Khamis, 19 April 2012

jauh berjalan banyak dipandang



Ditakdirkan, ini adalah kali kedua saya bermusafir dalam tempoh 5 bulan di bandar tepi muara sungai ini, Bandar Cukai, Kemaman. Kali terakhir ialah pada bulan November tahun lepas.

Bandar kecil di selatan Negeri Terengganu yang terletak di muara sungai ini dinaungi oleh elemen air dan jajaran pokok-pokok menghijau. Anugerah alam ini menyajikan keindahan panorama alam semula jadi yang mengasyikkan. 

Persekitaran di sepanjang tebing sungai telah dibangunkan lanskap taman yang cantik,bersih dan dilimpahi cahaya lampu pada sebelah malam. Di sinilah juga kaki-kaki pancing melampiaskan ketagihan memancing dengan berbagai aksi - berborak sesama sendiri atau bersandar di dalam kereta sambil menunggu pancing disentuh ikan.

Di sini juga ramai orang mundar mandir. Mereka mungkin pelanggan hotel berdekatan yang ingin menyaksikan sesuatu yang baru dan tidak ada di tempat mereka. Termasuk juga orang ramai yang ingin menenangkan minda selepas makan di warung-warung yang terletak berhampiran tebing muara dan taman landskap yang dibangunkan.     

Bandar kecil di tebing muara sungai ini hidup dengan urusan harian di sebelah siangnya dan ceria pada sebelah malamnya. Selewat 12.00 tengah malam, persekitaran di bandar ini masih meriah - lagu-lagu era 60-an kedengaran dari 'post' pengawal keselamatan di bangunan sebelah, orang makan-makan di warung-warung, orang memancing, orang berborak-borak di tebing muara atau orang duduk bersendirian menikmati fenomena alam ciptaan Allah. Selepas 12.00 tengah malam, orang ramai mula berkurangan.

Yang masih setia menunggu ialah kaki-kaki pancing yang tidak 'terkalahkan'. Mereka tetap sabar menunggu walaupun tiada seekor anak ikan pun yang dapat. Mereka juga akan datang lagi tanpa (agaknya) ada yang meleteri walaupun tidak dapat apa-apa dan 'membuang masa kualiti'. Bagaimanapun, mungkin ada rahsia yang mereka sembunyikan dari orang lain sehingga mendapat 'lesen besar'!

Berbanding dengan lokasi taman-taman di kebanyakkan tempat lain, saya 'tabik' kepada para pengunjung taman landskap bandar kecil Cukai,Kemaman ini. Saya tidak pernah nampak pasangan kekasih menyalahgunakankan taman landskap ini. Secara kebetulan bilik hotel yang saya dudukki di tingkat dua memudahkan saya 'memantau' pergerakan dan gelagat manusia yang mengunjungi taman tersebut.

Petang tadi saya membeli 'charger' telefon bimbit di sebuah kedai alat-alat telekomunikasi yang agak besar di bandar ini. Setelah membuat bayaran saya perasan ayat 'Assalamu'alaikom' di sangkut berhampiran kaunter bayaran. Saya merenung ayat tersebut agak lama. Taukeh kedai itu, lewat 30-an, menyedari 'permasalahan' yang bermain-main di fikiran saya lalu memperkenalkan dirinya. Katanya, "Saya mualaf, Ali Lim, yang berurusan dengan tuan tadi (wanita Melayu) isteri saya dan budak dua orang itu (Seorang anak lelaki, 5-6 tahun dan anak perempuan, 3 tahun dengan iras 'Chinese look' yang comel) anak-anak kami."

Secara spontan saya mengucapkan 'Alhamdulillah dan Subhanallah' dan bersalaman dengannya. Saya menepuk-nepuk bahunya dan menikmati kepuasan rohani.Saya berbangga kerana dia seorang peniaga yang berjaya (pada pandangan saya) akan mencantikkan lagi kedudukkan orang Islam. Saya juga membayangkan dua orang anaknya yang comel 'Chinese Look' itu akan mewujudkan variasi iras generasi Islam di negara ini pada masa akan datang.    

