Ahad, 30 Jun 2013

FINAL PIALA FA 2013 : gelagat pengunjung di sebuah restoran

Ketika ini, 30 June 2013, penyokong pasukan Kelantan dan seluruh rakyat Kelantan masih ' berdikir barat' meraikan kejayaan pasukan mereka menjadi Juara Piala FA 2013 setelah mengalahkan pasukan 'seribu bintang', Johor Darul Takzim (JDT). Teruskanlah bergembira. Tahniah.

Penyokong pasukan JDT dan khususnya penyokong Kelantan TRW 'sanggup mati' dalam memberikan sokongan kepada pasukan masing-masing.

Saya juga menganggap bahawa rakyat di seantero negara ini akan memberikan tumpuan kepada perlawanan tersebut semalam (29/6/13). Peminat bolasepak akan bertumpu ke restoran-restoran mamak seperti yang mereka lakukan ketika perlawanan Liga Inggeris. Itulah jangkaan saya.

Saya tidak mengetahui situasi sebenar di lokasi lain. Bagaimanapun, pengalaman menonton perlawanan itu di layar TV dalam sebuah restoran sekitar Taman Permata/Taman Melawati, Ulu Klang, Selangor kerana menemankan isteri dan anak perempuan 'shopping' (jelas masanya tidak sesuai bagi peminat bolasepak) pada masa yang sewaktu dengan perlawanan akhir tersebut memberikan saya satu kuliah kehidupan bahawa masih ramai warga negara ini termasuk yang muda remaja tidak kisah langsung dengan 'perkara besar yang berlaku' di sekeliling mereka.

Pada masa penyokong tegar 'sanggup mati' demi kegilaan kepada pasukan masing-masing, segolongan anak muda pula tidak 'ambil pot' langsung. Saya melihat ramai anak-anak muda berborak sesama mereka di meja-meja yang diletakkan di luar restoran tanpa menghiraukan debaran perlawanan akhir Piala FA 2013. 

Keadaan di dalam restoran juga 'membimbangkan'. Tiga orang anak muda etnik Cina di sebelah meja saya yang asyik berborak sesama sendiri dalam Bahasa Inggeris juga tidak menjeling langsung ke skrin TV. Kecuali beberapa orang termasuk seorang penyokong Kelantan yang memakai T-Shirt TRW, kebanyakkan pengunjung restoran tidak memberi perhatian kepada perlawanan akhir itu. Dengan keadaan sedemikian, seperti ada sesuatu yang tidak kena.atau pelik berlaku apabila penyokong Kelantan yang memakai T-Shirt TRW itu sekali sekala menjerit kesukaan.  

Ketika dalam perjalanan ke Bahau, N.Sembilan baru-baru ini saya dan rakan-rakan singgah minum di sebuah kedai makan di Tanjung Ipoh, Kuala Pilah. Kami terganggu oleh perbualan secara kuat dan ketawa berdekah-dekah oleh sebilangan pelanggan selang satu meja dari meja kami. Kami terperasan bahawa di antara pelanggan tersebut adalah seorang bisu. Dia terlalu gembira dan ketawa berpanjangan secara kuat (orang bisu faham percakapan orang lain? dan ketawa). Saya menasihatkan kawan saya yang kurang senang dengan keadaan itu terutamanya gelagat orang istimewa (bisu), " Semua orang ada hak untuk bergembira."

Ketika dalam perjalanan ke pasar bersama isteri awal pagi tadi, saya melihat beberapa buah kenderaan yang masih mengibarkan bendera berwarna merah hati, bendera Negeri Kelantan. Saya yang memakai ketayap sempat membuka tingkap kereta dan menunjukkan tanda kemenangan di jari. Mungkin mereka menganggap saya juga orang mereka, yaani Orang Kelantan. Sebenarnya, dalam kehidupan seharian ramai juga orang menganggap bahawa saya adalah orang Kelantan.

Sehubungan ini, semua orang ada hak. Peminat bolasepak ada hak untuk merasa teruja dengan perlawanan bolasepak. Penyokong Kelantan ada hak untuk merasa bangga dan 'berdikir barat' sehingga embun menitik meraikan kemenangan pasukan kesayangan mereka. Dan, sebilangan yang lain juga ada hak untuk tidak ambil peduli terhadap sesuatu yang pada pengertian orang lain adalah sesuatu yang perlu diberi perhatian.

Bagaimanapun, di sebalik 'hak' itu saya masih tercari-cari satu teori yang munasabah mengenai sebilangan anak-anak muda yang kelihatan cergas, memakai jersi MU/Arsenal/Barca, berseluar jean, berkasut Adidas .........tidak memperdulikan satu 'perkara besar' yang gilang gemilang dan ada kaitan dengan usia, baju, seluar dan kasut mereka. Saya benar-benar 'confuse'!    



Tiada ulasan:

Catat Ulasan

" "Kalau hendak tahu dalamnya lubuk, TANYALAH pada memerang"."