Khamis, 29 November 2012

JERANTUT: YANG LAMA DAN BAHARU




Setelah lebih 15 tahun, dapat juga saya menjenguk lagi Jerantut. Neraca perbezaan Jerantut yang terletak 54 km ke arah barat Temerloh yang dahulu dengan Jerantut yang sekarang sangat tidak adil untuk dibandingkan. Diantaranya, hotel-hotel baru yang membiak umpama ‘cendawan tumbuh’.

Sekalipun demikian, Bandar Jerantut lama masih mengekalkan imbauan ‘status quo’ Jerantut yang dahulu - deretan rumah kedai lama yang masih setia menagih pelanggan, pejabat-pejabat kerajaan, setesen keretapi, warung makanan yang banyak dan lain-lain peninggalan yang bernostalgia.

Saya tidak melepaskan peluang melayan nostalgia ketika sampai di bandar ini pada 26/11/12. Saya memanja diri melepak di sebuah kedai kopi di tengah bandar Jerantut lama. Memesan teh panas yang susunya sepertiga cawan (kerana dahulu teh tarik belum popular lagi). Membancuh kandungan susu dan air teh pekat sementara menunggu pesanan roti canai panas dan garing. Mengelamun. Cepatnya masa bergerak – usia saya telah bertambah 15 tahun selepas meninggalkan bandar ini 15 tahun yang lalu!

Di kedai kopi ini tidak ada television LED skrin besar. Walaupun tanpa objek itu, pelanggan setia dari kalangan orang Melayu dan Cina memenuhi meja usang yang disediakan oleh tuan punya kedai. Sayangnya, saya tidak melihat pelanggan Melayu dan Cina duduk berbual di meja yang sama. Realitinya, Melayu sesama Melayu, Cina sesama Cina. Setelah berpuluh-puluh tahun bersama, kita masih tercari-cari di mana silapnya. Setelah berpuluh-puluh tahun bersama, masih ada Orang Cina yang tidak fasih berbahasa Melayu. Setelah berpuluh-puluh tahun bersama, Orang Melayu masih juga tidak tahu sepatah pun perkataan Cina. Susahnya mengakrabkan integrasi etnik di bumi pingitan ini!     
 
 
Bandar Jerantut lama, Bandar Jerantut baharu - Bandar Inderapura. Yang sangat-sangat membezakan antara Jerantut yang sekarang dengan yang dahulu ialah dengan terbangunnya bandar baharu, Bandar Inderapura. Bandar baharu , Bandar Inderapura dibangunkan bersebelahan dengan bandar Jerantut lama. Kawan saya secara berjenaka berkata, Bandar Inderapura bandar yang agak ‘happening’ ( mengikut kayu ukur yang sesuai pada sebuah bandar yang jauh di pedalaman).
 
Bandar ini hidup dengan tertib. Tidak sunyi. Premis perniagaan khususnya warung-warung makanan meriah dengan pengunjung hingga ke malam.     
 
 
Bandar Inderapura  sebuah bandar baru yang mengandungi beberapa buah hotel, perhentian bas dan teksi, kedai-kedai tekstail, deretan kedai makan, kedai peralatan komunikasi, mini market dan supermarket dan kawasan perumahan samada yang telah atau sedang dibangunkan. Seperti di Ibu Kota, di sini juga ada sebuah restoran mamak yang beroperasi 24 jam. 

 
 
Semasa di zaman anak-anak saya sangat terpengaruh dengan unsur ‘keMelayuan’; membaca buku cerita purba, mengagumi istilah-istilah Melayu klasik/purba seperti Inderapura, Merung Mahawangsa, Kelana, Panglima Hitam, Hang Tuah Lima Bersaudara dan lain-lain lagi. Sehubungan ini, ada kemungkinan pemilihan nama Inderapura ada kaitannya dengan usaha hendak memperkasakan semula jati diri ‘keMelayuan’. Untuk pengetahuan pembaca, ada satu tempat di Daerah Jerantut yang namanya cukup klasik , iaitu ‘Damak’.

Kata orang tidak sah ke Jerantut jika tidak mencuba masakan tradisional Orang Jerantut iaitu masakan Lauk Asam Rom. Alhamdulillah, pada hari ketiga saya dapat mencari satu-satunya warung di bandar Jerantut lama yang ada menyediakan masakan ini. Kuah masakan Lauk Asam Rom rasanya sedikit masam dan sangat pedas. Diantara rencah masakan ini ialah biji buah getah yang telah dikisar, asam jawa, pucuk paku, terung pipit, daun kesum dan ikan sungai ( biasanya Ikan kenerah, sejenis ikan dari keluarga ikan baung).

Ketika catatan ini ditulis saya masih lagi berada di Jerantut. Ada satu lagi info menarik mengenai Jerantut yang tidak ramai orang mengetahuinya. Jerantut ialah hab pengumpulan durian untuk dipasarkan dalam bentuk sejuk buku ke luar negara, khususnya Republik Cina. Dikatakan satu agensi kerajaan dipertanggungjawabkan membeli buah-buah durian penduduk Jerantut untuk pasaran tempatan dan juga luar negara.  

2 ulasan:

  1. Ujang Kutik,

    Liputan yang amat menarik mengenai bandar Jerantut.

    Ketika makan tengahari di bandar ini seisi keluarga beberapa bulan yang lepas saya bertanye dulu harga lauk gulai tempoyak ikan patin. Saya fobia terbaca berita ada jenis ikan sungai yang mencecah beratus ringgit. Saya mengukur duit di poket dulu ...ahahaha..sebagai langkah berjaga jaga.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Sdr theolrascal,

      Saya pencinta alam.Bagaimanapun, masih belum berpeluang mengakrab diri dengan alam seperti yg saudara dan keluarga lakukan.

      Harga lauk asam rom dengan ikan kenahak boleh tahan juga harganya.Bagaimanapun, hendak mencuba saya kuatkan hati.

      Padam

" "Kalau hendak tahu dalamnya lubuk, TANYALAH pada memerang"."