Selasa, 22 November 2011

upek (babak dua)


Naluri wanita Orang Asal itu memuktamadkan sesuatu, " Memang dia."
“Campam,” tiba-tiba satu alunan perkataan yang tidak terdapat dalam kamus diucapkan oleh wanita Orang Asal itu.
Yusuf yang asyik melengkapkan borang berwarna hijau terkejut. Dia telah lama tidak mendengar perkataan itu. Kesan ke atas perkataan yang diucapkan dengan nada perlahan itu seperti suatu kejutan litar pintas.  Yusuf lantas mengalihkan pandangannya tepat ke wajah wanita Orang Asal itu. Dia menatap wajah wanita itu sepuas-puasnya. 
Wanita Orang Asal itu juga tidak mengalihkan pandangannya ke arah lain. Dia terus merenung tajam wajah Orang Melayu itu. Ada serlahan nuansa marah dan dendam. Namun demikian, dia merasa lega yang amat sangat. Dia seperti telah melunaskan sesuatu yang telah lama tertangguh.
Suasana hening. Tiada sepatah pun perkataan diucapkan oleh Orang Melayu dan wanita Orang Asal itu. Dua pasang indera lihat bertembung.
Wanita Orang Asal itu perlahan-lahan mengalihkan kain yang menutup kepala dan sebahagian mukanya ke bahu. Di sebalik wajah tipikal Orang Asal dari Suku Jakun, hujung 40-an, tersisa pesona yang sukar hendak diungkapkan dengan kalimah yang tepat. 
Yusuf mengesahkan sesuatu. "Upekkk," sebutan nama wanita itu dalam nada separuh menjerit terkeluar dari mulutnya .
Yusuf sedar dia berada di alam nyata. Dia tidak bermimpi. Upek yang berada di sisinya ketika itu ialah Upek yang pernah dikenalinya hampir empat dekad lalu di kampung asalnya, Kampung Lubuk Petai.
Mereka sekampung. Ayah Upek, Batin Gunung ialah ketua masyarakat Orang Asal dari Suku Jakun yang mendiami kawasan di sebelah hulu Kampung Lubuk Petai.
Kedua-dua golongan yang berbeza budaya, latar belakang dan kepercayaan itu menjalin hubungan yang baik dan saling hormat menghormati. Malah perhubungan di antara anak-anak mereka lebih rapat. Mereka bermain  bersama dan bersekolah di sekolah yang sama.      
Begitulah juga perhubungan di antara Campam dengan anak-anak Orang Asal yang lain termasuk Upek dan abangnya, Rimba . Campam ialah nama gelaran Yusuf di Kampung Lubuk Petai. Di Kampung Lubuk Petai, Yusuf lebih dikenali dengan nama gelaran Campam.
Berbanding dengan anak-anak Orang Asal yang lain, Yusuf lebih rapat dengan Upek dan keluarganya. Secara kebetulan mereka juga kawan sama kelas di Sekolah Rendah Kebangsaan Kampung Lada.
Malah, Yusuf selalu juga menemani bapa Upek, Batin Gunung memburu ayam hutan, mencari damar, mencari petai atau  mengumpul  air nira untuk dibuat gula kabung dalam hutan di sekitar kampung mereka ketika cuti sekolah atau di hujung minggu. Keluarga Batin Gunung juga sayang dengan Yusuf dan menyenangi budi pekerti anak Orang Melayu itu.
Pada hari bersekolah, kadang-kadang Batin Gunung akan mengasingkan sedikit air nira untuk Yusuf. Dia faham sangat bahawa Yusuf, anak Orang Melayu itu suka minum air nira.
Yusuf tersedar dari lamunan masa lampau. Wanita Orang Asal  itu tanpa diduga mengalunkan pantun empat kerat. Nada alunan pantun itu memang tidak asing dengan Yusuf hampir empat dekad yang lalu. Dia juga pernah suka dengan pantun yang sememangnya ditujukan kepada mereka berdua, dia dan Upek.

Alunan pantun itu ada elemen klasik. Ada elemen mistik yang meremangkan bulu romanya. Alunan pantun itu juga ada sesuatu yang amat mengesankan. 
"Ulang alik ulang alik,
hari sudah siang,
Upek cantik Upek cantik,
Campamlah sayang." 

7 ulasan:

  1. saya nantikan kisah selanjutnye..
    jeng..jeng..jeng..

    BalasPadam
  2. agak agak laaa bang hahahahhahahah

    BalasPadam
  3. ok cafe den buka sabtu half day,, datang lah sebolom kul 12,,,

    BalasPadam
  4. Sdr Pak Mail dan theolrascal,

    Terima kasih kerana masih mengikuti cerita ini.

    BalasPadam
  5. Sdr Pak Oncu,

    1.Ha.ha..,Sabar. Jangan copek buek conclusion.
    Ending cerita ini bak kata Lan Bungko akan bawah sikit 'Merchant of Venice'.

    2. Ok sebelum pukul 12.00. Satu lai - Tempat karaoke/dangdut yg heboh dulu di Kg.Bintangor bukan Kg. Bintongan kan?

    BalasPadam
  6. entri ini lain dari yang lain .. nak ulas pun tak pandai. tapi bahasa yang digunakan cukup indah. ada unsur suspen, kemanusiaan, persahabatan .. dll.

    jemput lihat entri saya hari ini sebagai penjelasan kepa entri semalam.

    BalasPadam

" "Kalau hendak tahu dalamnya lubuk, TANYALAH pada memerang"."