Sabtu, 29 Mac 2014

IPOH : MEE REBUS RAMLI DAN SEBUAH MASJID

Beberapa bulan yang lalu ketika dalam perjalanan dari Kuala Lumpur - Pulau Pinang bersama keluarga saya berjanji akan membawa mereka ke Restoran Mee Rebus Ramli yang terletak di pinggir Bandaraya Ipoh. Saya pernah beberapa kali menikmati mee rebus yang terkenal di sebelah utara tanah air itu ketika bertugas luar pejabat di Ipoh, Perak.

Saya sangat yakin boleh mencari Restoran Mee Rebus Ramli. Malangnya saya gagal membawa keluarga ke restoran itu kerana tersesat jalan atau yang setepatnya ' hilang arah '. Sebaliknya, kami menemui plaza tol menghala ke terowong untuk laluan lebuhraya ke arah utara yang tiada peluang untuk berpatah balik ke Ipoh semula.  

Sehubungan ini, ketika melalui jalan lama Kuala Kangsar - Ipoh dalam perjalanan balik ke Ibu Kota pada hari Jumaat (28/3/13) lepas, secara kebetulan saya ternampak restoran mee rebus itu di tepi jalan besar beberapa kilometer sebelum sampai ke Bandaraya Ipoh. 

Bagai orang mengantuk disorongkan bantal, saya singgah menikmati Mee Rebus Ramli.  Insya Allah, selepas ini saya yakin seyakin-yakinnya boleh membawa keluarga ke situ bila ada kesempatan. Melalu maklumat yang disampaikan, Restoran Mee Rebus Ramli ada tiga buah cawangan di sekitar Ipoh.

Masjid Muhammadiah
Usai urusan di Restoran Mee Rebus Ramli, saya singgah solat Asar di Masjid Muhamadiah yang letaknya agak tersorok dari jalan besar tetapi tidak jauh dari situ. Masjid Muhammadiah terletak di dalam kawasan perumahan orang Tionghwa. 

Agaknya, inilah sebabnya reka bentuk Masjid Muhammadiah sangat berkait dengan etnik kaum itu. Tersangat kagum saya akan toleransi antara etnik di kawasan ini!

Setelah usai solat saya berkesempatan berbual dengan seorang jumaah, 50-an, di kalangan penduduk tempatan. Saya menyatakan bahawa selain Masjid Muhammadiah, ada sebuah masjid lagi dibina dengan reka bentuk Cina di Rantau Panjang, Kelantan.

Dia mendakwa bahawa kononnya pembinaan Masjid Muhamaddiah adalah dengan tujuan 'tidak mahu kalah' dengan pihak yang bertanggungjawab membina masjid di Rantau Panjang, Kelantan itu. Saya tahu tujuannya kerana ' riak ikan di air sudah diketahui jantan betinanya. Politik oh politik.......     


Islam Untuk Semua
Sarat Dengan Seni Reka Bentuk Cina Dengan Dominasi Warna Merah
Masjid Muhammadiah Dari Satu Sudut
Dari Sisi Hadapan

Kolah Mengambil Wuduk
Kawasan Perumahan Berhampiran Masjid (Berkongsi Jalan)
  

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

" "Kalau hendak tahu dalamnya lubuk, TANYALAH pada memerang"."