Isnin, 30 Januari 2012

fenomena

Semalam, Ahad, 29 Januari, 2012 ketika menghantar putri bongsu balik ke Shah Alam kami singgah di Karnival Buku Karangkraf di Seksyen 15, Shah Alam.

Realitinya bukanlah sesuatu yang mudah untuk sampai ke tapak karnival. Bersusun-susun kereta di diletakkan sepanjang jalan dari berbagai arah laluan menuju ke tapak karnival. Manusianya pula berduyun-duyun bagai satu pesta besar. Begitulah gambarannya. Hebat.

Saya pada mulanya bercadang hendak meletakkan kereta kira-kira satu kilometer dari tapak karnival. Bagaimanapun, akhirnya saya memilih kaedah mainan 'Russian Roulette' - untung batu tenggelam, untung sabut timbul.

Alhamdulillah, kami amat bernasib baik kerana sebuah kereta hendak keluar sebaik sahaja kami sampai berhampiran tapak karnival. Kami, terutamanya isteri saya tersenyum sampai ke telinga. Syukur.

Saya tidak membeli sebarang buku. Isteri saya membeli beberapa buah buku masakan. Puteri bongsu kami juga tidak membeli sebarang buku. Baucar buku RM200.00 yang diterimanya tidak sedikit pun luak. Belum digunakan lagi.

Saya bertanya kepada anak gadis, "Kenapa tidak beli buku? Cuba tengok remaja yang lain, masing-masing begitu teruja , ada yang beli sampai penuh satu bakul."  

Jawabnya, "Adik (nama manjanya) tidak minat langsung dengan sastera.Banyak sangat berangan dan khayalan."

Waduh. Sombongnya dia.

Dia pula bertanya kepada saya, " Ayah pula kenapa tidak beli?"

"Malu, berebut dengan gadis-gadis remaja," saya menjawab.

Saya dapati bahawa hampir lapan puluh peratus pengunjung di gerai jualan buku ialah remaja perempuan. Amat sedikit remaja lelaki. Golongan dewasa juga tidak ramai. Pada pemerhatian saya, hampir semua buku-buku yang dipamirkan ialah novel-novel bertemakan cinta. 

Saya mengagak bahawa kebanyakkan remaja yang mengunjungi karnival tersebut ialah pelajar IPTA dan IPTS di sekitar Shah Alam, Selangor. Ada sesuatu yang berlegar-legar di minda tua saya, " Adakah remaja hari ini dilanda sindrom membaca novel-novel cinta? Atau fenomena novel cinta?

Setelah menghantar anak ke kediamannya, seperti biasa saya dan isteri singgah di rumah kakak ipar di Seksyen 18, Shah Alam. Kami meninggalkan rumah kakak ipar jam 9.30 malam. Dalam perjalanan balik ke Ampang kami melalui Masjid Negeri Selangor.

Saya baru teringat bahawa ada ceramah Ustaz Azhar Idrus di Masjid Negeri Selangor.

Di perenggan atas saya menggambarkan bahawa "Bersusun-susun kereta di diletakkan sepanjang jalan dari berbagai arah laluan menuju ke tapak karnival. Manusianya pula berduyun-duyun bagai satu pesta besar. Begitulah gambarannya. Hebat."  

Sebaliknya, apa yang saya lihat di laluan sepanjang jalan ke Masjid Negeri Selangor dan selepasnya jauh lebih hebat dari yang saya saksikan di karnival buku petang tadi. Tidak keterlaluan saya katakan bahawa penduduk Shah Alam dilanda "Fenomena Ustaz Azhar Idrus". Bagaimanapun, fenomena Ustaz Azhar Idrus dikatakan bukan sahaja melanda Shah Alam, tetapi juga ke seluruh negara.

Benarkah begitu?



crystal, batu pahat.
30 januari 2012

10 ulasan:

  1. fenomena ust azhar baru sahaja melanda senawang .. di shah alam sengaja di buat sebagai tandingan kepada AJL.

    * saya ingat nak berhenti menulis blog dan beralih kepada menulis novel cinta. hehe

    BalasPadam
  2. Sdr al-lavendari,

    Tuan,

    Semoga fenomena ustaz akan berterusan. Tidak kira samada Ustaz Azhar Idrus atau yang lain-lain.

    Saya juga perhatikan bahawa semua penulis novel popular ialah penulis wanita. Agaknya ini dunia wanita.

    Tuan, kalau tulis novel cinta, jangan lupa blog kita...sebab 'masa kita muda dulu tiada blog'.

    BalasPadam
  3. Ujang Kutik,

    Tuan sudah berada di Batu Pahat ye..

