Pengikut

Assalamualaikom

.... Terima kasih Allah, Engkaulah Tuhan, akulah hamba ......

Ahad, 8 Mac 2015

GENGGAM TIDAK TIRIS


Secara umumnya ' Genggam Tidak Tiris ' membawa maksud kedekut. Bagaimanapon, hakikatnya ia membawa maksud lebih dari itu jika dilihat dari sisi positif. 

Mempunyai seorang anak yang ditakrifkan berperibadi seperti itu, saya ada definasi sendiri tanpa menafikan bahawa yang memisahkan antara dua pegangan hidup ( sisi positif dan negatif ) itu umpama kulit bawang yang nipis.

Genggam tidak tiris adalah sebuah perumpamaan yang membawa maksud seseorang itu berhati-hati dalam berbelanja. Keputusan untuk  berbelanja diputuskan setelah mengambil kira betapa sangat perlunya sesuatu urusan itu.

Justeru, dari itulah datangnya tuduhan kedekut. Kedekut mengikut kaedah mantiknya adalah terlalu susah hendak berbelanja sehingga sampai ke peringkat kronik ' menjadi hamba kepada harta/ wang ringgit'.

Yang tidak membezakan kedua-duanya adalah Si ' Genggam Tidak Tiris ' dan Si ' Kedekut ' hidup mereka tidak susah.

Si Genggam Tidak Tiris kami sekeluarga itu pernah menganggur beberapa ketika selepas bergraduat. Namun, kami tidak nampak dia susah. 

Dia masih ' mampu ' bersosial seperti biasa tanpa menyusahkan kami - jungle camping, ke majlis perkahwinan kawan-kawan di luar Lembah Klang, lepak dengan kawan-kawan dan lain-lain lagi. Dia tidak pernah meminta wang untuk berbelanja. 

Kami mengagak dia telah merancang dan membuat persediaan ketika di tahun akhir belajar dengan menyimpan sedikit wang pinjaman pelajaran ( MARA) untuk menghadapi hari-hari tidak menentu selepas tamat belajar dan belum mendapat pekerjaan.

Namun, sebagai ayah, saya memberinya juga sedikit wang untuk berbelanja sekadarnya.

Mempunyai anak ' Genggam Tidak Tiris ' tidak bermakna keluarga itu dinafi dari pemberian wang kasih sayang bulanan, makan-makan di luar, menerima hadiah dan sebagainya. 

Yang membezakannya adalah segala elemen itu berlaku setelah disaring dengan ketat dan sistematik oleh piawaian Si empunya badan. Impaknya sangat ketara dengan pembawaan adek beradik lain yang mengamalkan sikap ' normal ' dan apatah lagi yang boros.

Genggam Tidak Tiris bukannya kedekut secara mutlak tetapi menghampiri zon itu. 

Mempunyai anak ' Genggam Tidak Tiris" membuatkan saya ada kalanya tersenyum sendirian kerana keletah yang telah diperlihatkan dan dipupuknya sejak kecil.

Sebagai ibu bapa apakah lagi yang diharapkan kepada anak selain dari tidak derhaka, boleh menguruskan hal sendiri dan tidak menyusahkan ibu bapa setelah tanggungjawab ibu bapa membesarkan anak-anak dilunaskan?

Bukanlah satu perkara pelik  ' beliau ' membawa air kosong dari rumah apabila ada temujanji dengan kawan di hujung minggu.

Bueklah asalkan bahagio!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

" "Kalau hendak tahu dalamnya lubuk, TANYALAH pada memerang"."