Jumaat, 11 Oktober 2013

PENJUAL UBAT

Selain dari pegawai dan kakitangan agensi tempat saya bertugas, ada seorang 'orang luar' yang turut datang ' bertugas' pada setiap hari bekerja. Pada hari Khamis dia seperti pegawai yang lain akan memakai baju batik.

Dia adalah bekas pegawai di agensi tempat saya bertugas. Dia telah bersara lebih kurang sepuluh tahun yang lalu. Ini bermaana, dia yang berasal dari negeri paling utara, Perlis, berusia di lingkungan 65 tahun.

Sekalipun di usia 65 tahun, dia tidak kelihatan seperti kebanyakkan orang di usia itu. Dia kelihatan jauh lebih muda dari usia sebenarnya. Dia sehat dan tidak ada penyakit kronik, sentiasa berpakaian kemas, tenang, peramah, merendah diri, ceria.....Dia disenangi oleh sesiapa sahaja yang mengenalinya dan pernah berkomunikasi dengannya.

Dia adalah penjual ubat tradisional . Ubat-ubat yang dipesan oleh pelanggan tetapnya dan juga lain-lain ubat yang hendak dijual dimuatkan dalam beg sandang yang tidak pernah berpisah dengannya.

Dia berniaga ala koboi - ambil ubat dahulu dan bayar kemudian. Kalau tidak bayar pun dia tidak akan menghambat. Dia pernah memberitahu saya bahawa apalah yang hendak dihairankan kerana sedangkan Kamal (India Muslim) yang menjual kitab agama di merata pejabat pun ada yang tidak bayar hutang, inikan pula penjual ubat sepertinya.
 
Saya pernah bertanya mengenai amalan seharian dan kaedah pemakanan yang membuatkan dia sentiasa bertenaga. Dia berlawak, " Penjual ubat tentulah sehat. Kalau jalan pun menggunakan tongkat siapa yang hendak beli ubat kita."

Dia banyak 'beriadah' secara berjalan kaki. Dia menggunakan perkhidmatan awam ketika datang ke ' mantan pejabatnya' @ pejabat kami. Dia juga mengamalkan makan buah tamar pada setiap hari. Dia tidak minum teh tarik atau nescafe ketika sama-sama lepak dengan kakitangan lain di warung-warung belakang pejabat pada waktu petang selepas waktu pejabat. Dia sangat menjaga dan teliti dalam memilih makanan. " Itulah rahsianya," dia memberitahu.

Tiada sesiapa pun di kalangan kami mengesyakki dia menghadapi masalah kewangan sehingga terpaksa menjual ubat. Dia adalah mantan pengarah di salah sebuah jabatan di bawah agensi tempat saya bertugas. Semua anak-anaknya ' menjadi orang '.Dia boleh hidup selesa tanpa menjaja ubat.

' Beliaulah' penjual ubat yang kasihnya kepada tempat dia membina kerjaya dan kehidupan suatu ketika dahulu tidak pernah padam. Benar, dia insan unik!

 



2 ulasan:

  1. Memang benar dia unik. Dan sewajarnya kita harus mencontohi sikap positif itu. Orang yg begini selalunya berhati lunak.

    BalasPadam
  2. Sdr Tanpa Nama,

    Insan seperti beliau wujud di kalaangan kita. Ada unsur yang kita boleh pelajari.

    BalasPadam

" "Kalau hendak tahu dalamnya lubuk, TANYALAH pada memerang"."