Ahad, 4 Mei 2014

ANTARA PONDOK BARAKATOL DODIRI DAN RUMAH BAKTI AL-KAUSAR

MASJID TANAH - Restoran Char Kway Teow
Masjid Tanah, Melaka bukan lawan setara Bandar Baru Bangi, Selangor walaupun dua tempat itu berada di dalam kedudukkan geografi negeri maju.

Kalau diandaikan dengan dunia bolasepak; Masjid Tanah umpama pasukan bolasepak Malaysia dan Bandar Baru Bangi adalah Brazil. Masjid Tanah terlalu kerdil dan alah di kerling Bandar Baru Bangi dari sudut infrastruktur dan pembangunan.

Sekalipun demikian, Masjid Tanah ada kelebihan dari sudut lain terutamanya dalam urusan memproses manusia hebat dan terbilang. Saya tidak akan menyenaraikan bilangan anak Masjid Tanah yang hebat dan terbilang kerana senarainya terlalu panjang.

Untuk makluman, di antara lelaki luar yang hebat dan terbilang yang menyemenda (berkahwin dengan wanita Masjid Tanah) ialah Datuk Seri Dr Zahid Hamidi.      

Tanggal 02 Mei 2014, bersamaan hari Jumaat, saya ditakdirkan berada di dua lokasi - Masjid Tanah dan Bandar Baru Bangi. Sebelah paginya di Masjid Tanah dan malamnya di Bandar Baru Bangi. 

Walaupun kehadiran di dua lokasi itu dirancang, hafazan skripnya tidak pernah saya jangkakan.

Ketika pulang bercuti di kampung isteri di Masjid Tanah saya selalunya tidak duduk diam. Begitulah juga yang dilakukan ketika di Masjid Tanah pada 1-2 Mei, 2014 yang lepas. 

Pekan Masjid Tanah, ceria dan hidup dalam kelasnya - pesat membangun dan ramainya orang seperti adanya keramaian sepanjang masa. Ada premis perniagaan seperti 'super market' beroperasi sehingga lewat jam 10.00 malam. Premis-premis makanan yang umpama cendawan tumbuh dan cafe internet terus beroperasi ke satu waktu yang saya tidak ketahui tamatnya.   

Seperti kebiasaannya, saya mencari  premis 'Cendol Paling Sedap SeMalaysia' mengikut piawaian saya yang terletak umpama melukut di tepi gantang di satu ruang kaki-lima berhadapan dengan bangunan rumah kedai milik peniaga bukan Melayu di bandar ini. 

Bagaimanapun, malangnya peniaga 'Cendol Paling Sedap SeMalaysia' yang terdapat di Masjid Tanah tidak lagi menjalankan perniagaannya. Saya difahamkan isteri peniaga cendol yang menjadi tulang belakang perniagaan itu jatuh sakit. Walaupun ada sedikit kehampaan, saya simpati dengan peniaga itu.

Perniagaan cendol itu sangat maju. Bagaimanapun, entah di mana silapnya ilmu perniagaan yang dituntut, kebanyakkan peniaga Melayu phobia atau 'gayat' berniaga di bangunan tetap. Peniaga Melayu lebih selesa dan merasa selamat berniaga di warung-warung, di bawah payung atau di bawah pokok. Perkiraan mereka, " Kalau perniagaan lingkup, tidak banyak kerugian yang ditanggung!"

Tun Dr Mahathir dalam buku ' The Malay Dilema' mengungkapkan bahawa peniaga Melayu tidak akan pergi jauh dalam perniagaan jika tidak bersedia menguruskan perniagaan di premis tetap. Saranan Tun Mahathir tersebut ada kebenarannya jika berpandukan kepada teknik perniagaan restoran yang dilakukan oleh peniaga golongan India Muslim (Mamak). Amat jarang kelihatan peniaga makanan India Muslim menjalankan perniagaan di bawah pokok atau di bawah payung.Mereka berjaya dalam perniagaan makanan.

Secara kebetulan acapkali berlaku di kalangan peniaga Melayu yang memberanikan diri berniaga di bangunan tetap akhirnya kembali berniaga di tepi jalan atau bawah pokok kerana di tempat baharu kononnya tidak mendapat sambutan.  

