Sabtu, 16 Ogos 2014

WARTA

Saya tidak tahu di masjid orang lain. Bagaimanapun, jumaah dari berbeza fahaman politik yang memakmurkan masjid kariah saya yang terletak di Ampang, Selangor sangat harmoni. Perbezaan fahaman politik dan juga keturunan tidak mampu menjarakkan para jumaah.

Situasi ini dinikmati antaranya kerana peranan pihak pengurusan masjid yang berjaya mewujudkan persekitaran harmoni itu. Ustaz/pendakwah yang memimpin kuliah sangat professional. Mereka tidak menggunakan bahasa kasar atau menjadikan masjid sebagai pentas orang berceramah politik standard Malaysia - maki hamun, bahasa kasar dan kesat, tuduhan liar dan sebagainya. .

Ini bukan bermakna para ustaz/pendakwah yang didatangkan mengabaikan institusi ilmu untuk tidak menyinggung mana-mana pihak dalam kuliah mereka. Sesuatu yang benar dan hak tetap dijelaskan  mengikut haknya tetapi dilakukan secara beradab, ilmiah dan selayak majlis ilmu di rumah Allah. Justeru itu, para ustaz/pendakwah mempunyai keberanian membincangkan apa sahaja furuk mengenai agama asalkan mengikut adabnya. 

Sedemikian, majlis ilmu berada dalam suasana kondusif, segar , berwibawa, meyakinkan dan ' ada roh'.

Sehubungan ini, gejala menjadikan masjid tempat hentam mengentam atau maki hamun semakin tidak mendapat tempat lagi di kebanyakkan masjid/surau. Gejala itu sudah dianggap sebagai cara berdakwah yang ketinggalan zaman. Kaedah mengklasifikasikan seseorang ustaz/pendakwah itu ' power ' atau sebaliknya dari segi keberaniannya mengkritik dan menghentam secara semborono tidak dipakai lagi.      

Namun demikian, ada satu ' gejala ' tidak sehat yang masih berlaku di masjid/surau khususnya di wilayah tertentu. Gejala itu adalah sindrom kefanatikan terhadap sesebuah fahaman kepartian dan juga menjaga keselamatan diri yang tidak kena pada tempatnya. Impak dari gejala ini menyebabkan berlakunya penyaringan tajuk kuliah yang melampau di mana ada tajuk-tajuk yang tidak dibenarkan oleh pihak pengurusan masjid/surau atau tidak berani disampaikan oleh ustaz/pendakwah. .   

Gejala sindrom fanatik dan takut ini dengan mudahnya boleh dikesan apabila masyarakat bandar yang didedahkan dengan siri dakwah/majlis ilmu yang terbuka di bandar rmenghadiri majlis ilmu di kampung-kampung mereka. Mereka akan mendapati berlakunya tajuk-tajuk yang disampaikan di majlis ilmu ( di kampung ) disempitkan ruangnya. Maka berlakulah ada tajuk-tajuk kuliah agama yang tidak boleh diusik secara mandatori. Tajuk-tajuk tersebut seperti telah 'diwartakan' oleh masyarakat sebagai ' zon larangan '..  

Namun demikian, kesedaran menghayati hidup beragama di kalangan masyarakat Islam hari ini memungkinkan kita mengalami suatu anjakan yang tidak terduga akan berlaku dengan pantas. Ada  tajuk-tajuk yang ' diwartakan ' oleh masyarakat sebagai sensitif sebelum ini telah dicerahkan dan tidak lagi dianggap sensitif.   

Terima kasih Allah kerana anugerah ini.
     

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

" "Kalau hendak tahu dalamnya lubuk, TANYALAH pada memerang"."