Khamis, 7 Mac 2013

naome di hospital orang kaya




Kaunter Hospital
Sakit telinga Naome tidak juga sembuh setelah mendapat rawatan di klinik veterinar berhampiran rumah saya. Kasihan dengan Naome yang menderita penyakit ‘ENT’ (Ear Nose Throat), saya dan isteri menggagahkan diri untuk mendapatkan rawatan Naome di hospital haiwan yang terletak di pusat bandar Kuala Lumpur. Sungguh pun nama Naome agak glamour, ‘beliau’ sebenarnya adalah 



kucing biasa yang sangat naïf berbanding dengan kucing-kucing lain yang mendapat rawatan di hospital haiwan swasta ternama ini.


Naome, Kucing Biasa Nama Glamour
Kami sampai di bangunan hospital haiwan lima tingkat itu jam 12.00 tengah hari. Ketika kami sampai cuma ada tiga orang tuan punya haiwan di ruang pendaftaran. Seorang pemuda China dengan anjingnya dan dua orang lagi ialah pasangan warga emas Melayu yang hendak mengambil kucing mereka setelah dimasukkan ke dalam  ward hospital itu selama enam hari.


Kami sempat berbual dengan pencinta-pencinta haiwan itu. Kucing pasangan warga emas Melayu itu dihantar ke situ kerana masalah tidak hendak makan. Sementara itu, anjing kepunyaan anak muda China itu pula mengalami masalah ceret beret. Melalui keterampilan mereka, saya mengagak bahawa status ekonomi pasangan Melayu dan pemuda China itu umpama langit dengan bumi dengan saya.


Info Yang Biasa Dilihat Di Hospital/Klinik Veterinar
Isteri saya sempat bertanya kos rawatan kucing pasangan Melayu itu tatkala mereka hendak meninggalkan hospital. RM1,600.00 ( Ringgit Malaysia: Satu Ribu Enam Ratus Sahaja)! Pemuda China itu memberitahu kami bahawa anjingnya juga terpaksa ditahan di ward hospital.


Orang Melayu biasanya terlalu ‘allergic’ dengan anjing. Namun, saya melihat staf Melayu ( saya agak mereka orang Melayu/Islam kerana mereka memakai tudung) di hospital itu tidaklah terlalu ‘takut’ atau ‘geli’ dengan haiwan najis mughallazah itu. Saya dapat melihat mereka turut terlibat dalam urusan merawat anjing dan membawa anjing dengan menarik tali di sekitar kawasan hospital. Ketika itu saya teringat mengenai seorang keturunan Arab Muslim di Janda Baik, Pahang yang memelihara berpuluh-puluh ekor anjing. Dia mendakwa bahawa ada mazhab yang membolehkan seseorang memegang anjing. Wallahua’lam.


Kami bernasib baik kerana Naome tidak perlu bermalam di hospital. Telinga Naome ‘diservis’ oleh doktor veterinar muda keturunan India dan diberi dua suntikan. Selain itu Naome juga dibekalkan dengan ubat-ubatan untuk tempoh satu minggu. Kos rawatan dan ubatan yang dikenakan ialah RM160.00.  Saya telah menjangka anggaran kos rawatan ini.


Sehubungan ini, ada satu kisah tragis berlaku di kampung saya pada tahun 70-an. Kisah ini mengenai seorang tua malang-miskin yang mendapat info salah mengenai bayaran di hospital kerajaan.  Dia yang menerima rawatan di wad hospital kerajaan telah melarikan diri dari hospital pada waktu malam kerana ditakut-takutkan akan dikenakan bayaran. Ditakdirkan, orang tua miskin- malang itu telah jatuh dari tembok pagar hospital dan meninggal dunia di situ! 

Walaupun kos yang perlu saya bayar jauh lebih rendah berbanding dengan yang terpaksa ditanggung oleh kenalan baru kami pasangan Melayu ‘high class’ tadi, kami perlu mengurangkan lain-lain perbelanjaan kurang relevan untuk mengelakkan ‘defisit’ pada bajet bulan ini. He..he..


Semoga Naome akan pulih seperti biasa. Semoga.

4 ulasan:

  1. ujang kutik,

    kucing2 di rumah saya kami hantar ' menginap' di hotel dan berspa semasa ketiadaan kami di rumah melebihi dua hari..haha..

    tapi caj nye tak sampai lah RM160 sapertimana rawatan dan ubatan Naome sdr.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Sdr theolrascal,

      Kerana berpengalaman dan akrab dengan kucing, saya ada mencadangkan hendak buat business 'perkucingan' (termasuk homestay kucing) apabila bersara nanti...

      Padam
    2. KAMI ADA BERPULUH EKOR KUCING TAK SANGGUP NAK BELA , NAK BUANG KESIAN , KAMI TEMPAKAN DALAM SATU BILIK ,
      ADA SESIAPA YG MAHU ATAU TOLONG MENGATASI MASAALAH KAMI

      Padam
    3. Sdr/i Tanpa Nama,

      Saya pun ada banyak kucing. Salah satu cara mengurangkan warga kucing ialah memandulkan. Ada sebuah klinik SPCS-DBKL di Setapak yang menawarkan rawatan pemandulan kucing/anjing.

      Kos kucing jantan RM60.00. Betina RM80.00.

      Benar, tidak sampai hati hendak membuang kucing/anak kucing.

      Padam

" "Kalau hendak tahu dalamnya lubuk, TANYALAH pada memerang"."