Sabtu, 16 Februari 2013

menaiki LRT : gayat


Walaupun pada awalnya penggunaan pengangkutan ‘train’ Sistem Aliran Transit Ringan (LRT) kurang mendapat sambutan kerana tambangnya lebih mahal sedikit dari tambang bas biasa, kini sistem pengangkutan tersebut menjadi pilihan utama di kalangan warga kota. 

Dan, sungguh pun LRT masih tidak mampu mengatasi masalah pengangkutan warga kota sepenuhnya, perjalanan ke mana-mana destinasi laluan di kota kosmopolitan Kuala Lumpur dan kawasan sekitar menjadi jauh lebih cepat kerana tidak terlibat dengan kesesakkan lalu lintas.

Kerana kurang berurusan di tengah perut kota Kuala Lumpur yang sentiasa sibuk, saya jarang menggunakan pengangkutan itu. Saya juga tidak ingat bilakah kali terakhir menggunakan pengangkutan LRT. Ketika itu penumpang masih perlu membeli kad perjalanan di kaunter. Kad tersebut akan diakses di pintu masuk ‘ tempat menunggu’. Selepas sampai ke destinasi perjalanan, kad itu diakses sekali lagi dan seterusnya ‘ ditelan’ mesin keluar di pintu keluar stesen LRT berikutnya.

Namun demikian, ketika menggunakan pengangkutan LRT ke dari Ampang ke Kuala Lumpur pada 15/2/13 kerana urusan yang agak penting, keadaannya berbeza. Penumpang berurusan 100 peratus dengan mesin. Maka, tertutuplah satu lagi peluang pekerjaan kepada anak-anak muda kita!

Ketika di Setesen LRT Ampang, saya melihat orang berbaris di 3 buah mesin berhampiran dengan kaunter tiket yang telah ‘tutup kedai’. Di dalam keadaan was-was dan tidak jelas, saya turut berbaris sama menunjuk pandai sambil ‘alert’ dengan sebarang kemungkinan atau kaedah yang perlu saya pelajari dengan cepat. Saya cepat memahami bahawa mesin-mesin itu adalah tempat membeli cip perjalanan.

Saya mendapati masih banyak (ramai?) warga kota yang masih belum boleh menyerap teknologi terbaharu yang digunakan oleh LRT. Saya melihat beberapa orang bertanya dengan orang terdekat mengenai kaedah menggunakannya. Saya terfikir alangkah baiknya pihak LRT menempatkan seorang kakitangan di situ untuk membantu pengghuna yang memerlukan bantuan.

Mungkin menyedari saya akan menghadapi masalah kerana asyik mengintai beliau, seorang yang budiman, awal 40-an, berbangsa India membantu saya menggunakan ‘mesin ajaib’ itu. Saya cuma memasukkan wang ke dalam mesin dan mengambil cip plastik perjalanan berwarna biru yang saiznya kecil sedikit dari syiling 50 sen. Terima kasih banyak-banyak.

Kaedahnya tidaklah susah bagi orang yang tahu – sentuh skrin, pilih (sentuh) menu perjalanan (contohnya, satu hala), pilih (sentuh) destinasi (tempat dituju), pilih (sentuh) nilai bayaran yang dikenakan, masukkan wang, ambil cip perjalanan dan baki wang (jika ada).

Namun demikian, masalah datang lagi ketika saya hendak melalui laluan berhalang ke tempat menunggu. Mengikut sitem terdahulu, pengguna akan memasukkan kad perjalanan ke dalam mesin untuk membuka halangan itu. Yang ini, ‘Tidak ada lubang’ untuk memasukkan cip perjalanan. Kebetulan pada masa itu tiada pengguna lain untuk saya bertanya.

Inilah malangnya nasib golongan marhaen. Walalupun ada seorang pekerja (‘cleaner’), seorang gadis, yang sedang membersihkan (lap) permukaan mesin laluan berhalang, saya pada mulannya tidak merasakan kewujudan beliau di situ. Saya masih terkial-kial ‘bodoh sombong’ dan tidak terfikir untuk bertanya.

Akhirnya saya meminta bantuan beliau juga. Mungkin berfikir bahawa masih ada lagi orang seperti saya yang tidak celik teknologi, beliau membantu saya sambil tersenyum. Mudah….imbas sahaja cip perjalanan di tempat yang telah ditandakan. Terima kasih, Ning ( dia becakap loghat Indonesia).

Kita selalu dimomokkan dengan ungkapan-ungkapan orang sastera. Kononnya, “ kota hutan batu’ ini tidak ada lagi tersisa manusia insan yang budiman!”  Kebaikan dua orang manusia insan budiman yang membantu saya ( seorang daripadanya bukan Melayu dan seorang lagi pendatang luar) menunjukkan bahawa masih ada lagi orang yang baik-baik di sini.

Ketika sampai di Setesen LRT Pudu (kalau tidak silap saya), penumpang telah memenuhi koc. Ramai yang berdiri. Satu pasangan suami isteri Melayu dan anak perempuan mereka di usia 2-3 tahun, menaiki ‘train’ dan berdiri selang dua orang penumpang dari tempat saya duduk. Walaupun telah berusia, naluri ‘rasa muda’ saya tidak pernah merasa tua. Saya merasa bersalah kerana membiarkan suami muda itu mendukung anaknya sambil berdiri di dalam tren yang penuh sesak.

Ini rezeki saya dan pasangan itu. Secara tiba-tiba seorang gadis Tionghwa yang duduk di sebelah kiri saya, yang sebelum ini asyik melayan telefon pintar beliau sepanjang perjalanan dari Ampang berdiri dan mempersilakan isteri pasangan Melayu itu duduk. Si isteri mengucapkan terima kasih dan memangku anak perempuannya.  Wau…..!!!

Saya sampai ke destinasi di tengah kota Kuala Lumpur dalam masa lebih kurang 30 minit perjalanan. Ketika melalui laluan berhalang keluar di Setesen LRT Bandaraaya, saya memasukkan cip perjalanan (bila keluar cip perjalanan tidak diimbas) ke dalam satu lagi mesin ajaib LRT dengan penuh yakin.

Sesungguhnya, ketika hendak balik semula ke Ampang, saya tidak perlu lagi mengintai-ngintai pengguna yang di hadapan. Saya telah boleh membantu pengguna yang lain!


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

" "Kalau hendak tahu dalamnya lubuk, TANYALAH pada memerang"."