Sabtu, 23 Jun 2012

KETIKA mengutip kenangan di pantai penarik


KETIKA catatan ini ditulis, barangkali pembinaan ‘rumah agam’ di tengah perkampungan nelayan Melayu Pantai Penarik, Setiu sudah lama siap. Kalau tiada apa-apa halangan, pasti ‘rumah agam’ yang melebihi ketinggian pepohon nyiur di perkampungan nelayan itu sudah siap sepenuhnya. Masakan tidak, pembinaan Kuala Terengganu Waterfront yang jauh lebih hebat pun sudah lama siap.

Dikatakan pemilik ‘rumah agam’ itu ialah ‘orang luar’ yang berbeza kepercayaan,
warna kulit dan asal usul dengan penduduk tempatan.

KETIKA datang sebagai seorang musafir lebih setahun yang lalu, bangunan ‘rumah agam’ yang dimaksudkan hampir siap. Bangunan singgahsana burung walit yang dikatakan akan memberi pulangan yang lumayan itu jelas kelihatan dari Resort Penarik Inn. Susuk struktur bangunan itu megah berdiri seperti memantau penduduk kampung dan tetamu ‘resort’ menunggu tuntung naik bertelur di sepanjang muara Sungai Penarik pada kelam petang ketika sang matahari bersembunyi di ufuk.
KETIKA ini, penduduk di perkampungan nelayan itu mungkin telah terbiasa dengan nada bunyi yang didendangkan dari puncak menara ‘rumah agam’ untuk menggoda burung walit singgah bertamu dan bermalam. Anak-anak mereka yang membaca buku di bawah sinaran lampu letrik rendah kuasa watt untuk mengurangkan bayaran bil juga tidak lagi terganggu seperti ketika projek burung walit mula beroperasi dahulu.  
KETIKA ini juga mungkin ramai penduduk kampung tidak lagi turun ke laut. Mereka sudah ada kerja tetap. Mungkin ada yang bekerja sebagai pemandu lori, pengawal keselamatan dan golongan wanitanya pula ramai mengambil upah memproses sarang burung walit.
KETIKA ini agaknya, bilangan ‘rumah agam’ burung walit umpama cendawan tumbuh. Mungkin agak ramai penduduk kampung miskin di perkampungan nelayan dalam Daerah Setiu ini telah menjadi orang kaya baru kerana menjualkan tanah masing-masing kepada taukeh ‘orang luar’.
ASTAGFIRULLAH, saya memohon maaf kerana dirasuk imaginasi ekstrim kesan dari melihat semula catatan pengalaman di Pantai Penarik, Setiu, Terengganu suatu ketika dahulu. Ketika itu bangunan projek burung walit yang dibina di tengah perkampungan nelayan Melayu itu telah hampir siap tetapi masih berlum beroperasi lagi.
Secara peribadi, saya kurang menyenangi ketenangan di perkampungan Melayu itu ‘diceroboh’ di atas apa sahaja alasan sekalipun. Jauh di sudut hati, saya menginginkan imaginasi negatif saya tidak menjadi kenyataan.
KETIKA ini, kalaulah perniagaan burung walit itu menguntungkan, saya mengharapkan beberapa buah ‘rumah agam’ burung walit lagi dibina dan diusahakan oleh penduduk kampung itu sendiri walau dengan apa cara sekalipun. Ini boleh dilaksanakan kerana sesiapa pun tidak akan percaya bahawa Negeri Terengganu yang kaya bermasalah mendapatkan kepakaran atau dana.

KETIKA bilakah saya akan berpeluang lagi bermain dengan anak-anak ombak di pesisir Pantai Penarik,menyusur jejak penyu di pasir pantainya yang bersih, mengakrab diri dengan keindahan alam ketika matahari terbenam di horizon, menunggu tuntung naik bertelur di muara sungai, makan-makan di warung-warung berhampiran Masjid Penarik, solat berjumaah di Masjid Penarik bersama orang kampung , bersimbang dengan ‘oghang kampung’ yang mengusahakan Penarik Inn dan melihat sendiri perkembangan dan senario terkini ‘rumah agam’ burung walit di Pantai Penarik, Setiu, Terengganu?                         

4 ulasan:

  1. apa maksud rumah agam? bekas MB selangor dulu pun tiba-tiba popular dengan isu rumah agam!

    BalasPadam
  2. Sdr IM,

    Saya catatkan 'rumah agam' dalam penanda koma ('rumah agam') dan simbolik kepada sebuah rumah/bangunan yg tegap,besar dan menjadi tumpuan.

    Dalam maana asalnya 'rumah agam' ialah rumah besar (bungalow @ rumah agam) yang dimiliki orang kaya atau terkenal seperti mantan MB itu.

    T.Kasih.

    BalasPadam
  3. ..ini catatan dari seorang penulis yang sedang menghayati sesuatu persekitaran dan peristiwa yang beliau temui dalam perjalanan hidup nye.

    ..ada sedikit kehendak dan jangkaan dalam penghayatan nye itu...ekeke.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Sdr theolrascal,

      Benar, ditakdirkan saya mengongsi sesuatu dari dimensi sedemikian.T.Kasih.

      Padam

" "Kalau hendak tahu dalamnya lubuk, TANYALAH pada memerang"."