PONDOK BARAKATOL DODIRI, KG. PAYA KELADI, MASJID TANAH
Entah bagaimana, ketika dalam perjalanan balik ke rumah keluarga isteri di Kg. Solok Air Batu, Masjid Tanah saya seperti dipukau oleh papan tanda tunjuk arah yang menunjukkan arah ke sebuah ' Pondok ' . Sebelum ini saya tidak pernah ambil peduli akan papan tanda tunjuk arah itu. Sekalipun mengetahui wujudnya sebuah ' pondok ' di kawasan itu, saya tidak terniat langsung menjenguk.

KAWASAN PERSEKITARAN PONDOK
Bagaimanapun, ada ajakan halusinasi secara spontan yang menarik saya ke pondok itu pada kali ini. Saya mengikut sahaja naluri hati. Setelah melalui kawasan perkampungan yang kedudukkan rumahnya agak jauh dengan rumah berikutnya dan meredah laluan di dalam ladang kecil kelapa sawit yang sunyi dan sedikit menyeramkan kerana dibayangi cerita-cerita perkampungan Orang Bunian, saya sampai juga ke destinasi - Pondok Barakatol Dodiri, Kg. Paya Keladi, Solok Duku, Masjid Tanah. (Saya masih belum menemui jawapan mengenai nama-nama kampung di sekitar Masjid Tanah yang banyak bermula dari perkataan ' SOLOK').

Saya tidak berani memasuki 'kompleks' pondok yang diperbuat dari bangunan batu itu. Saya memandu secara perlahan di luar pagar sambil memerhati kawasan sekitar dan akhirnya meletakkan kereta berhampiran dengan seorang kanak-kanak di usia lebih kurang 9-10 tahun berketayap putih yang sedang memberi makanan kepada beberapa ekor ayam. Saya menegurnya dengan memberi salam. Dia membalas salam dan beredar dari situ begitu sahaja. Kanak-kanak itu malu kepada orang luar agaknya.

LALUAN KE PONDOK
Tiba-tiba seorang lelaki di usia awal 50-an yang badannya basah berpeluh muncul dari celah-celah semak samun kawasan itu. Katanya, dia baru lepas mencari rumput untuk makanan kambing. Dia bertanyakan hajat saya sehingga sampai ke tempatnya. Saya katakan nawaitu spontan yang diilhamkan kira-kira 10 minit sebelum itu.

Lelaki yang saya tidak ketahui nama dan hubungan beliau dengan pondok itu menerangkan serba sedikit mengenai sejarah dan peranan pondok itu. Pondok yang dibina melalui bantuan dan sumbangan orang ramai itu telah dibina pada tahun 2005. Penuntutnya berjumlah 100 orang yang terdiri daripada dua golongan; Anak-anak yatim dan susah dan terbiar serta golongan penuntut warga emas.

KOMPLEKS PONDOK BARAKATOL DODIRI
Objektif pembinaan ' Pondok ' itu sangat mudah ; Menyediakan tempat perlindungan kepada anak-anak yatim dan susah dan dalam masa yang sama memberikan mereka pendidikkan agama secara pengajaran pondok. Kepada golongan warga emas, pondok itu bukan untuk membimbing mereka menjadi 'alim sehingga menjadi Tuan Guru kerana sudah terlambat, tetapi adalah tempat untuk mereka menghayati hidup beragama dalam suasana kondusif tanpa banyak gangguan keduniaan.

BANGUNAN MASJID HAMPIR SIAP (SUMBANGAN YANG PRIHATIN)
Melihat kepada kompleks ' Pondok' yang agak hebat dari segi struktur bangunan walaupun kurang tersusun itu (mungkin kerana luas kawasan yang terhad), saya merumuskan betapa besarnya komitmen saf pentadbiran pondok itu dan tangan-tangan penyumbang dana yang tidak suka dilihat dalam merealisasikan 'ideal' mereka. Berdirinya kompleks pondok itu bukan kerja main-main. Ianya adalah kerja yang bersungguh-sungguh.. Subhanallah.

