Rabu, 15 Ogos 2012

ANAK-ANAK ZAMAN DAHULU, ANAK-ANAK ZAMAN SEKARANG

Walaupun anak-anak telah meningkat remaja dan ada yang telah berkerjaya, sesekali saya masih bercerita kepada mereka mengenai kisah-kisah nostalgik di kampung asal usul tempat saya membesar. Saya seperti tidak memperdulikan kelebihan intelek, akademik dan sensitiviti mereka. Bagi saya, ini adalah kuasa ‘ekslusif’ seorang ayah. Siapa pun seorang anak, statusnya dengan ibu bapa perlu sehala - menghormati.

Ironinya, dalam kebanyakkan ‘sesi penceritaan’, anak-anak sepakat sesama mereka untuk tidak menyerlahkan sebarang reaksi, samada menyukai atau menyanggah. Ini bukan bermakna saya seorang ayah yang diktator. Sebaliknya, mereka mungkin ada mesej yang hendak disampaikan. He..he...

Di antara kisah-kisah lampau yang diceritakan ialah mengenai sambutan hari raya di masa saya masih anak-anak. Saya ceritakan betapa hebatnya anak-anak kampung di zaman itu membina jati diri sebagai 'anak jantan' dan memiliki kemahiran kemudi hidup yang tidak dimiliki oleh anak-anak hari ini.

Anak-anak lelaki zaman dahulu di usia semuda 10 -12 tahun boleh membuat sendiri meriam buluh karbaid. Mereka di usia semuda itu mencari dan menebang sendiri pokok-pokok buluh terpilih di hutan belantara tanpa campur tangan ibu bapa. Sekalipun demikian, permainan meletupkan meriam buluh karbaid dijalankan dengan selamat.Tiada yang ‘tertembak’ dan terbakar!

Anak-anak kampung juga proaktif dengan membuat sendiri pelita yang diperbuat daripada buluh atau tin susu. Dua lagi bahan asas ialah minyak tanah dan sumbu kain.

Kebanyakkan kanak-kanak perempuan zaman itu suka mengkerintingkan rambut ketika menyambut hari raya. Cecair yang digunakan mengkerintingkan rambut mempunyai aroma bau yang unik. Saya yang turut bersama arwah ibu menemankan adik perempuan ke kedai kerinting rambut di bandar akan teringat kenangan itu hingga ke hari ini pada setiap kali melintasi kedai gunting rambut wanita kerana keunikan aroma bau itu. Rupa-rupanya perubahan masa dan kepesatan teknologi tidak memberi kesan kepada elemen penting dalam dunia dandanan rambut iaitu aroma bau tersebut. Aroma bau itu masih sama seperti dahulu.   
         
Namun di sebalik maintain ‘macho’, anak-anak tersengih juga apabila saya menceritakan cara orang dahulu menjual air batu dalam bulan Ramadhan. Saya katakan bahawa orang kampung cuma dapat minuman air batu ketika bulan Ramadhan sahaja. Saya tidak tahu samada mereka percaya atau sebaliknya bahawa bungkah air batu yang dibeli di bandar akan diliputi dengan habuk papan dan disimpan dalam tanah sebelum dijual kepada penduduk kampung.

Melalui pengalaman, saya sedikit rimas melihat gelagat seorang anak kenalan berusia 12 tahun (Klas 6) yang asyik merengek meminta dibelikan gajet terkini dan mengajak ayahnya makan di Mac Donald sepanjang saya datang berziarah ke rumah kenalan itu. Ini sebenarnya bukan kes terpencil.

Di usia sedemikian, anak-anak kampung di zaman terdahulu telah boleh membuat alat-alat permainan yang tidak terfikirkan oleh anak-anak hari ini. Anak-anak di zaman terdahulu di usia 9 - 12 tahun boleh membuat sendiri senapang buluh peluru buah cenidai, lastik kayu meranti, pistol meniruk (menembak) ikan, kail pancing batang buluh yang diraut,membuat sangkar burung, membuat gasing dan berbagai lagi tanpa bantuan ibu bapa. Malah, seperti yang dinyatakan di atas, mereka boleh buat meriam buluh karbaid yang 'membinasa dan canggih' yang turut digeruni oleh 'George Bush'.

Anak-anak di zaman terdahulu juga boleh diharapkan. Mereka boleh diharapkan oleh ibu bapa untuk menjaga sekawanan kerbau di padang, membanting padi di sawah, menolong ibu bapa di ladang atau mengail ikan di sungai.            

