Pengikut

Assalamualaikom

.... Terima kasih Allah, Engkaulah Tuhan, akulah hamba ......

Sabtu, 7 Jun 2014

cerita kucing lagi : DAUZ.

Ditakdirkan kehidupan saya sekeluarga selalu berhadapan dengan situasi ' terpaksa ambil peduli ' terhadap sebilangan haiwan jenis kucing malang. Sebaliknya, ramai juga orang lain yang kasihan kepada kucing-kucing malang yang dibuang dan diabaikan berniat menyantuni haiwan-haiwan itu tidak dapat berbuat demikian kerana halaangan dan kekangan tertentu. Saya sekeluarga yang kononnya mempunyai prasarana secukupnya selalu mengambil tanggungjawab 'menyelamatkan' kucing-kucing malang yang muncul di hadapan mata di mana kami tidak berdaya memejamkan mata dan memekakkan telinga. Faktor ini (tidak berdaya memejamkan mata dan memekakkan telinga) mungkin kelemahan dan mungkin juga kekuatan kami.

Kisah terbaru ialah mengenai seekor anak kucing berumur lebih kurang sebulan yang mengganggu kami sepejabat selama hampir dua hari. Bunyi ' raungan ' anak kucing itu dari tempat yang tidak diketahui pada mulanya tidak dihiraukan oleh sesiapa pun.

Akhirnya, ada di kalangan rakan sekerja yang tidak tahan lagi dengan gangguan tidak henti-henti itu. Dia cuba mencari tempat anak kucing itu berada.

Anak muda itu memberitahu bahwa seekor anak kucing telah terperangkap di dalam sebuah bilik. Saya mengekorinya. Dia mengeluarkan anak kucing itu dari 'bilik maut'.

Tidaklah diketahui bagaimana anak kucing itu boleh masuk ke dalam bilik yang gelap itu.

Agak menghairankan juga kerana anak kucing itu boleh bertahan tanpa makan dan minum selama hampir dua hari. Anak muda prihatin mengeluarkan anak kucing malang dari bilik maut yang panas dan gelap. Dia memberi minum haiwan itu. 

Anak kucing itu masih terus mengiau . Kami meninggalkan anak kucing itu. Itulah sahaja usaha yang dapat dilakukan.  

Ketika dalam perjalanan hendak menunaikan solat Jumaat saya melihat beberapa orang mengerumuni sebuah kereta. Saya menghampiri mereka dan mendengar ngiauan anak kucing dari arah bahagian enjin kereta. Akhirnya, seekor anak kucing berwarna putih yang juga telah mengganggu saya dan rakan sekerja selama hampir dua hari berjaya dikeluarkan.

Saya menasihatkan diri bahawa anak kucing itu wajib diselamatkan. Saya mengambil anak kucing itu.

Mungkin ada benarnya dakwaan rakan-rakan bahawa saya lebih mudah menyelamatkan haiwan jenis kucing kerana mempunyai prasarana ( rumah kucing dan pengalaman). Saya menghantar anak kucing itu ke rumah saya yang jaraknya cuma 7 kilometer sahaja dari tempat kerja. Saya cuma memasukkan anak kucing itu ke dalam rumah kucing untuk hidup bersama beberapa ekor kucing yang telah lama menghuni rumah itu. Segala masalah yang dihadapi oleh rakan sekerja dapat diselesaikan.

Seperti yang saya inginkan, isteri saya pada mulanya tidak mengetahui saya membawa tetamu baru kerana ketika itu dia berada di tingkat atas rumah kami. Mungkin juga dia berada di dalam bilik air sehingga tidak mendengar ngiauan anak kucing yang tidak henti-henti itu. Kebiasaannya, isteri saya akan 'mengomel' terlebih dahulu pada setiap kali saya membawa 'tetamu baru'. Bagaimanapun, beliau tidak mengambil tempoh yang lama untuk menumpahkan kasih sayang yang ada kalanya sampai ke tahap ' melampau'.

Saya meninggalkan rumah secara diam-diam untuk menunaikan solat Jumaat.

Ketika di tempat kerja anak muda yang mengeluarkan kucing dari bilik maut awal pagi bertanya samada saya telah mengambil anak kucing kerana mendapati tiada lagi kedengaran ngiauan anak kucing itu. Saya tersenyum. 

Tidak beberapa lama selepas itu isteri saya pula menelefon di tempat kerja. Dia mengesan ada tetamu baru di luar pengetahuan dan ' kebenarannya '. Skrip biasa  - antaranya ' kita telah ada banyak kucing'.

Petangnya ketika balik dari pejabat saya terus menjenguk rumah kucing. Ada satu perkara yang menghairankan - tiada lagi bunyi ngiauan anak kucing. 

Isteri saya telah memberi minum susu dan menyuapkan (katanya) anak kucing itu dengan makanan ' kitten' kerana anak kucing itu tidak mahu makan dengan sendiri.

Saya memandikan anak kucing itu. Saya dapati puluhan ekor kutu berumah di tubuhnya mati kerana terkena buih syampoo khas untuk  membunuh kutu. Mungkin faktor gangguan kutu juga yang menyebabkan anak kucing itu mengiau kerana tidak selesa.

Mengambil sempena keprihatian anak muda yang mencetuskan ' operasi menyelamat ', kami sekeluarga menamakan anak kucing itu ' DAUZ ' . Anak muda itu tidak mengetahui namanya digunakan. Andainya dia mengetahui satu hari nanti, saya berharap beliau tidak berkecil hati. 
  
Si ' DAUZ ' (berbulu putih)masih dlm penilaian awal 'seniornya' LAT yang juga bekas imigran
Saya mengucapkan terima kasih kepada pembaca yang sudi membaca cerita kucing edisi ini. Selain dari suka menulis mengenai sesuatu, saya menjadikan catatan ini sebagai rekod mengenai sejarah kucing-kucing saya yang pada mulanya terpaksa dikutip tetapi lama kelamaan menyayangi haiwan-haiwan itu dan memelihara umpama menatang minyak yang penuh.



' Dauz' dijumpai di kawasan sebuah pejabat di Jalan Ampang
6 June 2014.


     

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

" "Kalau hendak tahu dalamnya lubuk, TANYALAH pada memerang"."