Pengikut

Assalamualaikom

.... Terima kasih Allah, Engkaulah Tuhan, akulah hamba ......

Isnin, 12 Mei 2014

KAWAN SAYA, KAEDAHNYA MUDAH



Generasi saya menamakan mata pelajaran ilmu hisab sebagai ' Arithmatic '. Generasi saya juga menggunakan ungkapan ' Simple Arithmatic ' untuk menggambarkan betapa mudahnya sesuatu perkara, urusan atau persoalan itu.

Sehubungan itu, mungkin tiada salahnya saya menyamakan  kaedah seorang kawan berbuat baik semudah ' Simple Arithmatic ' tanpa pengetahuannya. Ianya semudah menyelesaikan ' 2 x 2' = ?

Dia akan mengemaskan pinggan/mangkuk/gelas/sudu/kertas tisu yang digunakan sedapat yang boleh dan membetulkan kedudukkan kerusi setelah selesai sarapan di restoran atau kedai makan. Katanya, dengan berbuat demikian dia dapat membantu meringankan bebanan tugas pekerja restoran/kedai makan yang gajinya tidak seberapa.

Saya selalu melihat dia tidak mengambil baki wang syiling di atas meja di dalam bilik hotel ketika kami hendak keluar hotel ( check out ). Ada kalanya dia menambah beberapa RM lagi. Dia memberikan alasan bahawa dengan cuma sedikit usaha sahaja dia mungkin dapat menggembirakan hati pekerja hotel (pengemas bilik).

Dia bukan seorang yang penyayang haiwan. Bagaimanapun, dia akan berusaha memberi makan kepada kucing jalanan yang lapar dengan membeli sedikit makanan kucing di kedai berhampiran.

Hatinya dengan mudah boleh terusik apabila melihat anak-anak sekolah yang kelihatan kurang berada di perhentian bas atas di mana sahaja. Padanya, sumbangan serendah RM1 sekalipun boleh menggembirakan anak-anak itu. Dia selalu memberi sumbangan dalam situasi seperti ini.

Begitulah juga apabila berurusan dengan pekerja pam minyak atau pekerja tol. Ada kalanya (bukan setiap kali) dia tidak mengambil baki wang - 'keep the change'. Katanya, " gaji mereka kecil."

Dia juga sangat bekerjasama dengan pemandu kenderaan lain di jalan raya. Dia akan memberi laluan kepada pemandu kenderaan dari jalan sisi yang hendak memasuki jalan utama/besar. Katanya, dengan sedikit usaha memperlahankan kenderaan, ada pemandu lain hilang stress dan seterusnya tersenyum lebar sambil mengangkat tangan kerana diberi laluan. 

Sekalipun demikian, dia agak berkira dengan pihak yang meminta sumbangan/derma yang tidak diketahui latar belakang mereka dengan jelas. Peminta derma yang ditemui di jalanan atau di pintu bank susah hendak mendapatkan duitnya.

Ada ketika dia kelihatan terlalu kedekut atau berkira. Di antaranya, dia tidak akan memberi sumbangan kepada peminta sedekah golongan hilang penglihatan yang dipimpin oleh seorang yang sehat dan sempurna tubuh badan. 

Agak lucu kerana dia juga tidak memberi muka kepada amil pemungut zakat fitrah yang dengan sengaja melambat-lambatkan mengembalikan baki wang kepada pembayar dengan harapan baki wang itu akan 'disedekahkan'. Dia akan menunggu baki wangnya dikembalikan dan dengan selamba memasukkan baki wang syiling ke dalam poket tanpa ada perasaan simpati atau bersalah.

Sebaliknya pula, dia tidak berkira dengan golongan kurang siuman @ gila. Dia tidak berfikir panjang memberi sumbangan seadanya kepada golongan itu samada mereka meminta atau sebaliknya.

Setahu saya kawan itu tidak pernah memberi sumbangan yang hebat-hebat. Dia cuma ' bermain ' dalam skala kecil sahaja. Kebaikan yang dilakukannya adalah secara bersahaja, mudah dan bukan dibuat-buat.

Dia sangat mahir dalam 'permainan'  'Simple Arithmatic' ini - 2 darab 2 bersamaan empat. Dia, boleh juga dikatakan seorang 'opportunist' bermodalkan sedikit usaha yang menghasilkan pulangan berbaloi.   
 
     

2 ulasan:

  1. Ujang kutik,

    Kerektor kawan sdr terbina diatas prinsip yang di yakini nya. Terdapat elemen elemen yang islamik selain sememang nya bersifat universal.

    Pekerja jepun taktala memberi dokumen pada kita pasti sudah menebuk nya terlebih dahulu mengetahui kita akan menyimpan nya dalam fail. Impak nya nampak kecil tapi makna nya besar. Jika seluruh rakyat negara mempunyai sikap sedemikian bayangkan lah kesan nya.

    Wallahuallam..

    BalasPadam
  2. Sdr theolrascal,

    Saya mendapat maklumat mengenai sikap pekerja Jepun. Tentunya kita boleh gunakan ke atas perkara-perkara lain dalam kehidupan.

    Terima kasih.

    BalasPadam

" "Kalau hendak tahu dalamnya lubuk, TANYALAH pada memerang"."