Khamis, 29 Mac 2012

kawan sekampung : jauh berjalan banyak ditengok




“Jauh berjalan banyak ditengok
Lama hidup banyak dirasa”


Hampir 20 tahun saya tidak bersua muka dengan kawan sekampung dan juga kawan sekolah yang ini. Saya juga tidak mengetahui atau mendengar naik-turun perjalanan hidupnya  dalam tempoh tersebut.
Keadaan ini biasa berlaku kepada sesiapa pun. Masing-masing disibukkan dengan urusan sendiri setelah meningkat usia dan meninggalkan kampung halaman. Lagi pun, walaupun sekampung, jarak rumah keluarga kami agak jauh juga. Sedemikian, banyak perkara yang berlaku ke atasnya dan kawan-kawan yang lain tidak sampai ke pengetahuan saya.
Ditakdirkan, dua tahun yang lalu tanpa disangka dia muncul di hadapan saya. Kami dipertemukan semula di warung belakang pejabat ketika saya hendak keluar setelah membuat bayaran di kaunter.
Dia, Mohd Nor, perasan kelibat kawan sekampungnya ini apabila saya melalui meja yang didudukkinya. Dia terus berdiri dan menegur dalam loghat Negeri Sembilan yang pekat, “ Ekau konal lai Den tak (Kamu masih kenal saya kah)?
Saya tergamam. Bagaimanapun, saya tidak mengambil masa yang lama untuk mengecamnya. “Panjab!” saya setengah menjerit menyebut nama gelarannya ketika kami sama-sama membesar di kampung. Ada pelanggan di warung tersebut menjeling kerana mungkin kurang senang dengan gelagat kami yang agak keterlaluan.
Saya mengambil tempat duduk di sebelahnya. Dia meminta saya membuat pesanan. Saya menolak kerana masih kenyang lagi.
Perbualan kami berkisar kepada topik-topik biasa yang diperbualkan oleh kawan sekampung yang begitu lama tidak berjumpa – mengenai ibu bapa, perubahan keterampilan fizikal masing-masing yang telah berusia, keluarga,tempat duduk,anak-anak, kawan-kawan sekampung yang lain dan sebagainya. Dia tinggal di Kemensah, Ulu Klang bersama isteri dan dua orang anaknya yang masih menuntut di institusi pengajian tinggi.
Melalui perbualan awal, saya agak dia telah terlalu lama tidak menjenguk kampung kami, kampung kelahirannya. Dia tidak mengetahui apabila saya memberitahunya beberapa orang tua di kampung kami telah meninggal dunia. Dia juga tidak mengetahui beberapa buah rumah penduduk kampung termasuk milik saudara maranya telah lenyap kerana terletak di laluan projek kedua Kereta Api Tanah Melayu (KTM) Kuala Lumpur – Singapura.
Di tengah-tengah kemelut fikiran untuk memprogramkan semula persepsi saya terhadap kawan sekampung itu, dia bertanya, “Ekau tahu tak den kono penyakit lumpuh beberapa tahun yang lopeh (Kamu tahu ke tidak saya sakit lumpuh beberapa tahun yang lepas)?
Saya menjawab, “Tidak.”
Dia emosional pada bab ini.
Dia menceritakan pengalaman paling sukar dalam hidupnya ketika lumpuh anggota badan selama hampir tiga tahun. Dalam tempoh itu dia terlantar di atas katil. Segala-galanya mengharapkan bantuan orang lain. Dia hilang pekerjaan. Dia juga hilang sebilangan saudara dan kawan-kawan.
Dia meluahkan betapa kawan-kawan dan saudara mara cuma bersimpati ketika di peringkat awal dia menghadapi musibah sahaja. Pada mulanya mereka simpati dan datang menziarah. Malahan, ada yang membantu samada tenaga atau wang ringgit.
Bagaimanapun, akhirnya mereka letih. Dia ditinggalkan dan tidak dipedulikan. Dia terkapai-kapai dalam keadaan tidak berdaya dan kekurangan dalam segala hal - terutamanya kudrat dan wang ringgit. Ketika  itu dia terlalu naif. Air liurnya melilih. Orang kampung kami kata “Molepek”.   
Mohd Nor menyebut patah-patah kata ahli falsafah Greek kuno,Socrates, “Berkahwinlah. Anda akan bahagia jika mendapat isteri yang baik . Sebaliknya, jika anda tidak mendapat isteri yang baik, anda akan jadi ahli falsafah.”
Mohd Nor berkata dia bernasib baik. Bukan kerana isterinya seorang guru. Dia bernasib baik kerana ISTERINYA BAIK. Isterinya setia bersamanya dalam keadaan dia tidak mempunyai apa-apa, kosong – tidak mempunyai pekerjaan,tidak boleh menguruskan diri sendiri,lemah zahir dan batin…’molepek’.
Bagaimanapun, keajaiban berlaku. Dengan izin Allah dan setelah berusaha tanpa mengenal putus asa, penyakit lumpuhnya sembuh. Dia pulih sepenuhnya tiga tahun yang lepas.
Saya mengisi masa terluang setelah dia dengan penuh emosi selesai menceritakan episod sukar dalam hidupnya dengan berkata, “Socrates mungkin hidupnya tidak bahagia, itulah sebabnya dia menjadi ahli falsafah.”  Dia tersenyum dan menjawab, “Mungkin juga.”
Sebenarnya, dari awal lagi saya hendak mengetahui pekerjaannya setelah pulih. Dan, akhirnya saya bertanya juga perkara itu.
Katanya, “ Saya mencari rezeki di mana-mana sahaja di muka bumi kepunyaan Allah ini; di tanah air, Asia, Eropah atau di Afrika .”
Saya mengusiknya kerana menganggap dia bergurau, “Tentunya kamu tidak berfalsafah kerana kamu mempunyai isteri yang baik.”
Dia mengeluarkan kamera kompak dari poket seluarnya. Dia menukar sim kad dan mengakses isi perut sim kad itu. Dia menunjukkan satu per satu gambar-gambarnya di pelbagai benua di muka bumi ini sambil menyebut nama-nama tempat tersebut. Bangkok, Hong Kong, Jakarta, Bali, Manila, Maldives,Ghana, Johannesburg,London,…….dan banyak lagi.
Saya meminta dia menunjukkan gambarnya ketika di  Rusia (Moscow). Dia berkata sim kadnya dirampas oleh pihak polis negara Alexandre Putin itu. Dia meluahkan serik ke Rusia kerana pihak berkuasa negara tersebut tidak mesra orang luar atau pelancung. Ketika di sana dia juga dipaksa  bertukar hotel penginapan oleh polis Rusia.
Saya bertanya mengenai apa yang dibuatnya di negara-negara tersebut. “Adalah, berniaga secara ‘trading’ kecil-kecilan dengan mendapatkan sesuatu produk terus dari pengeluar tanpa melalui orang tengah. Kalau di negara-negara Afrika selalunya buat ‘trading’ tembaga (copper). ” katanya.
Dia mengingatkan saya bahawa dia cuma berniaga secara kecil-kecilan sahaja walaupun lokasi operasinya di luar negara. Urusniaganya tidak melibatkan jumlah ratus-ratus ribu atau juta-juta. Bagaimanapun, sehingga sekarang saya tidak dapat menggambarkan keadaan sebenar cara dia berniaga.
Kami berjumpa semula sebulan selepas pertemuan pertama itu di lokasi yang sama. Selepas itu sehingga sekarang kami tidak pernah berjumpa lagi . Namun demikian, sekali sekala saya menerima SMS Mohd Nor dari berbagai lokasi di dunia ini. Semasa banjir besar di Thailand tahun lepas (2011), dia mendakwa berada di Bangkok.
Saya tidak pernah merancang untuk menulis catatan mengenai Mohd Nor. Sedemikian, saya membuang (delete) SMSnya. Cuma pesanan ringkas terakhir Mohd Nor bertarikh 13/11/2011 yang masih tertinggal dalam ‘inbox messaging’ telefon bimbit saya. Ketika itu dia mendakwa berada di Hong Kong. Sejak itu juga Mohd Nor, kawan sekampung tidak diketahui khabar beritanya lagi.
Kawan-kawan mempunyai tanggapan yang berbagai mengenai Mohd Nor apabila saya menceritakan cara dia mencari rezeki agak berlainan sedikit. Bagaimanapun, saya yang mengenali Mohd Nor sejak kecil percaya bahawa apa yang diceritakannya adalah benar. Dia juga tidak terlibat dengan gejala atau urusniaga yang tidak sihat.
Di antara kata-katanya yang masih saya ingat semasa pertemuan singkat kami ialah,”Saya tidak alim, tetapi saya tidak jahat dan tidak sedikit pun terpengaruh dengan godaan-godaan tidak sihat ketika berseorangan di luar negara.”
Pada saya memang sepatutnya dia berkata demikian. Dia umpama mati hidup semula. Dia tidak boleh jadi jahat kerana diberi peluang kedua untuk hidup sebagai manusia normal. Dia juga tidak boleh jadi jahat atau curang kerana dia mempunyai seorang isteri yang sangat baik terhadapnya.       
Saya tidak pasti bilakah masanya kami akan bertemu lagi. Andainya 20 tahun lagi, ketika itu kalau masih hidup pun, kami telah terlalu tua untuk mencatatkan fasa kedua pertemuan klasik kami.     
         
