Rabu, 11 Januari 2012

liga super Malaysia 2012: oh, anak ku...

Perlawanan sulung pasukan bolasepak Negeri Sembilan menentang Selangor dalam Liga Super 2012 berakhir dengan seri, 2-2. Keputusan tersebut dikira adil kepada kedua-dua pasukan.

Adil kepada Negeri Sembilan; tidak menguasai permainan tetapi bijak memanfaatkan peluang menjaringkan gol. Adil kepada pasukan Selangor yang menguasai permainan; dapat menyamakan kedudukan setelah ketinggalan dua gol pada separuh masa pertama.

Sewajarnya, pasukan dan penyokong kedua-dua buah negeri berjiran itu berpuas hati.

Ada dua perkara yang saya perolehi setelah selesai menyaksikan perlawanan itu:

  • Diantara unsur yang perlu ada untuk mencapai sesuatu kejayaan ialah kebolehan memanfaatkan setiap peluang yang ada, yaani perlu ada sifat ‘opportunist’. Ini bermakna pasukan yang menguasai permainan tidak semestinya akan memenangi sesuatu perlawanan. Begitulah juga kaedahnya dalam menyantuni pentas kehidupan yang lain.  
  • Kebanyakkan golongan generasi ke-2, yaani ibu bapa mereka ‘pendatang’ (sila baca warga Malaysia yang berasal dari luar Kuala Lumpur atau Selangor) ke kota metropolitan Kuala Lumpur (sila baca Kuala Lumpur dan Selangor) adalah penyokong tegar pasukan bolasepak Negeri Selangor.
Saya berasal dari Negeri Sembilan dan isteri dari Melaka. Anak-anak kami dilahirkan dan membesar di Negeri Selangor – di Ampang. Kecintaan kami( saya dan isteri) kepada Negeri Selangor tempat kami bertemu jodoh, mencari  rezeki dan berkeluarga utuh dan tidak perlu diragukan.

Namun demikian, kami tidak berkompromi mengenai nilai-nilai sentimental yang melibatkan negeri asal usul seperti amalan adat, dialek, makanan yang disukai dan sokongan kepada perkara yang datangnya dari negeri asal kami. Perkara ini berlaku secara semula jadi dan tidak dapat dielakkan. Saya percaya anda juga berpendirian seperti kami.

Sedemikian, wajarlah saya menyokong pasukan Negeri Sembilan samada pasukan bolasepak, takraw, hoki, ragbi dan lain-lain lagi. Hatta, termasuk juga sokongan kepada pasukan guli negeri asal. Begitulah juga pendirian isteri saya kepada pasukan negerinya, Melaka.          

Berdasarkan kiraan ‘Simple Arithmatic’, anak-anak saya pun sepatutnya menyokong samada pasukan Negeri Sembilan atau Melaka. Kalaupun tidak menyokong Negeri Sembilan, mereka akan menyokong pasukan Melaka.

Bagaimanapun, kenyataannya tidak sedemikian. Anak-anak kami menyokong pasukan Selangor ketika menyaksikan perlawanan pertama Negeri Sembilan dalam Liga Super 2012 yang ditayangkan di kaca television pada 10 Januari 2012 yang lalu. Mereka menyokong pasukan Negeri Selangor dengan penuh taksub dan emosi. Maka terkeluarlah kata-kata, “Tak sabar nak tengok Selangor belasah Negeri Sembilan, Seri di tempat lawan (Seremban) maknanya menanglah tu dan sebagainya.”  

Inilah hakikat yang berlaku kepada generasi ke-2 ‘pendatang’ (sila baca warga Malaysia yang berasal dari luar Kuala Lumpur atau Selangor) ke kota metoropolitan Kuala Lumpur ; tubuh biologi mereka masih mengalir darah keturunan negeri asal usul ibu bapa, hati mereka terikat dengan tempat mereka dilahirkan dan membesar,Selangor.

Dan, dari gabungan generasi ke-2 ‘pendatang’ (sila baca warga Malaysia yang berasal dari luar Kuala Lumpur atau Selangor) dengan anak jati Selangor inilah wujudnya gelombang ‘Penyokong The Red Giant’ yang terkenal itu.

Anak-anak, walaupun tidur sebantal dengan kita , mimpi mereka tidak sama dengan mimpi kita. Oh, anak ku!

8 ulasan:

  1. Saudara Ujangkutik,

    Barangkali faktor persekitaran dan pergaulan anak2 kita dengan rakan2 mereka mempengaruhi pendirian mereka dalam memberi sokongan kepada pasukan tempat kelahiran mereka. Suatu semangat kesukanan yang wajar saya kira.

    BalasPadam
  2. Tuan Ujang,

    kah kah kah..ye..ye..adil kepada kedua dua pasukan.

    Bagaimanapun saya amat terhibur akan penyokong yang tidur sebantal..mimpi lain lain.

    Tuan..jangan cuba guna kuasa veto pulak..hehehe..

    BalasPadam
  3. Sdr Pak Mail,

    Ada satu lagi yang tidak dapat dikekalkan, iaitu dialek N.Sembilan. Anak-anak saya tidak dapat berkomunikasi dialek N.Sembilan sungguhpun saya dan isteri (Orang Melaka Masjid Tanah sempadan N.Sembilan)bercakap dialek N.Sembilan.

    Bagaimanapun, oklah .Win Win.

    BalasPadam
  4. Sdr theolrascal,

    Liga Super 2012 membayangkan bibit kemeriahan.

    Anak-anak yg dulunya asyik dengan Liga EPL telah mula tertarik kepada liga tempatan.

    Itulah, taksubnya mereka dengan Selangor setaksub mereka dengan MU.

    BalasPadam
  5. Salam Saudara Ujang..,

    Saya tertarik dgn catatan saudara kali ini, bukan saja taksub pada sukan tapi taksub pada seluruh kehidupan yang dipengaruhi persekitaran yg mencabar dan menuntut kepastian dalam keputusan dalam menghadapi masa depan dan depan....

    sebagaimana kata saudara " walau tidur sebantal pun mimpinya berlainan..." kalau difikir kan dari sudut positifnya memang kita berlapang dada tapi kalau sebaliknya kita lah yg paling resah utk menanganinya.... ( risau melihat generasi ke 2 dan ke 3 ini lebih kurang ajar lagi......)

    Kami sekeluarga memang penyokong N9 tegar sejak dulu lagi.....

    BalasPadam
  6. Sdr azmnor,

    Assalamualaikom,

    Memang betul dalam perkara asas terutamanya menekuni hidup beragama kita sekeluarga wajib tidur sebantal,mimpi sama-sama.Itu amanah kepada kita, ketua keluarga.

    Terima kasih kerana ingat-mengingati.

    BalasPadam
  7. assalam Ujang: itulah hakikatnya krn di Malaysia kalau ditanya asal dr mana, sudah tentu merujuk tempat lahir. Tidak hairan kalau ada yg dilahirkan di London semasa ibubapa belajar di sana, mengaku dirinya sbg org England. Wallahhualam

    BalasPadam
  8. Sdr Pak Teh,

    Terima kasih kerana ke blog saya.

    Semoga kita akan berhubung lagi.

    BalasPadam

" "Kalau hendak tahu dalamnya lubuk, TANYALAH pada memerang"."