Saya meninggalkan lelaki 'pejuang' itu dengan memberi sedikit sumbangan untuk bangunan masjid yang di dalam proses pembinaan.  Dalam perjalanan meninggalkan sekumpulan manusia yakin yang tidak dihiraukan itu saya membina niat yang selama ini tidak pernah hinggap di lantasan hati. Sungguh pun demikian, saya tidak pasti momentum niat itu samada akan kekal atau lebur begitu sahaja.   

RUMAH BAKTI AL-KAUSAR, BANDAR BARU BANGI
Petangnya, atau setepatnya sebelum masuk waktu maghrib saya dan keluarga telah berada di Bandar Baru Bangi untuk majlis tahlil arwah yang ditaja oleh anak saudara dan suaminya. Dari suasana persekitaran yang dikatakan terpencil, ketinggalan dan sunyi di Pondok Barakatol Dodiri Kg. Paya Keladi, saya berada di lokasi yang menjanjikan keceriaan. Pada mulanya saya menjangka  majlis itu berlangsung di rumah keluarga anak saudara. Sebaliknya, saya diberitahu bahawa majlis akan diadakan di Rumah Bakti Al-Kausar, Bandar Baru Bangi di atas alasan semoga majlis sampai ke matlamat yang diharapkan.

Rumah Bakti Al-Kausar adalah sebuah pertubuhan persendirian berskala kecil yang didaftarkan dengan matlamat ambil peduli ke atas tempat tinggal, kehidupan seharian dan persekolahan beberapa orang anak yatim atau dari keluarga susah dan bermasalah.


Rumah yang diuruskan oleh beberapa orang yang prihatin itu beroperasi di rumah teres dua pintu yang diwakafkan oleh seorang penderma. Jumlah penghuni rumah yang terdiri daripada kanak-kanak lelaki dan perempuan semasa ialah 25 orang. Pengurusan kanak-kanak itu dikawal-selia/pantau oleh pasangan sukarelawan yang juga adalah suami-isteri. Saya diberitahu bahawa rumah bakti itu cuma mampu menguruskan paling maksima 30 orang kanak-kanak sahaja.

Pada mulanya ketika sama-sama menunaikan solat jumaah fardhu Maghrib dengan anak-anak di sekitar usia 7 - 15 tahun itu saya diganggu sedikit emosi. Saya merasa sebak mengenangkan anak-anak di usia tersebut telah tidak lagi bersama ibu bapa mereka. Bagaimanapun, perasaan itu hilang dengan sendiri apabila saya berpeluang mendekati dan berkenalan dengan mereka.

ADA SEJARAH HIDUP MASING-MASING
Ada di antara mereka anak yatim piatu, ada yang kematian bapa atau ibu, ada yang pernah hidup gelandangan dengan menyelongkar tong-tong sampah untuk mendapatkan sisa-sisa makanan, ada yang didera oleh bapa kandung sendiri sehingga dimasukkan ke ICU, ada yang diabaikan dengan cara ditinggalkan oleh ibu sendiri , ada yang di usia sebegitu mentah pernah bekerja di kilang besi sebagai buruh kanak-kanak dengan upah RM1 sehari dan makanan yang disediakan oleh towkeh tidak diketahui halal haramnya.


Saya sendiri pada mulanya dan mungkin sebilangan daripada pembaca mungkin menganggap kisah silam kanak-kanak tersebut adalah cerita rekaan atau cerita-cerita yang cuma boleh ditonton dalam rancangan drama TV. Saya diberitahu oleh pihak Rumah Bakti Al-Kausar bahawa kisah-kisah tersebut adalah kisah benar sebilangan kanak-kanak yang kini dilindungi di rumah itu.          

BOBOY DAN ABANGNYA (Ada kisah menyayat hati dua orang adek beradek ini)
Setelah berpeluang mendekati beberapa orang kanak-kanak yang pernah ' terbuang ' dan tidak dipedulikan itu, saya mula membina persepsi. Saya dapati stigma sejarah hitam sebilangan kanak-kanak di rumah itu telah dapat diusir dari mengganggu jiwa mereka.

Mereka dengan mudahnya sedia menceritakan sejarah hidup masing-masing dalam keadaan ceria dan suka-suka. Salah seorang daripada kanak-kanak itu dengan selamba menjawab apabila ditanya di mana ibunya, " Emak saya tinggalkan saya dan adik saya, ......itu adek saya (sambil menunjukkan adiknya yang juga mendapat perlindungan di situ)." Adeknya mengangkat tangan memberi 'respond' ke atas panggilan abangnya.

