Jumaat, 11 April 2014

JEBE

Setelah beberapa ketika menahan sabar kerana tercabar, putera sulung saya yang menikah pada penghujung bulan Oktober, 2013, bersuara. 

Manakan tidak, sepupunya yang berkahwin lewat sebulan telah ‘ ada ‘. Begitu juga kawan-kawannya yang berkahwin pada tarikh hampir sama juga sudah ‘ada’. 

Teruja dan gelojohnya dia bukan kepalang. Insan pertama yang diberitahu di sebelah keluarga kami ialah ibunya, isteri saya. Dia menelefon ibunya dan menyatakan dengan bangga, “ Insya Allah, ibu akan jadi nenek. “ 

Walaupun saya turut teruja, saya menahan diri tidak menelefonnya. 

Tidak berapa lama selepas itu saya menerima WhatsAp dari adik bongsunya yang menuntut di kolej. Dia telah pergi begitu jauh. Dia telah menghantar WhatsAp imej scan oleh klinik yang mengesahkan isterinya telah mengandung kepada adiknya. 

Kira-kira 5 minit kemudian ibunya menerima penggilan telefon dari anak lelaki kedua kami yang bercuti di Cameron Highlands. Adik lelakinya juga sudah dimaklumkan! 

Suasana semakin tidak terkawal. Pada malamnya selepas solat Isyak saya menerima panggilan telefon darinya. Dia bertanya samada ibunya telah memberitahu saya sesuatu berita. Logiknya, tak kanlah ibunya tidak memberitahu berita yang menggembirakan keluarga kami. 

Bagaimanapun, saya pura-pura tidak mengetahui apa yang berlaku. Dia pula berpura-pura buat bodoh dengan bertanya perkara yang dia telah mengetahui jawapannya untuk memeriahkan keadaan. Katanya lagi, “ Insya Allah ayah akan jadi datuk.” Tahniah! 

Setelah itu dia meminta untuk bercakap dengan ibunya. Saya mencuri dengar perbualan ibu-anak dengan teliti. “ Mak Long di Shah Alam sudah diberitahu kah? Mak Ngah di kampung (N.Sembilan) sudah diberitahukah? Pak Teh? Mak Lang di Kosas? 

Orang kampung saya di Negeri Sembilan mengungkapkan gelagat anak saya ini dengan ungkapan “ Jebe “ ( sebutan Je berbunyi suku kata pertama perkataan Jenaka, sebutan be berbunyi suku kata kedua perkataan biber - Je-be). Jebe adalah gelagat yang membawa maana bangga, megah,… dalam mood yang melampau dan tidak terkawal. 

Jebe adalah suatu pelakuan semula jadi yang sukar atau tidak dapat dielakkan apabila mendapat kelebihan atau sesuatu yang membanggakan. Jebe tidak semestinya pelakuan yang membawa maksud negatif. 

Bagaimanapun, pelakuan Jebe dengan mudah boleh beralih kepada riak dan ujub apabila dilakukan secara berlebihan dan tidak berpaksikan bahawa segala sesuatu adalah di atas anugerah, kasih sayang dan belas kasihan Allah. 

Tuan punya blog ini juga mungkin dituduh ‘ Jebe’ kerana tersangatlah gembira bakal mendapat cucu (Insya Allah) dan meluahkan kegembiraan tersebut secara halus melalui laman blognya. . 

Semoga Allah melindungi anak lelaki sulung saya, isterinya dan kandungan isterinya. Semoga anak yang bakal lahir (Insya Allah) menjadi hamba Allah yang beriman. Amin.

8 ulasan:

  1. Saudara Ujang Kutik,

    Saya tertanya-tanya bagaimana perasaan seseorang itu bakal bergelar datuk dan lebih-lebih lagi dipanggil 'datuk' oleh cucu sendiri.

    Apa pun tahniah dari saya.

    PakMail

    BalasPadam
    Balasan
    1. Sdr Pak Mail,

      Agaknya sama juga tahap teruja dan ' Jebe' nya.

      T.Kasih.

      Padam
  2. Syukur, Alhamdulillah makin meriah keluarga kecil kita

    BalasPadam
  3. ujang kutik,

    Haha...tahniah giler dari blog the ol' rascal.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Sdr theolrascal,

      Bakal datuk juga ' jebe'.

      Terima kasih.

      Padam
  4. Tahniah bakal jadi datuk. Tapi saya slalu dengar kawan saya sebut jobo....sama makna ke tu. Ke saya yg salah

    BalasPadam
    Balasan
    1. Sdr Tanpa Nama,

      Terima kasih. Insya Allah.

      Sama maana. Tetapi pada saya kalau JOBO - pada sebutan suku kata pertama JO untuk perkataan JOhari dan suku kata pertama BO pada BOleh...mungkin bunyinya dan maksudnya tidak berapa sedap.

      Padam

" "Kalau hendak tahu dalamnya lubuk, TANYALAH pada memerang"."