Ahad, 28 Julai 2013

LEBAH & CERITANYA

Seumur hidup sebelum diberitahu oleh kawan yang sama dalam catatan kura-kura,(ujang kutik: BEZA ANTARA KURA-KURA JANTAN DENGAN KURA-KURA BETINA) saya menanggap kaedah membela lebah madu dari sudut yang salah.

Saya menganggap membela lebah madu boleh dilakukan semudah membeli anak-anak lebah daripada pembekal dan meletakkannya dalam kotak atau rumah lebah yang disediakan. Dengan semudah itu, saya bercadang membela lebah dalam rumah lebah (kotak kecil bertiang) di kampung dan mengambil madunya untuk kegunaan sendiri ketika sesekali balik ke kampung .

Namun, tidak semudah itu. Ianya memerlukan keberanian dan kemahiran. Ianya seumpama 'pergi perang' atau lagak 'membunuh diri' kepada sesiapa yang tidak biasa dengan dunia lebah. Bayangkan, kita terpaksa menceroboh ke dalam 'rumah lebah' (sarang lebah) untuk menangkap seekor Lebah Ratu ('QUEEN'). Ianya seperti jauh lebih susah berbanding dengan squad pembunuh Amerika dalam operasi membunuh Osama Ben Laden di Pakistan beberapa tahun dahulu.  Kalau tersilap langkah, boleh mati setelah menanggung derita bisa disengat lebah.

Usaha membela lebah madu bermula dari mendapatkan seekor Lebah Ratu dari sarang lebah. Ini bermaana, sesiapa yang berminat hendak membela lebah madu perlu mengenali yang mana satu Lebah Ratu dan yang mana satu lebah biasa (Lebah Jantan dan Lebah Pekerja) terlebih dahulu.

Apabila sarang lebah diasapkan, Lebah Ratu akan keluar dari koloni dan hinggap di 'pintu' sarang lebah buat seketika sebelum terbang meninggalkan sarang. Dalam masa yang singkat itulah, bakal pembela lebah madu perlu menangkap Lebah Ratu. Jika berjaya, Lebah Ratu itu akan diletakkan ke dalam kotak kecil (kotak mancis) dengan sedikit lubang pernafasan dan seterusnya ditempatkan ke dalam rumah lebah yang telah disediakan.

Lebah Ratu mempunyai aura yang sangat mengagumkan. Radar komuniti Lebah Jantan dan Lebah Pekerja akan mengesan lokasi baharu Lebah Ratu. Lebah-lebah tersebut kemudiaannya akan berhijrah ke 'rumah baharu' Lebah Ratu.Maka, ketika itu bermulalah proses membela lebah madu.

Struktur organisasi spesis lebah adalah terdiri dari Lebah Ratu (Queen), Lebah Jantan dan Lebah Pekerja (Lebah Betina yang tidak bertelur). Setiap jenis lebah ada tugas khusus masing-masing;

  • LEBAH RATU - Tugas Lebah Ratu (Queen) yang jangka hayatnya lebih kurang 3 tahun ialah bertelur. 
  • LEBAH PEKERJA - Lebah Pekerja ialah lebah betina yang tidak mengeluarkan telor. Lebah Pekerja mencari dan mengumpul debunga dan manisan untuk diproses menjadi madu untuk Lebah Ratu dan anak lebah. Tugas Lebah Pekerja juga merangkumi membersih sarang dan menjaga anak lebah.
  • LEBAH JANTAN - Satu-satunya tugas Lebah Jantan ialah mengawan dengan Lebah Ratu. Kewujudan Lebah jantan sangat menyayat hati. Lebah Jantan umpama lilin yang membakar diri sendiri kerana demi kelangsungan zuriat lebah yang akan datang, Lebah Jantan akan mati sebaik sahaja selesai mengawan dengan Lebah Ratu.  

   ULASAN :

  • Komuniti lebah 'mengajar' manusia etika kesetiaan kepada Ketua dan komitmen kepada tugas yang dipertanggungjawabkan.
  • Kehidupan Lebah Jantan agak unik kerana 'sanggup mati' demi legasi zuriat lebah yang akan datang.
      




Tiada ulasan:

Catat Ulasan

" "Kalau hendak tahu dalamnya lubuk, TANYALAH pada memerang"."