Pengikut

Assalamualaikom

.... Terima kasih Allah, Engkaulah Tuhan, akulah hamba ......

Sabtu, 11 Oktober 2014

BOLASEPAK, INDUSTRI ANAK MUDA MELAYU DAPAT KERJA

Saya tidak tahu kenapa sejak setahun dua kebelakangan ini saya tidak lagi mengikuti sangat perkembangan bolasepak samada dalam liga Malaysia atau di luar negara. Hendak dikatakan saya merajuk kerana pasukan bolasepak Negeri Sembilan kebanggaan saya yang pernah memenangi 3 kali juara dan juga 3 kali naib juara Piala Malaysia terpelanting dari Liga Super ke Liga Perdana tidak juga kerana saya juga tidak menghiraukan lagi perlawanan dalam Liga Inggeris.

Ketidakpedulian saya terhadap sukan bolasepak khususnya di Malaysia mungkin bertitik-tolak kerana prestasi pasukan bolasepak Malaysia yang sangat mengecewakan di peringkat antarabangsa sekalipun pun di peringkat negara-negara ASEAN. Kita gagal! Kita tidak mampu menyaingi pasukan-pasukan kerdil di ASEAN di mana status kehidupan peribadi kebanyakkan pemain mereka tidak mempunyai kemampuan membeli kasut bola.

Senario pasukan bolasepak negara cuma heboh dengan hiruk-pikuk yang tidak tentu hala sahaja. Kedudukkan pasukan bolasepak negara di tangga ke-154 ' ranking' FIFA menjelaskan hujah ini Sebagai perbandingan, di kalangan negara-negara ASEAN adalah; Filipina (134), Vietnam (142), Myanmar (143) dan Singapura (149). Setahu saya, negara-negara tersebut tidak ada liga domestik sehebat dan seriuh yang dianjurkan oleh FAM.

Namun, apabila melihat kelibat anak-anak bangsa yang terlibat dalam liga Liga Super Malaysia dan Liga Perdana Malaysia , saya menjadi seorang yang pemaaf.

Hampir 90% pemain bolasepak yang bermain dalam liga tempatan adalah terdiri dari anak-anak muda Melayu. Mereka dibayar gaji serendah RM2,000.00 hingga mencecah RM20,000.00.  Berpatutan dan lumayan.

Anak-anak muda Melayu itu yang sesetengahnya SPM pun tidak lepas mampu mendapat pendapatan seperti yang didadapti oleh graduan yang baru bekerja hingga kepada pendapatan pegawai tinggi kerajaan Gred 54 atau JUSA.

Sedemikian, tidak hairanlah mereka mampu hidup senang dan mewah. Mereka dengan mudah boleh  memikat golongan artis yang diketahui besar belanjanya, memiliki kereta mewah dan motorsikal berkuasa tinggi, duduk di kawasan perumahan elit dan sebagainya.

Bolasepak di negara ini walaupun tidak menjanjikan peningkatan mutu permainan sehingga digeruni oleh pasukan lain adalah sebenarnya lubuk emas kepada ' pemainnya' - pegawai, pemain bolasepak dan lain-lain. Bolasepak adalah perniagaan atau industri yang menyediakan peluang pekerjaan bergaji tinggi kepada anak-anak muda Melayu di negara ini.  

Justeru itu, walaupun saya ' benci ' dengan sesuatu yang ada kaitan dengan bolasepak negara, saya mendambakan kelangsungan landskap bolasepak negara sekurang-kurangnya pada kedudukkan status quo.

Saya benci tetapi sayang kepada industri bolasepak negara ini kerana di sinilah tersedianya peluang pekerjaan kepada anak-anak muda Melayu.

Pengurusan bolasepak di negara ini tanpa disedari adalah majikan yang sangat mesra kepada anak-anak muda Melayu. Mereka adalah majikan yang tidak melakukan pilih kasih dan sabotaj' kepada anak-anak muda Melayu seperti yang telah dan sedang giat dilakukan oleh sesetengah firma milik bukan Melayu dalam memilih pekerja.

Anda boleh membuat kiraan 'simple arithmatic' mengenai bilangan anak muda Melayu yang dapat kerja dengan imbuhan yang berpatutan dalam pasukan-pasukan Liga Super Malaysia dan Liga Perdana Malaysia.

Sedemikian, walaupun anda juga mungkin seperti saya yang menjauhkan diri dari fenomena bolasepak negara kerana ' hampeh' dalam seni bermain bolasepak, paksalah diri anda untuk berdoa semoga kelangsungan landskap bolasepak negara sekurang-kurangnya pada kedudukkan status quo mampu bertahan. 

Kerana, di sinilah ( bidang bolasepak) anak-anak bangsa anda disediakan peluang pekerjaan seluas-luasnya tanpa adanya pilih kasih perkauman dengan pendapatan yang sangat-sangat berpatutan dan memuaskan.        

 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

" "Kalau hendak tahu dalamnya lubuk, TANYALAH pada memerang"."