Pengikut

Assalamualaikom

.... Terima kasih Allah, Engkaulah Tuhan, akulah hamba ......

Khamis, 21 Ogos 2014

INSTITUSI

Tiga atau empat hari lepas saya solat subuh di surau kejiranan kawasan perumahan saya. Ini berlaku kerana saya bercadang untuk mengisi minyak kereta di stesyen minyak yang terletak berhampiran surau itu selepas selesai solat.

Ketika melintasi pagar besar surau saya mendengar Tuan Imam sedang melafazkan takbiratul ihram yang menunjukkan solat fardhu subuh baru bermula. Saya bergegas meletakkan kenderaan di dalam kawasan surau.

Setelah meletakkan kenderaan saya tergesa-gesa berjalan ke surau. Namun, dalam masa yang singkat itu pandangan saya terjeling kepada peniaga makanan lelaki sebaya saya di sebelah surau yang masih sibuk dengan urusan persiapan jualannya. Sebenarnya, gelagat peniaga itu telah mula mengganggu prasangka saya seawal ketika saya hendak masuk ke dalam kawasan surau lagi

Usai solat yang dihadiri oleh lebih kurang 15 orang jumaah, saya menuju ke kereta. Saya mendapati peniaga makanan itu masih belum ' usai-usai' dengan kesibukkan menguruskan warungnya. Dia tidak ada masa untuk turut solat subuh berjumaah di surau yang terletak di depan matanya!

Peniaga itu berketrampilan ' orang kaki surau ' - memakai baju kurta, berjanggut sejemput dan berketayap putih. Saya yakin dia menunaikan solat lima waktu.  Sesungguhnya, sikapnya yang meringan-ringankan saranan menunaikan solat secara berjumaah pula adalah urusannya dengan Allah.

Namun demikian dia terlepas padang etika institusi warga berusia yang berurusan di hadapan pintu besar sebuah surau. Dia sepatutnya tidak memperagakan diri tanpa segan silu ketika orang lain seusianya atau lebih-lebih lagi yang lebih muda menunaikan solat berjumaah di surau berhampiran. Terlebih-lebihlah lagi apabila warga lelaki berusia itu berperwatakan ahli ibadah, yaani memakai pakaian yang biasanya dipakai oleh golongan itu, berjanggut dan memakai ketayap.

Sesungguhnya, perbuatan baik atau sebaliknya seseorang adalah urusannya dengan Allah. Namun demikian, seseorang itu perlu menjaga nama baik sesuatu institusi yang diwakilinya. Contoh: Jika dia memakai ketayap, dia tidak sepatutnya berkeliaran di kedai nombor ekor atau panggung wayang, seorang ustaz dianggap tidak ' berapa kena ' jika selalu menyebut-nyebut cerita sensasi artis (khususnya artis wanita), golongan akil baligh dan lebih-lebih lagi warga dewasa akan timbul fitnah jika masih seronok bersembang di kedai kopi pada waktu maghrib walaupun dia seorang musafir yang dibenarkan menjamakkan solatnya dan sebagainya.
    
Sedemikian, jagalah sesuatu institusi yang kita berada samada secara disengajakan { contoh, memakai ketayap} dan kita sendiri mengkehendakinya atau yang mendatangi kita { usia tua }secara semula jadi.
 




2 ulasan:

  1. ujang kutik,

    Kadang kadang itu lah yang menghairankan kita..

    BalasPadam
  2. Sdr theolrascal,


    Institusi ' warga dewasa ' lebih banyak pantang larangnya dari institusi orang muda walaupun dari segi hukumnya sama.

    BalasPadam

" "Kalau hendak tahu dalamnya lubuk, TANYALAH pada memerang"."