    Semalam saya berkira kira juga hendak pergi ke karnival tu..tapi perasaan malas telah menyelubungi seluruh jiwa..hehe

    Rasa nye betul lah telahan Tuan akan remaja kini mungkin dilanda sindrom membaca novel2 cinta.

    Menyedari akan publisiti yang meluas terhadap filem '' ombak rindu ''...saya pasti sindrom ini juga telah melanda ibu2 kepada si remaja ...hahahha....

    BalasPadam
  4. Sdr theolrascal,

    Tuan,

    Tepat. Sepanjang tugas luar, orang rumah saya tentu selesa di satu sisi kerana tiada gangguan menonton drama Korea.

    Tuan, 'cinta itu tiada sempadan usia, ras dan kedudukkan'.

    BalasPadam
  5. Saudara Ujangkutik,

    Ini satu permulaan yang baik (sikap suka membaca).

    Pepatah lama, jauh berjalan luas pandangan serta menambah pengalaman. Bila membaca novel ia juga dapat memperbanyakkan pengalaman hidup dari watak2 utama sesebuah novel itu. Sekurang2nya mungkin boleh juga digunakan ketika menempuh kesulitan hidup.

    Teringat akan novel 'Siti Nurbayah'. Novel pertama yang saya baca ketika remaja.

    BalasPadam
  6. Sdr Pak Mail,

    Kadang-kadang saya terfikir minat membaca ini suatu pembawaan diri.Anugerah.

    Sayangnya, ketiga-tiga anak saya kurang minat membaca selain dari dari buku-buku pengajian masing-masing.

    Ketika anak-anak dahulu tuan mungkin masih ingat komik karya 'Awang Teh'...Panglima Awang, Awi Dichu,....Watak orang jahat yang saya masih ingat ialah 'Bachok'.

    Kita juga membesar dengan kepahlawanan Hang Tuah Lima Bersaudara, Puteri Buluh Betong, Putera Kayangan dan lain-lain.....

    Mungkin unsur itulah yang membawa kita menulis di blog di kesempatan usia sekarang.......

    BalasPadam
    Balasan
    1. Saudara Ujangkutik,

      Malu untuk saya berterus terang kepada saudara bahawa saya tidak banyak membaca komik kepahlawanan Melayu seperti Panglima Awang, Awi Dichu selain dari Hang Tuah dan sahabat2nya. Malah tahu pun tidak akan komik tersebut.

      Saya banyak membaca novel2 Melayu, terutama dari karya Pak Hamka.

      Padam
    2. Sdr ujang kutik,
      masa muda2 suka sangat baca cerita penyiasatan... 'hardy boy.'. mmg tidak suka baca kisah2 cinta... komik kartun suka lah.... Jika diizin Allah ingin menulis hingga tua bangka... Tulah agak nya anak2 kami tidak pernah membeli novel2 cinta...Kadang- kadang buku yang dibeli,kena baca lebih sekali baru saya faham...

      Padam
  7. Sdr Pak Mail,

    Semasa zaman anak-anak, arwah datuk tidak pernah menghampakan saya jika saya hendak membeli komik-komik kepahlawanan Melayu - di sekitar usia 9 - 12 tahun.Beliau sering memuji saya di hadapan kawan-kawannya kononnya saya 'rajin membaca'.Saya jadi ketagihan membaca komik kepahlawanan Melayu.

    Saya jadi asyik dengan sesuatu yang berkaitan dengan jati diri Melayu -Pakaian orang Melayu zaman dahulu (bertanjak,memakai capal..), rumah tradisional Melayu,keris, silat, bertani, sampan,kapal layar dan segala-galanya yang ada unsur keMelayuan.

    BalasPadam
  8. Puan Bakawali,

    Saya selalu mengusik anak sulung yang telah tamat pengajian dan bekerja tetapi masih membeli komik.

    Saya tanya,"Kenapa tidak baca buku atau majalah ilmiah?"

    Dia tidak dapat menjawab soalan itu dengan tepat dan menyakinkan.

    Agaknya inilah yang dikatakan bahagian masing-masing. Ada yang suka baca novel cinta,buku penyiasatan,komik kepahlawanan dan lain-lain lagi.

    Saya sangat bersetuju dengan rakan blog 'Pak Mail' yang merestui sikap suka membaca.

    Saya juga suka menulis (mengikut kemampuan)dalam blog. Saya tertarik dengan ungkapan rakan blog 'KomenSen' yang mencatatkan dalam blog beliau lebih kurang bunyinya, "Saya berblog masa sudah berusia kerana masa muda dahulu tiada blog".

    Ayuh, sama-samalah kita menulis untuk kebaikan.

    BalasPadam

" "Kalau hendak tahu dalamnya lubuk, TANYALAH pada memerang"."