Pengikut

Assalamualaikom

.... Terima kasih Allah, Engkaulah Tuhan, akulah hamba ......

Sabtu, 23 Ogos 2014

CATATAN SOLAT JUMAAT DI MASJID AL-AZIM, PANDAN INDAH


MASJID AL-AZIM, PANDAN INDAH, SELANGOR
Semalam (22/8/14) saya solat Jumaat di Masjid Al-Azim, Pandan Indah kerana ada urusan di kawasan sekitar. Sekalipun Masjid Al-Azim berjiran dengan masjid kariah saya, seingat saya cuma beberapa kali sahaja saya singgah solat atau menghadiri kuliah agama di masjid itu .

Masjid Al-Azim yang besar dan dengan reka bentuk menarik, gah terletak di dalam kawasan masjid yang agak luas.   

Saya dapati deretan gerai peniaga berjajaran di dalam kawasan masjid. Di antaranya termasuk gerai buah-buahan, jualan  minyak wangi/atar, jualan cincin batu akek,  gerai cendol/rojak, gerai nasi minyak, gerai nasi beriani, gerai pakaian dan gerai produk kesihatan. Suasana meriah ini persis suasana Hari Jumaat di beberapa buah masjid di Negeri Terengganu dan Kelantan yang pernah saya alami.

Ketika saya hendak meletakkan kasut di rak kasut yang disediakan, saya ditegur dari belakang oleh seseorang. Penegur ialah kawan lama yang pernah duduk serumah beberapa tahun. Dia telah bersara awal lebih kurang 4 tahun yang lalu untuk menceburkan diri dalam dunia perniagaan.

Dengan status kawan lama dan pernah duduk serumah, tentulah kami mempunyai banyak cerita lama termasuk yang ' off record '.

Dia yang cuma setahun lebih tua dari saya kelihatan jauh lebih segak dari saya. Di usia hampir bersara wajib, rambut saya lebih banyak yang putih dari hitam. Sebaliknya, rambut dia masih hitam berkilat. Saya yang mengenalinya percaya rambut hitamnya adalah rambut asli tanpa menggunakan pewarna.

Saya mengetahui serba sedikit perkembangan perniagaannya kerana pernah melihat dia muncul beberapa kali di TV. Saya juga pernah terlihat dia memandu kereta berjenama. Sehubungan itu, saya mengusik dengan berkata, " Kau hebat, selalu muncul di TV." Dia tersenyum. Dia menyatakan bahawa Alhamdulillah bidang perniagaan berkaitan dengan pengalaman kerjanya berjalan dengan lancar. Dia ada projek di Sabah dan di Indonesia. Dia sebenarnya dalam perjalanan balik dari Sabah dan singgah di Masjid Al-Azim untuk solat Jumaat.  

Katanya lagi bahawa dia sepatutnya telah terjun ke dunia perniagaan sepuluh tahun yang lalu. Saya masih ingat bahawa ayat itulah juga yang pernah diucapkannya ketika kami bertemu lebih kurang 1 atau 2 tahun yang lalu. Dia sebenarnya bernasib baik kerana perniagaannya ' terus menjadi ' walaupun bermula agak lewat.

Berpegang kepada luahan kawan lama itu, sebenarnya Nabi Muhamamad (SAW) telah terlebih dahulu memberitahu umatnya bahawa 9 daripada 10 punca rezeki adalah melalui perniagaan.

Kami bersalaman dan hilang di tengah-tengah lautan jumaah.

Reka bentuk Masjid Al-Azim menyerlahkan ruang dewan solat utama yang luas dan kelihatan terbuka kerana didinding dengan struktur berkaca. Jumaah selesa berada di dalam masjid ini. Ini berbeza dengan ciri-ciri kebanyakkan masjid lama di Selangor yang mempunyai ruang beranda dan berbilik-bilik.

Seketika berada di dalam Masjid Al-Azim, Pandan Indah yang sememangnya hebat dan indah saya mengetahui bahawa pihak pengurusan masjid itu sangat aktif. Melalui skrin info elektronik yang dipaparkan saya mendapati masjid itu mengundang beberapa orang Tuan Guru/Ustaz/Pendakwah terkenal dan bertaraf tokoh untuk memimpin kuliah agama/dakwah.

Saya meninggalkan Masjid Al-Azim setelah pekena cendol dan rojak mamak. Cendolnya sedapnya juga tetapi (pada penilaian saya ) masih tidak sesedap Cendol Masjid Tanah yang tidak beroperasi lagi kerana isteri taukehnya sakit.

Saya juga meninggalkan Masjid Al-Azim dengan kesan yang mendalam bahawa di kerling kariah saya ada sebuah masjid yang boleh diklasifikasikan sebagai antara masjid indah dan hebat di Negeri Selangor dari sudut infrastruktur, reka bentuk dan pengimarahannya.



2 ulasan:

  1. ujang kutik,

    Setuju,.. saya juga pernah mengujungi masjid yang indah dan moden ini.

    Masjid di kampung saya pula entahkan bila akan terbina yang baru setelah bertahun tahun dalam rancangan dan perancangan penduduk nya...hahaha

    BalasPadam
  2. Sdr theolrascal,

    1. Terima kasih kerana sependapat.

    2. ' Selangor negeri kaya belanja berhemah....he..he. Negeri Terengganu adalah ' Negeri Kaya ' yang banyak membina masjid hebat dan indah.

    BalasPadam

" "Kalau hendak tahu dalamnya lubuk, TANYALAH pada memerang"."