Bagaimanapun, saya agak cuak juga apabila terbayangkan perpecahan orang Islam di kalangan sesama orang Melayu sendiri. Bagaimanakah agaknya landskap politik dan ekonomi orang Islam di negara ini antara Orang Islam keturunan Melayu dengan Orang Islam keturunan Cina pada masa akan datang jika momentum orang keturunan Cina yang berjaya dalam profession masing-masing menganut agama Islam berterusan? " 

Adakah saya berfikir terlalu jauh atau terlalu proaktif? Ah, jangan pedulikan siapa yang dominan. Melayukah? Cinakah? Indiakah? Ibankah? Kadazankah? Orang Asalkah? Asalkan Orang Malaysia beragama Islam!

Insya Allah, esok, Jumaat, 20 Mac 2012, saya akan kembali semula ke lubuk selepas tugas di sini selesai. Apabila balik ke lubuk, lesen 'agung' saya yang lebih 'power' dari 'lesen besar' kaki pancing akan ditarik semula. Ketika itu, saya tidak 'bisa' lagi berpeleseran di sebarang tempat. Saya juga tidak 'bisa' lagi melayan kekunci lap top secara keterlaluan kerana banyak masa-masa kualiti yang ditawakufkan semasa bermusafir perlu dilunaskan.
     


8 ulasan:

  1. hebat bang hebat ,,,,,,,,,, bilo nak balik ghombau ??

    BalasPadam
  2. Ujang Kutik,

    ..hehe saya sedikit terhibur dengan posting tuan ketika berada di luar daerah ini.

    Lesen besar para pemancing tu di perolehi secara mudah...katakan saja kita tidak akan memancing selain dari ikan..ahahhaha.

    Selain itu, saperti tuan, saya juga tidak ' risau ' jika orang islam dari keturunan cina mendominasi ekonomi dari etnik2 yang lain kerana sebagai orang islam pasti lah mereka sedar akan obligasi kepada yang kurang berada.
    Masaalah kaum pun mungkin tidak timbul lagi melainkan di politikan oleh mereka yg tidak bertanggungjawab.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Sdr theolrascal,

      Ketika di Kemaman saya sempat berbual dengan seorang tempatan yg begitu bersemangat meluahkan kerisauannya mengenai untung nasib bangsa.'Lubuknya' sangat jelas.

      Secara peribadi, saya tidak akan berbual mengenai politik dengan seseorang yang tidak selubuk kerana tidak akan ada titik persamaan.Jauh sekali dari memuji-muji lubuk sendiri atau mengutuk lubuk pihak lain.

      Saya biarkan dia meluahkan kerisauannya sepuas-puasnya...

      Padam
  3. Ini lah pandangan pantai dinergeri saya. Datanglah selalu. Sekala lagi teruskan perjalanan dipinggir pantai hingga sampai kekampong saya. Jangan hairan orang China bercakap dengan loghat yang lebih pekat keterenganuannya.

    BalasPadam
  4. Sdr Al-Manar,

    Tuan,

    Saya mempunyai pengalaman dengan suasana dan persekitaran kampung dan pantai di Negeri Terengganu - Di bandar dan pedalaman Besut,Setiu, Kuala Brang,Kuala Terengganu, Kemaman. Ketika di Penarik, saya pernah menunggu tuntung naik bertelur di muara Sungai Penarik.

    Persekitaran dan suasana di tempat-tempat tersebut membekas dan mengesankan.Tentunya nasi dagang dan Satar Terengganu ialah di antara makanan tradisi yang paling sedap di seluruh Malaya.

    Terima kasih.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Saudara Ujangkutik,

      Ini yang dikatakan jauh berjalan, banyak pandangan dan luas pengalaman....

      Negeri Terengganu dan pantainya pernah menawan hati saya satu ketika dahulu lebih 30 tahun yang lalu. Barangkali saya pernah bercerita selingkar kisah menerusi blog saya. Saya pernah dibawa oleh sahabat saya yang juga seorang anggota TLDM ketika itu ke Rantau Abang dan melihat budaya kehidupan nelayan. Sangat membekas di jiwa saya.

      Kali terakhir saya ke Terengganu beberapa tahun yang lalu.

      Padam
    2. Sdr Pak Mail,

      Puluhan tahun dahulu saya dan rakan sekerja juga pernah menunggu penyu bertelor di Rantau Abang.Seronoknya, kami menunggu (waktu dini hari)sambil menyanyi dan bermain gitar.

      Semakin usia meningkat banyak yang kita kenangkan.

      Padam

" "Kalau hendak tahu dalamnya lubuk, TANYALAH pada memerang"."