Ahad, 29 Jun 2014

NEGERI SEMBILAN: MOGANG, MANTAI DAN LOMANG DALAM KENANGAN


Seorang kenalan yang mengetahui saya berasal dari Negeri Sembilan bertanya samada saya balik ' Mantai ' ke kampung di Negeri Sembilan atau tidak. Saya menjawab, " Tidak." Begitulah hebatnya amalan tradisi ' Mantai ' sehinggakan ada di kalangan yang bukan berasal dari negeri Adat Perpatih itu pun mengetahui auranya.

' Mantai ' adalah amalan tradisi masyarakat Negeri Sembilan menyembelih kerbau ( kini lembu kerana kerbau sukar didapati) pada hari ' Mogang ' ( hari sehari sebelum 01 Ramadhan) yang dilakukan secara gotong royong. Daging kerbau/lembu dibahagi sama rata di kalangan penduduk kampung yang berkongsi membeli seekor atau lebih kerbau/lembu.

Masyarakat tradisional Negeri Sembilan juga membuat lemang pada hari ' Mogang '.

Selain pada hari raya khususnya Hari Raya Idilfitri, anak-anak Negeri Sembilan yang merantau akan berusaha balik ke kampung untuk turut bersama dengan keluarga pada hari Mogang/Mantai ketika menyambut kedatangan bulan Ramadhan.

Sesungguhnya, perantau balik ke kampung pada hari ' Mantai' (sehari sebelum bermulanya puasa dalam bulan Ramadhan) adalah amalan tradisi yang menjadi salah satu ' trade mark ' masyarakat Negeri Sembilan. .

Begitulah lebih kurang senario masyarakat tradisional Negeri Sembilan menyambut kedatangan bulan Ramadhan khususnya ketika menyambut kedatangan 01 Ramadhan.  

Bagaimanapun, amalan ' Mantai' mengikut konsep asal tidak lagi diamalkan.oleh generasi Negeri Sembilan hari ini . Generasi hari ini membeli daging lembu di pondok-pondok menjual daging yang diusahakan oleh peniaga daging ketika menyambut kedatangan 01 Ramadhan.

Generasi Negeri Sembilan hari ini juga tidak ramai lagi yang membuat lemang ketika menyambut 01 Ramadhan. Selain dari faktor peredaran masa, saya percaya kurangnya kemahiran dalam kerja-kerja membuat lemang di kalangan generasi Negeri Sembilan hari ini menyebabkan amalan membuat lemang di kalangan penduduk semakin dilupakan. 

Kerja-kerja mencari buluh di dalam hutan, memproses beras (pulut), santan kelapa, daun pisang dan menjaga api dalam urusan membuat lemang yang sempurna bukan lagi satu kerja mudah bagi generasi Negeri Sembilan pada hari ini. Sedemikian, kalau hendak juga makan lemang, mereka mengambil jalan mudah dengan cara membeli daripada peniaga lemang bermusim.  

Amalan tradisi balik ke kampung halaman di kalangan anak-anak Negeri Sembilan yang merantau khususnya yang masih mempunyai ibu bapa ketika menyambut 01 Ramadhan masih lagi diamalkan walaupun tidak setaat generasi terdahulu. Walaupun mereka tidak lagi serasi dengan ungkapan ' Balik Mogang ' (balik kampung sehari sebelum 01 Ramadhan), mereka pada dasarnya masih meneruskan atau sekurang-kurangnya menghormati ' roh ' tradisi balik kampung ketika menyambut 01 Ramadhan.  

' Mantai', ' Mogang ' dan ' Membuat Lemang ' adalah amalan tradisi yang sedang ' sakit tenat ' di ' stage' ke-4. Namun demikian, roh amalan tradisi itu masih bertapak kukuh di dasar hati anak-anak Negeri Sembilan yang kini berusia di sekitar 45 tahun ke atas walaupun sejauh mana mereka berada dari kampung halaman atau sehebat mana pun status mereka hari ini.

Sebaliknya ' Mantai', ' Mogang' dan ' Membuat Lemang ' adalah satu cerita seribu satu malam di kalangan generasi Negeri Sembilan hari ini ( Generasi Y ). Generasi hari ini mungkin ada mendengar ungkapan-ungkapan tersebut diucapkan berulang kali oleh ibu bapa masing-masing. Bagaimanapun, mereka tidak tahu apa-apa. Samalah seperti mereka tidak pernah menyaksikan hamparan sawah padi yang pernah wujud di kampung masing-masing di ketika ibu bapa mereka di usia anak-anak atau remaja seperti mereka.    
   

2 ulasan:

  1. mungkin segalanya mahal..tp pekan ghembau tetap meriah hari pertama puasa dgn jem di supermarket dan bazar ramadhan anak rantau ramai yg balik..makanan agak mahal dari KL,tp solat terawih dan masjid lebih meriah diKL...

    BalasPadam
  2. Sdr Tanpa Nama,

    1. Benar, barang/makanan di Rembau lebih mahal dari K.Lumpur. Lama sebelum harga the tarik naik harga saya telah 'dikenakan' RM1.50/se gelas di ' restoran paling terkenal' di Pekan Rembau.

    2. Benar, solat tarawikh di Lembah Klang lebih meriah dan mengujakan dari di Rembau.

    Bagaimanapun, hujan emas di negeri orang, lebih baik lagi hujan batu di negeri sendiri. Bukankah begitu?

    BalasPadam

" "Kalau hendak tahu dalamnya lubuk, TANYALAH pada memerang"."