'WARDEN' SUKARELA (Baju Merah), 'PENAJA' MAJLIS TAHLIL (Dua Dari Kiri)
Saya dapati perhubungan antara ' warden ' sukarela (penjaga) yang dipanggil ' Abah ' oleh anak-anak di rumah bakti itu sangat rapat. Kelihatan ada di antara anak-anak tersebut termasuk yang perempuan dengan selamba masuk campur dalam perbualan kami dengan ' warden ', dan beliau memberi peluang anak-anak itu mengeluarkan pendapat mereka. Perhubungan mereka bukan sahaja seperti antara ayah dan anak bahkan ada kalanya seperti kawan-kawan. Anak-anak di situ sangat menghormati ' Abah ' mereka.



Tiada khilaf lagi, anak-anak di Rumah Bakti Al-Kausar, Bandar Baru Bangi sangat bernasib baik kerana ' sampai ' di rumah itu.  
   
KESIMPULAN
  • Di luar ' dunia ' kebanyakkan antara kita terdapat sebilangan anggota masyarakat yang kehidupan mereka sangat susah yang tidak terfikirkan.
  • Di luar ' dunia ' kebanyakkan antara kita ada segolongan anggota masyarakat yang menginfakkan kehidupan mereka untuk kebaikan orang lain.
  • Walaupun ungkapan ini agak kasar bunyinya, tetapi ada kebenarannya: " Kehidupan terbuang dan diabaikan yang berlaku kepada anak-anak kucing ada persamaan dengan kehidupan segolongan anak-anak yang diabaikan oleh ibu-bapa, ahli keluarga dan masyarakat sekeliling. Namun, 'jahatnya' manusia melebihi jahat ibu kucing kerana ibu kucing tidak sekali-sekali meninggalkan atau mengabaikan anak-anaknya. Sebaliknya, manusialah yang selalu memisahkan ibu kucing dan anak-anaknya dengan cara membuang anak-anak kucing itu di merata tempat. Dan, manusia jugalah yang membuang anak sendiri.
  • Di luar 'dunia' kita ada segolongan anggota masyarakat yang bukan sahaja melakukan amalan-amalan yang tidak mengeluarkan modal ( solat berjumaah, menghadiri kuliah agama, puasa sunat dan sebagainya) tetapi juga bersusah payah melakukan amalan-amalan yang memerlukan sumbangan wang ringgit, pengorbanan tenaga dan masa.  
  • Sebilangan anak-anak malang yang bernasib baik telah dapat diselamatkan di Rumah Bakti Al-Kausar dan di pusat/rumah yang lain. Bagaimanapun, masih ramai lagi yang tidak bernasib baik dan menjadi gelandangan, hidup meminta-minta, hidup di bawah belenggu manusia jahat atau hidup di dalam kepayahan yang tidak terlihat jalan keluarnya.
  • Beruntung menjadi manusia yang ada kelebihan wang ringgit, tenaga dan kemahuan kerana lebih mudah melakukan kebaikan kepada orang lain. 

2 ulasan:

  1. Ujang kutik,

    Saya menjadi sayu membaca entri saudara akan anak anak yang telah 'terbuang' dan atas apa yang mereka telalui sebelum sampai di Rumah Bakti Al-Kausar ini. Mungkin demikian juga pada kanak kanak yang berada di rumah rumah bakti yang lain.

    Pun demikian kita berasa lega bahawa di luar sana masih ujud insan insan yang amat perihatin
    terhadap mereka ini. Semoga amal jariah mereka mendapat balasan setimpal nya oleh Allah SWT.

    Niat yang telah terbina di hati saudara ketika berada di Kompleks Pondok Barakatol Dodori itu boleh saja bertukar menjadi cita cita dan mengejar cita cita tidak perlu melalui jangka masa yang tertentu.

    Semoga kita semua di rahmati olih Allah SWT.

    BalasPadam
  2. di ranah minang banyak tempat nama solok

    BalasPadam

" "Kalau hendak tahu dalamnya lubuk, TANYALAH pada memerang"."