Isnin, 19 Ogos 2013

JUMAAH TABLIGH : TANGGAPAN

Beberapa hari yang lalu gegendang telinga saya digegarkan oleh kata marah-marah oleh seorang kenalan yang tidak menyenangi kumpulan Jumaah Tabligh - tidak berilmu, pakaian kotor dan berbau, sanggup meninggalkan anak isteri kerana kononnya hendak berdakwah, mengajak orang buat baik tetapi tidak berani mencegah kemungkaran, mengabaikan politik dan sebagainya.

Walaupun dituduh dan ditohmah dan tidak berdaya menepis, kumpulan Jumaah Tabligh masih berdiri gagah hingga ke hari ini. Dirasakan kumpulan itu akan terus berada di persada perdana dakwah dalam tempoh waktu yang lama lagi.

Sebaliknya, ada beberapa NGO dakwah yang satu ketika dahulu sangat aktif kini menyepi dan menjauhkan diri dari masyarakat umum. Entah di mana silapnya, NGO-NGO tersebut tidak lagi segagah dahulu. 

Dakwaan, tohmahan dan melekehkan kumpulan itu datangnya dari segala penjuru - ustaz, kaki dangdut, kaki karaoke, pegawai kanan, peon, orang dewasa, budak berhingus,.........

Bukanlah sesuatu yang menghairankan apabila seorang kaki karaoke otai yang sepanjang hidupnya cuma menghafal lagu akan turut serta mengeroyok kumpulan Jumaah Tabligh apabila ditanya pendapatnya mengenai kumpulan itu;
  • Baru sehari masuk Jumaah Tabligh sudah berani mengajak orang ke masjid. Baru menjadi ahli Jumaah Tabligh sudah pakai jubah, berserban dan berjanggut. 

Jawapannya:

Salahkah mengajak sesiapa sahaja termasuk mereka yang istiqamah solat berjumaah 5 waktu solat di masjid datang ke masjid? Salahkah memakai jubah, berserban dan berjanggut?

  •  Jumaah Tabligh juga dibebankan dengan tohmahan yang kononnya cuma mengajak berbuat baik sahaja tetapi mengabaikan mencegah kemungkaran.
Jawapannya:

Kalau begitu kenapa tidak dibahagi tugas itu;

- Jumaah Tabligh mengajak kepada kebaikan,

- Kumpulan/individu yang mempersoalkan kononnya Jumaah Tabligh tidak melaksanakan tugas mencegah kemungkaran mengambil tanggungjawab itu. Ada berani?

Saya mendapat ' feed back' daripada seorang professional yang baharu mula berjinak-jinak dengan kumpulan Jumaah Tabligh. Kata beliau, " Semasa keluar berdakwah 3 hari bersama kumpulan Jumaah Tabligh dan kurang ilmu agama, dia sekurang-kurangnya memperolehi beberapa perkara untuk kebaikan dirinya sendiri;

- Mengucapkan perkataan yang baik-baik (Alhamdulillah, Masya Allah, Subhanallah dan sebagainya)  sepanjang tempoh keluar berdakwah,
- Solat lima waktu berjumaah di masjid/surau,
- Tidak mengucapkan perkataan-perkataan yang lagha,
- Beriktikaf di masjid,
- Di sebalik kekurangan ilmu agama dapat juga mengajak penduduk setempat mengimarahkan masjid.

Sekalipun seseorang itu bergantung hatinya di masjid, dia tidak akan angkuh dengan memperlekehkan seorang lain termasuk dari kumpulan Jumaah Tabligh yang mengajaknya mengimarahkan masjid. Apatah lagi seorang yang 'agak jauh dari masjid', dia langsung tidak ada hak mempertikaikan Jumaah Tabligh hingusan mengajak manusia ke jalan yang baik. Kalau dilakukannya juga, jelas dia menganiaya dirinya sendiri.

Segala dakwaan, tuduhan dan ungkapan melekehkan kumpulan Jumaah Tabligh adalah kata-kata klise yang telah bermain di bibir segolongan umat Islam di negara ini sejak dahulu lagi. Bagaimanapun, setahu saya tidak ada lagi badan agama yang ada 'authority' melarang umat Islam di negara ini mendekati kumpulan itu.

Terpulanglah kepada kita samada turut sama mengeroyok kumpulan itu, memberikan sokongan atau sekurang-kurang mengambil sikap baik sangka.

Secara umumnya, seorang pencuri ( Melayu Islam kerana tiada lagi kes pencuri bukan Islam mencuri kasut di masjid) tiada keberanian mencuri kasut jumaah masjid. Apatah lagi kita yang bukan pencuri, ' ada beranikah ' menghalang atau mengejek seseorang yang memperuntukan sebahagian kehidupannya untuk mengajak saudara seagamanya datang ke masjid?

Wallahua'lam.


6 ulasan:

  1. kalau seseorang itu pecinta agama tentu dia bukan saja menghormati malah membantu rakan-rakan lain ke arah menegakkan agama.

    tapi kalau sesorang itu bersikap nafsi nafsi, agama baginya adalah pengacau...

    BalasPadam
    Balasan
    1. Sdr IM,

      Ambillah yang baik kerana kita pun mungkin bukan lebih baik dari mereka.

      Padam
  2. Sememangnya terdapat kebenaran dalam tohmahan itu antaranya dari segi kebersihan. Makanya jumaah tabligh perlu mendidik ahlinya dalam bab yg ditohmah. Apabila setiap tohmahan itu dapat diperbaiki secara otomatis kumpulan ini diangkat mertabatnya dan dakwah jadi lebih mudah. Wallahua'lam. My two cents opinion.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Sdr Tanpa Nama,

      Mungkin ada segelintir yang mengabaikan kebersihan. Di kalangan bukan Tabligh juga ada yang sedemikian.

      Saya tidak pula pernah mengalami tidak selesa kerana bau busuk Jumaah Tabligh ketika berada di tengah kelompok mereka di Masjid Seri Petaling.

      Jika ada masa saya cadangkan saudara menjenguk kumpulan itu di Seri Petaling. Masjid mereka bersih. Bilik air juga jauh lebih bersih dari kebanyakkan bilik air di masjid kita.

      Padam
  3. Salam..saya mempunyai adik lelaki yanghilang halatuju..saya teringin masukkan dia ke jemaah tabligh...bagaimana caranya? saya tak mahu dia terus sesat...

    BalasPadam
    Balasan
    1. Sdr hambamu79,

      Waalaikomsalam.

      Saya sendiri bukan anggota Jumaah Tabligh(JT). Bagaimanapun, sekali sekali saya pernah juga ke Masjid JT di Seri Petaling dan bermalam.

      Selain dari JT, masalah adek saudara juga mungkin boleh diatasi dengan mendapat khidmat nasihat dan pandangan ustaz biasa, tuan guru pondok dsb.

      Jika saudara ingin mencuba melalui kaedah JT, saudara dicadangkan menghubungi kepimpinan JT di Seri Petaling. Markas JT di situ dibuka 24 jam.

      Semoga saudara berjaya.

      Padam

" "Kalau hendak tahu dalamnya lubuk, TANYALAH pada memerang"."