Ahad, 14 Julai 2013

SAUDARA SE ISLAM : CUBIT PAHA KANAN, PAHA KIRI TERASA JUGA

Gambar Hiasan -Gempa Bumi Di Indonesia(Dari Blog berandamadina.wordpress.com)

Dari dahulu, kini dan selamanya saya tidak suka kalimah ini;

"KITA beruntung, negara kita aman damai, tiada peperangan, tiada gempa bumi, tiada musim kemarau melampau, tiada banjir besar, cukup makan minum..... Lihat Orang Islam Iraq, Palestin, Afghanistan, Orang Islam Myanmar, Syria, Indonesia/Acheh, Bangladesh, Somalia.......mereka acapkali ditimpa musibah......tidak aman, peperangan, hidup susah, kelaparan......."

Kalimah itu sudah menjadi kalimah 'klise' atau kalimah wajib yang menjadi rencah ceramah di kalangan segolongan tokoh dan penceramah yang termasuk juga golongan ' Ustaz'.

Entah kenapa, saya sangat-sangat tidak suka dengan ungkapan itu. Saya merasakan ungkapan itu adalah ungkapan yang tidak bertanggung-jawab. 

Mereka yang dilanda musibah itu adalah saudara kita juga. Kalau pun hendak meluahkan rasa syukur dengan nikmat yang dianugerahkan oleh Allah kepada kita, janganlah hendaknya membandingkan dengan musibah yang dihadapi oleh saudara kita di negara-negara tersebut.

Saudara kita itu juga tidak meminta musibah. Mereka tidak dapat menghindar musibah.

Adakah kita merasakan bahawa kita lebih komited dalam menekuni hidup beragama sehingga menyebabkan kita tidak ditimpa musibah zahir? Kalau itulah jawapannya, "Kenapa negara Barat dan Eropah yang kebanyakkannya bukan negara Islam mempunyai banyak kelebihan berbanding dengan kita - negara yang cantik, rakyatnya kaya raya, rupa paras penduduknya yang kacak/jelita,.....?"

Sesama Islam adalah bersaudara. Sesama saudara seIslam adalah umpama, "Cubit paha kanan, paha kiri teras juga." Sesama seIslam juga adalah umpama 'Aur dengan tebing' dan bukannya 'Enau di dalam belukar'.

Andainya kita tidak mampu membantu dengan material, bantulah mereka dengan apa sahaja setakat termampu. Bantulah mereka dengan doa, emosi dan sebagainya. Jangan sakiti mereka dengan kata-kata yang celupar. 

Bagaimanakah perasaan kita apabila disuakan dengan ungkapan-ungkapan ini oleh jiran sebelah rumah, " Saya bernasib baik kerana kaya raya berbanding dengan kamu yang papa kedana. Saya bernasib kerana anak-anak saya semuanya berjawatan tinggi sedangkan anak-anak kamu semuanya buruh kasar dan kerani cabuk sahaja."

Ini pandangan peribadi saya. Saya tidak memaksa anda menyetujuinya.  

2 ulasan:

  1. jangan kita lupa bahawa kesenangan atau tidak pernah ditimpa kesusahan itu juga adalah ujian dari Tuhan!

    BalasPadam
  2. Sdr IM,

    Benar, kesenangan itu juga adalah ujian.Kita wajib bersyukur.

    BalasPadam

" "Kalau hendak tahu dalamnya lubuk, TANYALAH pada memerang"."