Pengikut

Assalamualaikom

.... Terima kasih Allah, Engkaulah Tuhan, akulah hamba ......

Isnin, 17 Mac 2014

SERI ISKANDAR: SARA HIDUP MASIH RENDAH


SURAU DI SERI ISKANDAR (meja dan kerusi di surau menggalakkan jumaah lepak/bual kosong)
Bandar Seri Iskandar adalah sebuah bandar pentadbiran dan komersial Perak Tengah, Perak. Ianya terletak 40 kilometer ke selatan Ipoh.

Seri Iskandar juga adalah bandar ilmu. Di sinilah terletaknya pusat pengajian tinggi Universiti Teknologi MARA dan Kolej Professional MARA.  Pusat pengajian tinggi elit, Universiti Tekonologi Petronas (UTP Tronoh) yang sebahagian besar graduannya diserap  sebagai jurutera di syarikat petrolium Petronas terletak kira-kira 4 kilometer dari Seri Iskandar.   

UTP TRONOH
Sungguh pun UTP adalah sebuah universiti swasta yang dikira ' muda ', kehebatan universiti yang dinaungi oleh Tun Dr Mahathir Mohamad ini tidak perlu dijelaskan lagi. Saya mempunyai saudara-mara, rakan-rakan dan kenalan ‘adhoc’ (berjumpa secara tidak sengaja) yang anak-anak mereka pintar dalam akademik dan berpeluang menuntut di UTP. Melalui mereka saya berani merumuskan bahawa mereka seperti berada di puncak dunia. Mereka sangat bangga. Pendek cerita, kita akan diberitahu di mana anak-anak mereka belajar di peringkat sekolah menengah dan di mana anak-anak mereka bekerja setelah tamat pengajian tanpa diminta.Ya, mereka ada hak dan layak merasa bangga.

Sebenarnya di dalam tempoh 9 bulan telah dua kali saya menjejakkan kaki di bandar ini. Kali pertama ialah pada bulan June 2013. Kali kedua pada minggu lepas.


Salah Sebuah Warung/Kedai Makan

Bandar Seri Iskandar juga adalah ‘bandar makan-makan’. Ada ungkapan penduduk Seri Iskandar yang berbunyi, “ Kalau singgah makan di sebuah restoran/kedai makan sahaja di Seri Iskandar pada setiap hari, dalam tempoh satu bulan akan ada lagi restoran/kedai makan yang belum dimasuki”.

Sungguh pun demikian, seperti kebiasaannya majoriti perniagaan restoran diusahakan oleh golongan Mamak dan Orang Patani. Orang Melayu cuma menjadi penjaja yang membuka payung di tepi-tepi jalan sahaja!

Nasi Goreng Lanz (Pada Harga Patut)
Saya perhatikan kehidupan di sini dalam keadaan santai. Tiada kesesakkan lalu lintas. Tiada penempatan setinggan. Selain itu, kos sara hidup juga masih rendah berbanding di Kuala Lumpur atau bandar-bandar lain.

Restoran Mamak Ini Memainkan Lagu Hindustan Retro Sahaja
Harga se gelas teh tarik dan roti canai di restoran biasa Kuala Lumpur boleh menjangkau antara RM2.40 - RM2.80. Di Seri Iskandara RM yang perlu dikeluarkan dari dalam poket cuma RM2.10 sahaja.

Harga untuk sepinggan makanan berunsur mee dan makanan berunsur nasi (mee goreng, mee hailam, nasi goreng dll) di Kuala Lumpur adalah di antara RM4.50 - RM5.50. Sebaliknya, harga untuk makanan yang sama di Seri Iskandar adalah di dalam lingkungan RM3.50 - RM4.00 sahaja.

Kedai Gunting Rambut (Selesa dan Murah)
Saya mengambil kesempatan untuk menggunting rambut di salah sebuah kedai gunting rambut di Seri Iskandar. Saya dikenakan RM7.00 termasuk perkhidmatan urut dan 'patahkan' dagu selepas selesai gunting rambut. Kos untuk menggunting rambut di premis ' bawah pokok ' di Kuala Lumpur menjangkau RM8.00-RM9.00. Sementara itu harga standard gunting rambut di kedai gunting rambut biasa Kuala Lumpur adalah serendah RM10.00.

Rumusannya, perjalanan hidup di Seri Iskandar kelihatan bergerak dengan santai, tenang dan ekonomik. Andainya saya masih muda, saya tiada masalah ditukarkan bertugas di bandar ini. 

2 ulasan:

  1. Saya bercita cita untuk menetap di mana mana kawasan utara spt pekan sri iskandar ini selepas bersara nanti.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Sdr Tanpa Nama,

      Di kawasan sawah padi seperti di Alor Star pun elok juga....suasana kampung.

      Padam

" "Kalau hendak tahu dalamnya lubuk, TANYALAH pada memerang"."