Ahad, 23 Jun 2013

BATU KIKER JEMBATAN BOSI (BATU KIKIR JAMBATAN BESI)

JAMBATAN BATU KIKIR (BATU KIKIR JAMBATAN BESI)
Di Pekan Batu Kikir, Jempol, Negeri Sembilan ada sebuah jambatan konkrit yang merentangi Sungai Jempol. Dikatakan bahawa jambatan konkrit itu asalnya adalah sebuah jambatan besi. Dari jambatan besi itulah ungkapan ' Batu Kiker ( konotasi 'R' dalam dialek Negeri Sembilan tidak terlalu jelas sebutannya) Jembatan Bosi (Batu Kikir Jambatan Besi) wujud. 

Saya di Batu Kikir baru-baru ini dan berkesempatan melihat jambatan baharu (tidaklah terlalu baharu) yang menggantikan jambatan besi itu. Secara fizikalnya, jambatan di Pekan Batu Kikir itu tidak ada kehebatan yang menonjol kerana Sungai Jempol yang direntangi adalah sebuah sungai kecil, airnya keroh dan cetek. Andainya Sungai Jempol itu luas, dalam dan banyak perahu menggunakannya, gahnya mungkin lebih terasa dan tidaklah menghairankan apabila ' Batu Kiker Jembatan Bosi ' menjadi sebutan di seluruh negara/nusantara.

SUNGAI JEMPOL (Lokasi ini lebih kurang 50 meter dari Jambatan Batu Kikir)
Tuah ayam nampak di kaki, tuah jambatan siapa yang tahu. Di sebalik kekurangan itu dan sekalipun jambatan  'Batu Kiker Jembatan Bosi' tidak lagi wujud, namanya masih disebut-sebut dan dinyanyi-nyanyikan hingga hari ini. Setahu saya sekurang-kurangnya ada dua buah lagu rakyat Negeri Sembilan yang 'menyebut-nyebut dan menyanyi-nyanyi' lirik ' Batu Kiker Jembatan Bosi ' - Lagu Anak Bocek dan Apo Kono Eh Jang.

Di Nusantara ini  kehebatan sebuah jambatan bernama 'Batu Kiker Jembatan Bosi' setaraf  dengan Jambatan Tamparuli yang dimegahkan melalui lagu rakyat Sabah, 'Jambatan Tamparuli' dan Sungai Bengawan Solo yang diterjemahkan oleh Gesang melalui lagu 'ever green' beliau ' Bengawan Solo'. 

Dengan ini, saya berpendapat tidak ada ruginya pihak berkuasa Negeri Sembilan membina papan tanda yang mencatatkan sejarah dan transformasi sebuah jambatan bertuah 'Batu Kiker Jembatan Bosi' berhampiran dengan jambatan baharu yang ada sekarang. Lagi pun lokasi jambatan itu tidak jauh dari Teratak Pendeta Zaaba di Kg. Bukit Kerdas dan beberapa buah homestay yang menjadi tumpuan pengunjung ke Daerah Jempol.

   

2 ulasan:

  1. Ye la... IM setuju sesangat supaya Jamabatan Bosi tu di letakkan dalam senarai sejarah N9.

    BalasPadam

" "Kalau hendak tahu dalamnya lubuk, TANYALAH pada memerang"."