Ahad, 1 Jun 2014

rich dad, poor dad

Malam tadi (31/5/14) anak saya dan isterinya datang ke rumah dan bermalam. Itulah jadual 'routine' mereka suami isteri pada hujung minggu jika tiada urusan yang lebih penting. Kebiasaannya mereka datang pada hari Jumaat malam Sabtu atau Sabtu malam Ahad. Alhamdulillah setakat ini kami sekeluarga tidak terasa sangat ' kehilangannya' selepas berkahwin. 

Kami makan di luar - di sekitar Setiawangsa. Usai makan isteri saya meminta anaknya menunjukkan lokasi kawasan perumahan sahabatnya yang akan mengadakan majlis perkahwinan anak lelaki pada 8 Jun 2014. Sahabatnya itu dan suaminya telah menghantar sendri kad jemputan ke rumah kami pada minggu lepas. 

Anak saya tahu serba sedikit mengenai kawasan itu kerana rakan sebiliknya semasa menuntut telah membuka sebuah restoran di kawasan segi-tiga- emas itu. Kawasan itu kawasan elit.

Kawan anak saya itu yang selalu juga tidur di rumah kami ketika masih menuntut tidak makan gaji selepas tamat belajar. Dia buat busines. Bidang businesnya berbagai dan silih berganti. Terkini dia buat busines restoran ala Starbuck secara franchise di kawasan elit itu - Sri Hartamas. Dia membuat pinjaman bank yang menjangkau RM500 ribu! Bagaimanapun, saya tidak mengetahui samada kawan anak saya itu telah menjadi seorang business man muda yang berjaya atau masih di dalam proses pembelajaran sepak terajang perniagaan.

Isteri saya faham sangat bahawa kami pasti akan menghadapi kesukaran mencari kawasan perumahan sahabatnya itu kerana dunia saya cuma berkisar di sekitar kawasan Ampang sahaja. Malah di sekitar Ampang pun saya masih belum khatam.

Pencarian lokasi rumah kawan iseri itu tidaklah sesukar yang saya bayangkan. Setelah melalui estet perumahan yang kebanyakannya kondominium dan melepasi benteng-benteng pondok pengawal keselamatan yang dikawal oleh bukan penduduk tempatan, kami akhirnya sampai di pondok pengawal kawasan perumahan yang dicari, iaitu Kiara View, Desa Sri Hartamas.

Mengikut pendapat anak saya yang bekerja di sektor pembinaan, rumah-rumah di kawasan itu harganya tidak kurang dari RM1.5 juta 

Isteri saya buat hal. Nawaitu asal yang cuma hendak mencari jalan supaya mudah sampai pada hari majlis perkahwinan tiba-tiba bertukar hendak menziarah sahabatnya pula pada waktu selewat jam 10.15 malam. Dia terus menghubungi kawannya itu melalui panggilan telefon. Saya, anak saya dan isterinya tidak bersetuju dengan niat isteri kerana suasana dan waktunya kurang sesuai. Walaupun saya mengenali pasangan kawan isteri itu, yang lebih saya risaukan ialah adanya sedikit rasa ngeri datang ke rumah orang yang berkedudukkan sebegitu pada waktu yang tidak sesuai.

Alhamdulillah, kegusaran kami bertiga (saya, anak lelaki dan menantu) tidak berpanjangan. Isteri saya memberitahu bahawa sahabatnya tiada di rumah kerana menghantar anak nikah ke rumah pihak perempuan di Grik, Perak.  

Kami menyusur turun dari kawasan perumahan yang dari situ jelas kelihatan kelibat menara kembar Petronas . Setelah melalui kawasan perumahan, kami disajikan dengan pemandangan premis perniagaan yang hebat dan moden. Kami juga dapat melihat gelagat penghuni di kawasan itu memanja diri di restoran-restoran dan 'port' 'penghidupan malam'.

Kami balik ke Ampang dengan melalui laluan DUKE. Di dalam kereta isteri saya bercerita mengenai perjalanan hidup sahabatnya ' orang kaya ' itu. Katanya, sahabatnya yang mempunyai tujuh orang adek beradek itu berasal dari Kg. Bharu, Kuala Lumpur bernasib baik kerana ayah mereka memiliki beberapa bidang tanah di kawasan strategik. Setelah ayahnya meninggal dunia, tanah-tanah itu dibangunkan oleh pemaju perumahan. Mereka, tujuh orang adek beradek diberi sebuah rumah dan sejumlah wang tunai setiap seorang. 7 x RM1.5 juta ++++ = ? 

Anak saya secara bergurau bertanya samada saya ada memiliki sebidang tanah di Kuala Lumpur atau tidak. Saya menjawab, " Di Kuala Lumpur tiada, di Selangor mungkin ada - tanah kubur." 

Rich dad, poor dad!


        

5 ulasan:

  1. Ujang kutik,

    Alahaiii..haha.
    Cool dad.

    BalasPadam
  2. rezeki masing2,sebagai ibu bapa tolonglah setakat mana yang kita mampu,,terutama bab kahwin anak lelaki..tapi yang pasti..saya dah tolong keempat2 anak saya mendaftar haji.yang ikut jangkaun lebih 20 akan datang

    BalasPadam
    Balasan
    1. Tanpa Nama,

      Semoga anak-anak juga akan berbuat baik kepada kita selepas ketiadaan kita di dunia. Tidak dinafikan bahawa anak-anak yang mendapat didikan yang baik berkemungkinan besar akan memberi kebaikan kepada kita.

      Padam
  3. mungkin suasana dulu berbeza dengan sekarang..terutama bab kahwin,habs beajar dah 24 atau 25 thn nak kahwin...duit apa yg ada..tp saya tekankan juga duit hantaran untuk anak lelaki siapkan.cuma duit makan saya yang settlekan..itu pun bukan sikit ..begitu juga beli rumah.. saya tak mampu nak belkan rumah seorang satu..tapi tlglah juga bila minta pendahuluan untuk bayar rumah dan sebagainya ....dan saya selalu betakkan kat mereka jgn lupa doaka ibu dan ayah setiap kali solat..dan jgn lupa sedekakan utuk kami sampai bila2

    BalasPadam
    Balasan
    1. Tanpa Nama,

      1. Kami suami isteri juga sponsor catering perkahwinan anak sulung kami baru-baru ini. Siapa tidak sayang anak. Bagaimanapun anak sendiri terpaksa mengikat perut menyediakan belanja kahwin tanpa membuat loan kepada mana-mana institusi.

      2. Kita berharap anak-anak akan mendoakan kita selagi hayat dikandung badan.

      Terima kasih.

      Padam

" "Kalau hendak tahu dalamnya lubuk, TANYALAH pada memerang"."