                
    



6 ulasan:

  1. Saudara Ujangkutik,

    Agama mengajar kita supaya tidak bersangka buruk terhadap seseorang. Saya kira apa yang dimaklumkan oleh sahabat saudara itu kita terima dan bersangka benar dan baik. Walaupun kadang2 sukar dipercayai. Sukar dipercayai tidak semestinya ianya tidak benar.

    Allahu'alam

    BalasPadam
    Balasan
    1. Sdr Pak Mail,

      Mungkin yg tidak mengenalinya sukar percaya. Saya yg kenal dia masa kecil dan setelah lebih 20 tahun jumpa semula, percaya apa yg dikatakannya.

      Padam
  2. Ujang Kutik,

    ...ada motivasi menggunung dalam diri saudara Mohd Nor setelah pulih dari lumpuh selama tiga tahun.

    bisnes kecilan tapi boleh berada di serata dunia....

    Selamat Maju Jaya buat beliau....

    BalasPadam
  3. Sdr theolrascal,

    Di atas faktor usia mengikut akal 'dia tidak boelh pergi jauh'.

    Dunia sebenarnya makin kecil. Ramai orang Malaysia beli barang (kecil-kecilan) di Cina dan jual di Malaysia.

    Begitu juga peniaga kecil keturunan India yg berulang-alik KL-India membawa barang dagangan. Mungkin inilah cara Md.Nor berniaga.

    Ya,semoga dia maju jaya.

    BalasPadam

" "Kalau hendak tahu dalamnya lubuk, TANYALAH pada memerang"."