‘ overtime’.”

Sepanjang tempoh berada di Malaysia dia pernah bekerja di banyak tempat – Shah Alam (Selangor), Senawang (N.Sembilan), Melaka dan Pasir Gudang (Johor).

Dia juga mengambil tahu hal politik Malaysia. Dia tahu UMNO, PAS, PKR, DAP, Barisan Nasional dan Pakatan (Pakatan Rakyat). Dia menyedari orang Melayu berpolitik sepanjang masa!

Dia memuji Malaysia kerana walaupun penduduknya dari berbagai kaum tetapi boleh hidup dengan aman dan harmoni.   

SHAH JAHAN MEMINTA GAMBARNYA DIRAKAM DARI SUDUT LAIN
Kami berdua sahaja di perhentian bas itu. Perbualan rancak kami berjalan hampir satu jam kerana bas yang ditunggu-tunggunya di kawasan sunyi itu tidak kunjung tiba. Begitulah juga orang yang saya ingin saya temui di kawasan sekitar perhentian bas itu juga tidak menunjukkan muka.  

Dia agak keberatan menjawab soalan saya mengenai keadaan kehidupan rakyat Bangladesh. Bagaimanapun, dia mendakwa bahawa bumi Bangladesh mengandungi banyak sumber bumi tetapi belum diteroka kerana sebab-sebab tertentu.

Dia yang telah berkeluarga dan mempunyai seorang anak lelaki cuma empat kali sahaja berpeluang balik ke Bangladesh.  Dia juga sangat mengetahui akan risiko meninggalkan isteri sendirian. Katanya dia pernah dimarahi oleh bapa saudara isterinya kerana meninggalkan keluarga dalam tempoh terlalu lama.

Dia sangat suka apabila saya mengajukan pendapat bahawa pendatang Bangladesh kurang terlibat dalam gejala jenayah ketika mencari rezeki di Malaysia. Sebaliknya, dia mendakwa bahawa gejala jenayah banyak dilakukan oleh pendatang Indonesia dan sejak kebelakangan ini juga melibatkan orang Melayu. Dia berpendapat orang Melayu mula terlibat dengan jenayah kerana kemaruk bermain video, budaya melepak dan terlibat dalam penagihan dadah sedangkan punca pendapatan tidak ada.

Apabila saya menyentuh mengenai warga Bangla di negara ini yang dilihat agak berjaya dalam kerja-kerja besi dan teknologi maklumat (ramai warga Bangla bekerja di Lowyat (Kompleks IT) , Kuala Lumpur) sehingga menjadi pekerja mahir atau pengusaha, dia menyatakan warga Bangla tidak mempunyai kemahiran tersebut ketika mereka masih berada di Bangladesh. Mereka cepat belajar di sini (Malaysia), menguasainya dan menjadi mahir. Dia mengusik saya, “ Orang Melayu tidak perlu bimbang kerana kita sama-sama Muslim.”    

Saya juga mengusiknya mengenai sebilangan warga Bangla yang pada umumnya tampan mudah menggoda gadis-gadis pendatang Indonesia dan juga gadis-gadis tempatan. Dia berkata bahawa mereka boleh dapat apa yang mereka mahukan tetapi akhirrnya mereka akan menyesal kerana wang yang diperolehi akan dihabiskan dengan berpoya-poya.

“ Hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, baik lagi hujan batu di negeri sendiri “. Shah Jehan memberitahu saya bahawa dia akan balik ke Bangladesh dalam tempoh setahun lagi. Dia bercadang hendak membuka kedai makan dan membina keluarga bahagia di negara asalnya.


Pertemuan kami berakhir apabila bas warna kuning dan merah yang ditunggu-tunggunya sampai. Kami bersalaman. Selamat jalan Shah Jahan. Semoga anda berjaya membuka kedai makan di negara anda.



(Orang yang saya tunggu cuma sampai 15 minit selepas itu)  

4 ulasan:

  1. Hidup kita pd hari ini diwarnai dgn berbagai warga asing. Tukang mesin rumput rumah saya seorang bangla. Tukang isi minyak di stesen minyak bangla hinggakan nak isi angin tayar pun org bangla yg sentiasa menawar bantuan. Hingga kereta rosak pun pomen bangla datang tolong free of charge. Anehnya terkadang saya terlupa mereka orang asing. Mungkin kerana budi
    bahasa yg tinggi dan juga sikap jujur dan rajin mereka.. Ada yg telah menyimpan puluhan ribu ringgit utk dibawa pulang ke negeri asal utk
    membina hidup bersama keluarga di sana. Pelik tapi saya menyenangi mereka yg telah mewarnai hidup saya....

    BalasPadam
    Balasan
    1. Sdr Tanpa Nama,

      Kita seperti ada dua wajah menilai mereka; Pertama, sebagai warga, kita sakit hati kerana kehadiran mereka (pendatang) dalam keadaan tidak terkawal. Kedua, sebagai manusia dan seagama, kita menerima mereka.

      Padam
  2. ujang kutik,

    Stranger meeting a stranger..
    ..very interesting conversation.. hehe

    BalasPadam
    Balasan
    1. Sdr theolrascal,

      " Kasihilah tetangga mu, tetapi jangan mengotori pagar rumah mu sendiri." He...he...

      Simpan sedikit waspada kepada stranger.....

      Padam

" "Kalau hendak tahu dalamnya lubuk, TANYALAH pada memerang"."