Pengikut

Assalamualaikom

.... Terima kasih Allah, Engkaulah Tuhan, akulah hamba ......

Isnin, 10 November 2014

IMAM KAMPUNG

GAMBAR HIASAN
Sesekali balik kampung dan berkesempatan solat Jumaat di kampung dan setahun dua kali menunaikan solat sunat Hari Raya (Idilfitri/Idiladha) di kampung kelahiran, saya mungkin agak kejam kerana terlalu mudah menghukum Tuan Imam di kampung sendiri yang berusia pertengahan 60-an dengan persepsi negatif.

Saya membeza-bezakan imam kampung yang sangat naif dan terhad keupayaannya kerana latar belakang pendidikan dan tidak terdedah langsung kepada dunia luar dengan standard imam bandar/Lembah Klang di padang yang tidak sama rata..
 
Imam kampung saya sangat pekat loghat Negeri Sembilannya. Beliau tidak dapat membebaskan diri dari belenggu loghat itu ketika menyampaikan khutbah Jumaat/Hari Raya. Selain itu beliau juga kurang lancar membaca ayat-ayat Al-Quran, hadis dan perkataan yang berbaur bahasa Inggeris/moden ketika menyampaikan khutbah.

Namun, segala kelemahan imam kampung diterima seadanya oleh penduduk kampung. Walaupun demikian, tanggapan orang luar atau anak-anak kampung yang merantau yang cuma sesekali balik ke kampung mungkin berbeza.

Itulah aset yang masyarakat kampung ada dalam mengetengahkan seorang yang dapat memimpin mereka melakukan solat berjumaah. Dan juga, imam kampung sedia ada berani mengambil tanggungjawab di sebalik kekurangannya.

Sebenarnya ada seorang - dua anak kariah kampung yang berkelayakkan dalam bidang agama. Bagaimanapun, mereka tidak berani atau tidak mahu memikul amanah sebagai imam masjid di kampung. (Atau, sengaja melarikan diri ?) 
 
Dalam kehidupan seharian, kita acapkali bersinggung bahu dengan individu yang kaya dengan kebolehan tetapi miskin dengan kepedulian terhadap orang lain. Mereka sangat pandai mengkritik tetapi terlalu mementingkan diri sendiri dan sangat berkira.

Setelah mengolah semula persepsi awal dengan senario sebenar, saya meletakkan imam kampung pada kedudukkan ' From Zero To Hero.

2 ulasan:

  1. Saudara Ujang kutik,

    Kebetulan pada kuliah subuh hujung minggu yang lepas di masjid tempat kediaman saya penceramah ada sentuh tentang seorang imam kampong tua di pinggir luar bandar Selangor apabila berkhutbah Jumaat menyebut perkataan 'komited' dengan sebutan 'komitot' kerana teks khutbah didalam tulisan jawi. Ketika membaca perkataan tersebut Pak Imam agak sedikit terkedu kerana seketika itu juga terfikir olehnya 'perkataan apa itu'. Tidak puas hati Pak Imam membaca juga 3 kali dengan ucapan yang sama. Selesai solat salah seorang AJK masjid memberitahu Pak Imam akan perkataan 'komited'. Penceramah komen pihak JAIS atau mana jua jabatan agama Islam tidak patut memberi teks khutbah dengan perkataan yang berat-berat kepada imam-imam kampong. Apatah lagi perkataan Inggeris yang ditulis dalam tulisan jawi.

    BalasPadam
  2. Sdr Pak Mail

    Teks khutbah tidak mesra imam. Kasihan dengan Imam.
    Nampaknya kita di bandar ada kelebihan dari sudut ini.Namun, di kampung juga ada kelebihan dari sudut lain.

    BalasPadam

" "Kalau hendak tahu dalamnya lubuk, TANYALAH pada memerang"."