Jumaat, 17 Ogos 2012

TIDAK JAHATKAH BUANG ANAK KUCING?


Arakian, ketika meletakkan kereta di dalam kawasan pasar berhampiran pasar juadah  Ramadhan, saya menyedari ada 3 ekor anak kucing yang masih kecil. Anak-anak kucing itu dalam keadaan lemah dan  kurus yang dibuang di pasar yang cuma beroperasi di sebelah pagi sahaja itu. Anak-anak kucing itu berkejar ke arah saya. Saya tidak menghiraukannya. Saya terus ke pasar juadah untuk membeli keperluan berbuka puasa.

Ketika hendak meninggalkan kawasan pasar setelah urusan di pasar juadah usai, dua ekor anak kucing tadi menghampiri kereta saya. Seekor anak kucing lagi tidak kelihatan. Saya terpaksa turun semula dari kereta untuk mengalihkan kedua-dua ekor anak kucing itu ke tempat yang agak jauh sedikit untuk mengelakkan dari dilanggar. Sedihnya, di dalam perjalanan ke kereta semula saya hampir terpijak bangkai seekor anak kucing berwarna hitam yang telah dilanggar oleh kereta lain.   

Di dalam keadaan saya memerhati bangkai anak kucing malang itu, dua ekor anak kucing tadi mendatangi saya lagi. Ego saya diusik, “ Anak-anak kucing ini kelaparan.”  Saya merasa kasihan tetapi tiada apa yang hendak diberikan.

Tiba-tiba saya teringat kepada satay yang saya beli di pasar juadah. Saya mengeluarkan dua cucuk satay yang dibeli dengan harga 60 sen secucuk itu dan 'bersedekah' kepada anak-anak kucing tersebut. Walaupun berada di pasar, anak-anak kucing itu tersangat lapar. Saya pula cuma ikhlas bersedekah  sekadar dua cucuk satay sahaja.

Sejak hari itu,  dalam perjalanan balik ke rumah dari tempat kerja, saya akan singgah sebentar di situ untuk memberi makan anak-anak kucing tersebut. Saya beri makanan kucing (pelet) . Kerjanya tidaklah susah kerana cuma mengambil masa beberapa minit sahaja. Kadar makanan yang diberi juga tidak banyak. Pendek kata, tidak membebankan.

Bagaimanapun, yang sedikit merisaukan saya ialah kedua-dua anak kucing itu tidak sehat. Seekor sakit mata dan seekor lagi terlalu kurus dan dalam keadaan lemah. Saya sayu melihat anak-anak kucing itu menggagahkan diri mengejar saya ketika saya datang membawa makanan.

Ada juga terlintas di dalam fikiran saya hendak membawa balik anak-anak kucing itu ke rumah supaya boleh menjaganya dengan lebih sempurna. Di belakang rumah saya ada sebuah rumah kucing yang agak selesa yang menempatkan kucing-kucing saya. Rumah kucing itu dibuat oleh tukang kayu pendatang Indonesia kira-kira setahun lepas. Bagaimanapun, saya perlu ‘mendapat persetujuan’ daripada isteri terlebih dahulu. He…he..

Apa yang dapat dibuat kesimpulan mengenai ‘tragedi’ anak-anak kucing malang itu ialah; betapa mudahnya manusia mengalih masalah diri sendiri kepada pihak yang tidak bersalah. Anak-anak kucing itu tidak bersalah dan terlalu kecil untuk dihukum sebegitu rupa - diabai dan dibuang. Kes ini bukannya kes terpencil tetapi berlaku di mana-mana.

Sesungguhnya, kita sangat tersentuh dengan kes-kes buang bayi yang berlaku secara berleluasa. Namun demikian, kita mungkin terlepas pandang bahawa pembuangan 'bayi-bayi' kucing oleh tuan punya kucing  juga adalah satu tindakan yang tidak bertanggungjawab. 'Bayi-bayi' kucing yang dibuang kebanyakkannya masih terlalu kecil, naif dan tidak berdaya untuk menguruskan diri sendiri. Mungkin kerana 'bayi-bayi' yang dibuang dan diabai itu berspesis haiwan-binatang, manusia tidak perlu ambil peduli.


Nota:
Hari ini 16/8/2012 dua ekor anak kucing malang itu menyambut kedatangan 4 kawan baru yang senasib. Mungkin mantan tuan punya kawan baru itu 'menempatkan' anak-anak kucing mereka di situ kerana hendak balik berhari raya di kampung. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

" "Kalau hendak tahu dalamnya lubuk, TANYALAH pada memerang"."