Isnin, 5 Ogos 2013

SEKONDAKHATI : DIALEK RAO, DIALEK NEGERI SEMBILAN



LAGU RAO SEKONDAKHATI
Video Clips by Wendy Hutahaean

Ada sentuhan yang mengusik emosi saya apabila mendengar lagu yang dikatakan lagu dialek Rao ini. Usikan itu bukannya berkaitan dengan melodi lagu tetapi dialeknya.

Kecuali sebutan yang melibatkan huru 'A' pada suku kata akhir 'AN' yang sebutan Raonya 'EN', kebanyakkan sebutan dan intonasi melalui lirik lagu itu sangat 'hampir' dengan dialek Negeri Sembilan.

Adakah senario ini menyingkap suatu 'mitos' selama ini bahawa kononnya dialek Negeri Sembilan cuma lebih hampir dengan dialek Minang (Padang) berbanding dengan lain-lain dialek yang 'beribukan' lidah Minangkabau?

Andainya lagu itu adalah bersendikan dialek Rao sebenar, saya, Orang Negeri Sembilan, tanpa ragu-ragu lagi berpendapat bahawa dialek Negeri Sembilan lebih hampir sebutan dan inotasinya dengan dialek Rao berbanding dialek Minang (Padang).

Bagaimanapun, saya bukanlah seorang yang ada ' autority ' dalam kajian perbandingan dialek Minangkabau dan sub-dialeknya. Sedemikian, ' penemuan ini ' oleh seorang yang bukan ahli (seperti saya) bolehlah diumpamakan bagai cerita orang buta yang cuba mengenali bentuk badan gajah.

Sehubungan ini, saya sendiri tidak mengetahui maksud ' SEKONDAKHATI' kerana setahu saya tiada perkataan sedemikian dalam dialek Negeri Sembilan. Adakah ' Sekehendak Hati'? 
 
Pembaca catatan ini dari kalangan Orang Negeri Sembilan dan juga Rao (terutamanya Rao Gopeng, Perak) mungkin ada pandangan kedua mengenai catatan ini.

Wallahua'lam.



Nota: Kebanyakkan Orang Negeri Sembilan kurang mengetahui latar belakang dan budaya sub-etnik Minang yang lain termasuk Suku Rao. Malah bukanlah sesuatu yang mengairankan apabila Orang Negeri Sembilan terpinga-pinga apabila diajukan soalan mengenai Suku Rao dan mungkin akan bertanya, " Rao tu apo?"







Tiada ulasan:

Catat Ulasan

" "Kalau hendak tahu dalamnya lubuk, TANYALAH pada memerang"."