Adalah tidak adil untuk membanding-bandingkan dua generasi secara melampau kerana masing-masing ada kelebihan dan kekurangan. Lagi pun situasi terbina di atas paksi  pengaruh masa dan persekitaran yang sangat berbeza. Bagaimanapun, apakah agaknya yang akan diceritakan oleh anak-anak kita kepada anak-anak mereka yang juga cucu-cucu kita pada suatu waktu nanti?

7 ulasan:

  1. Saudara Ujangkutik,

    Salam saudara. Barangkali anak-anak di luar bandar membesar dipengaruhi persekitaran mereka yang memerlukan daya ikhtiar tersendiri. Justeru, tidak sama dengan anak-anak yang membesar di kota yang kebanyakannya di'manjakan' oleh ibu dan ayah serta dipengarahi juga dengan persekitaran yang berbeza.

    Begitu juga kehidupan alam kanak-kanak kita dahulu jauh telah berubah dengan kehidupan kanak-kanak hari ini.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Sdr Pak Mail,

      Kemudi hidup yg tuan alami adalah sebilangan contoh generasi terdahulu membina jati diri.Inilah yg tidak ada pada generasi kedua imigran bandar seperti anak-anak saya.

      Walaupun kita berada di berlainan persekitaran, asasnya tetap sama.Generasi kita boleh 'hidup'pada sebarang keadaan.

      Padam
  2. ujang kutik,

    ..tulisan ini mengembalikan jugak momen2 nostalgik membeli air batu pada bulan puasa..

    air batu bersaiz besar kemudian di gergaji..mengikut saiz harga 20 sen..lalu di bungkus dengan surat khabar lama dengan seliputi habok papan..

    alahaiii....betapa masa telah berlalu..

    BalasPadam
    Balasan
    1. Ya benar, saya juga sewaktu bersekolah pernah menjaja ais batu yang diselaputi habuk kayu di sekeliling kampung. Saya juga pernah sewaktu masih bersekolah menjual kad hari raya di tepi jalan di pasar Datuk Keramat berlampukan lampu karbaid.

      Segala yang saya alami sewaktu kecil banyak dipengaruhi sosio-budaya dan ekonomi ketika itu yang memerlukan ikhtiar untuk 'survive', di samping menimba pengalaman hidup.

      Padam
    2. Sdr theolrascal,

      Momen-momen itulah yg cuba saya selitkan dlm catatan ini.Momen-momen itu sebenarnya 'tangkap leleh' dan akan dikitar semula sepanjang hayat kita.

      "alahai - betapa masa telah berlalu" ungkapan yg sangat mengesankan.Uwaaa....

      Padam
  3. Sewaktu saya masih kecil dahulu ketika berusia 9 tahun saya membantu ibubapa saya di kebun getah sebab ketika itu kehidupan ibubapa kita susah tetapi apabila kita sendiri yg pada waktu ini sudah agak selesa dan anak-anak tidak perlu membuat kerja-kerja berat seperti itu .........bukan memanjakan anak tetapi anak juga berhak untuk merasai kehidupan kanak-kanaknya

    BalasPadam
    Balasan
    1. Hasmania,

      Saya yang juga susah masa kecil dan sekarang selesalah sedikit masih boleh membina jati diri anak-anak dengan menceritakan susah payah kita dahulu.

      Namun, mungkin ada masalah sedikit kepada anak-anak saya ( dan mungkin juga anak-anak Hasmania) untuk membina jati diri anak-anak mereka kerana mereka sendiri tidak terdedah kepada kepayahan semasa membesar.

      Pendekatan (memanjakan) tidak salah tetapi hendaklah berimbang - bina jati diri beragama, tidak sombong, tidak mementingkan diri sendiri, tidak ego dll.

      Ini pengalaman anak saudara isteri saya. Anak saudaranya adalah bapa muda yang ingin membalas dendam dengan memberi kemewahan kepada anaknya kerana dia terlalu susah masa kecil telah menyebabkan anak lelakinya menghadapi masalah kegemukan yang melampau, penyakit kerana terlebih berat dan darah tinggi di usia 12 tahun.

      T.Kasih kerana melawat blog saya.

      Padam

" "Kalau hendak tahu dalamnya lubuk, TANYALAH pada memerang"."